4 October 2024

Ikutlah peraturan, demi kebaikan semua

Featured

Antara tuntutan kekeluargaan dan ketetapan fiqah

Oleh: Dr. Mahyudin Daud Kehidupan berkeluarga menurut ajaran Islam adalah...

Seimbangkan keduanya, mahasiswaku

Oleh: Dr. Samsul Farid Samsuddin Masyarakat kini sering dihadapkan dengan...

ASEAN, Taiwan dan Korea Selatan

Oleh Dr Nurliana Kamaruddin Tidak dapat dinafikan bahawa dalam dekad...

Influencer, I am

By Halima Saadiah Education has long been the foundation for...

Hanya al-Quran penyelamatmu

Oleh: Dr. Selamat Amir Isu penyelewengan dan kesesatan dalam ajaran...

Share

Oleh: Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli

Setiap Muslim yang berakal dan sihat tubuh badan pasti mempunyai keinginan yang kuat untuk menyempurnakan rukun Islam yang kelima. Namun begitu, ramai kalangan umat Islam yang tidak sempat melaksanakannya dan telah kembali ke rahmatullah. Malahan masih lagi ramai yang menanti giliran pasca pendaftaran haji bersama Tabung Haji dengan penuh sabar. Ini kerana mereka faham bahawa konsep istita’ah (kemampuan) itu merangkumi giliran mengerjakan haji di samping kewajipan mentaati peraturan kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

Walaupun begitu, dalam keadaan sebahagian besar rakyat Malaysia yang menanti giliran mengerjakan haji, terdapat segelintir rakyat yang terkandas di Mekah dan Madinah kerana ingin mengerjakan haji dengan menggunakan visa pelancong atau dinamakan sebagai Haji DIY (Do It Yourself) atau Haji Backpacker. Mereka tidak memilih laluan mengerjakan haji bersama agensi kerajaan seperti Tabung Haji atau agensi swasta di bawah Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang berlesen. Sebaliknya, mereka memilih untuk bersama syarikat dan sindiket. Mereka telah memasuki Arab Saudi dengan menggunakan visa pelancong dan mengerjakan umrah pada peringkat awalnya, kemudiannya mereka tidak pulang ke tanahair dan menunggu sehingga musim haji untuk mengerjakan haji.

Dalam modus operandi ini, terdapat kalangan mereka yang tahu lebih awal dan cuba untuk menggunakan atribut haji palsu seperti penggunaan gelang haji palsu, kad identiti palsu dan visa serta permit haji palsu. Dalam keadaan yang lain, terdapat juga mereka yang ditipu visa dan permit haji yang palsu. Sindiket juga akan menawarkan khidmat pengangkutan yang didakwa ada permit, juga maktab atau penginapan palsu yang bertindan dengan penginapan jemaah haji yang sah atau penginapan secara backpack. Jelasnya, penipuan yang dilakukan peringkat awal lagi melalui visa pelancongan telah melahirkan rantaian 1001 penipuan yang lain. Sedangkan dalam ibadah haji, perkara yang dicari adalah elemen mabrur, iaitu haji yag diterima baik di sisi Allah SWT.

Bagi golongan yang gagal memahami konsep istita’ah dengan baik, mereka akan mendakwa mereka mengejar keredaan Allah walau terpaksa melanggar peraturan kerajaan. Arahan Allah SWT bersifat ukhrawi, sedangkan aturan manusia bersifat duniawi. Jika ditelusuri dalam al-Qur’an, surah al-Nisa’ ayat 59, Allah SWT telah berfirman: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Jelasnya, ketaatan kepada arahan pemimpin ini disebut jelas dalam al-Quran.

Dalam isu visa dan permit haji, kuota yang dihadkan adalah bertujuan untuk keselamatan dan ketenangan jemaah haji menyempurnakan ibadah haji. Keselamatan nyawa jemaah diutamakan agar tidak berlaku tragedi yang menyebabkan korban nyawa. Jadi, visa dan permit termasuk dalam konsep istita’ah yang menjadi syarat dalam perlaksanaan ibadah haji.

Di samping itu, dalam konteks kewajipan haji, elemen istita’ah telah disebut dengan jelas. Firman Allah SWT dalam surah al-Imran ayat 97: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.” Seorang yang mempunyai kefahaman agama yang baik, akan memahami bahawa tindakan kerajaan adalah selari dengan hukum Islam.

Walaupun begitu, kadangkala timbul sikap beragama yang ekstrem dalam kalangan umat Islam. Mereka akan cuba merasionalkan dan menjustifikasikan tindakan yang bertentangan dengan peraturan. Mereka menganggap ia hanyalah peraturan duniawi semata-mata, sedangkan bagi mereka, keutamaannya adalah melaksanakan haji kerana ia adalah rukun yang wajib disempurnakan walaupun terpaksa membelakangkan peraturan setempat. Apa yang berlaku kemudiannya dianggap sebagai ujian Allah kepada mereka dalam mencari keredaannya.

Memang benar visa atau permit haji bukan rukun atau syarat sah haji tetapi mentaati pemerintah adalah wajib dalam perkara kebaikan. Tindakan pemerintah Arab Saudi adalah berdasarkan maslahah dan menghindari mafsadah adalah satu tuntutan agama. Ia selaras dengan kaedah fiqh yang menegaskan: Tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat.

Dalam hal ini, permit atau tasrih adalah bagi memudahkan umat Islam beribadat dan menolak kesulitan. Ini kerana ia bertujuan untuk menyusun bilangan besar jemaah haji, bagi mengelak berlakunya kesesakan, rusuhan dan korban jiwa serta membolehkan jemaah mengerjakan haji dengan selesa, tenang dan selamat, sesuai dengan jumlah kemudahan asas yang tersedia.

Selain itu, permit juga membolehkan pihak berkuasa Arab Saudi merancang langkah yang terbaik bagi musim haji dalam aspek keselamatan dan kesihatan serta khidmat lain dengan penawaran khidmat yang terbaik dan terkawal. Jadi bilangan kuota permit haji yang dikeluarkan selari dengan kapasiti dan khidmat yang disediakan. Ini disebabkan jika tiada sebarang pembatasan, ruang ibadat yang terhad akan menjadi terlalu padat dan sukar dikawal.

Tegasnya, tiada haji tanpa permit. Pihak berkuasa Arab Saudi telah menguatkuasakan peraturan yang tegas bagi orang yang melanggarnya. Pelanggaran ini melibatkan tiga risiko utama. Pertama risiko kerugian wang. Orang yang didapati tidak mempunyai visa dan permit haji akan didenda sebanyak SAR10,000.00 kepada warganegara, penduduk dan pengunjung yang ditangkap di Kota Mekah, mashair, stesen keretapi atau pusat kawalan keselamatan. Mereka juga mengalami kerugian dalam bayaran pakej haji kepada sindiket sedangkan ibadah haji tidak dapat disempurnakan.

Kedua risiko perundangan. Mereka bukan sahaja didenda, malah akan ditahan dan dihantar pulang ke tanah air masing-masing serta akan disenaraihitamkan dari memasuki Arab Saudi dalam tempoh tertentu. Ketiga, risiko gagal dalam amalan haji kerana pergerakan mereka terhad, diawasi dan akan ditangkap. Jadi mereka berada dalam keadaan ketakutan, tidak dapat beribadah dengan khusyuk di samping tidak dapat menyempurnakan rukun, wajib dan sunat haji. Selain itu, mereka akan menanggung rasa malu jika ibadah haji mereka terkandas dan gagal disempurnakan apabila pulang ke kampung halaman masing-masing.

Menurut Hai’ah Kibar Ulama Saudi, tidak harus pergi mengerjakan haji tanpa permit dan mereka yang melakukannya adalah berdosa kerana melanggar arahan pemerintah. Walaupun begitu, terdapat pandangan yang menyatakan bahawa ibadah Haji mereka adalah sah. Bagi kes jemaah yang ditahan dalam keadaan tidak sempat berniat haji, mereka tidak dikenakan bayaran dam (denda) kerana tidak menyempurnakan ibadah haji. Sebaliknya bagi mereka yang ditahan dalam keadaan telah berniat haji dan dalam keadaan berihram, mereka dikenakan bayaran dam ihsar (denda) dan diikuti niat tahallul kerana gagal melaksanakan ibadah haji dengan sempurna.

Justeru, sebagai seorang Muslim yang memahami syarat wajib haji dan konsep istita’ah, patuhilah peraturan dan undang-undang pihak berkuasa Arab Saudi dan kerajaan Malaysia. Sabarlah menanti giliran yang ditetapkan oleh pihak Tabung Haji. Jika ada bajet yang lebih, mereka boleh menggunakan khidmat PJH yang dilantik agar tidak berlaku kes terkandas, dan penipuan sindiket yang berleluasa.

Laksanakan haji dengan saluran yang sahih agar tidak berada dalam keadaan takut ditangkap dan jauhi pantang larang serta segala bentuk penipuan agar ibadah haji kita itu diterima di sisi Allah SWT sebagai haji yang mabrur.


Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di mohdanuar@um.edu.my