21 January 2026

Ilmu lestari

Featured

Ilmu lestari

UM didik golongan muda menyayangi tanah melalui Soil Doctor...

Efficiently

Acting on modernising public admin By Sheila Ramalingam The Government Service...

Familicide

The anatomy of the most intimate violence By Haezreena Begum...

Hak mereka

Sebuah ingatan kepada anak-anak yang culas Oleh Ariyanti Mustapha Peranan dan...

For them

The Gig Workers Bill 2025 reshapes Malaysiaโ€™s labour law By...

Share

UM didik golongan muda menyayangi tanah melalui Soil Doctor Programme

Universiti Malaya (UM) terus mengukuhkan peranannya sebagai institusi peneraju dalam agenda kelestarian sains tanah apabila muncul sebagai universiti perintis di Malaysia yang melaksanakan Universiti Malaya Soil Doctor Programme (UMSDP). Program ini merupakan inisiatif pendidikan berasaskan Soil Doctors Programme (SDP) yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) di peringkat global.

Soil Doctors Programme bertujuan memperkasakan komuniti melalui latihan pengurusan tanah secara mampan, pembinaan keupayaan tempatan serta pemindahan ilmu menggunakan pendekatan praktikal seperti ujian tanah di lapangan. Program ini menekankan peranan โ€œSoil Doctorโ€ sebagai ejen perkongsian ilmu dalam komuniti bagi membantu pembuatan keputusan yang lebih berkesan berkaitan kesihatan tanah, keselamatan makanan dan adaptasi terhadap perubahan iklim.

Di Malaysia, pelaksanaan SDP diterjemahkan melalui mySOILDOCTOR (mySDP) yang diselaraskan oleh Jabatan Pertanian Malaysia sebagai sekretariat di peringkat kementerian. Program ini melibatkan petani yang dilatih untuk menjalankan ujian tanah secara mudah di lapangan serta membantu komuniti mengenal pasti dan menyelesaikan masalah tanah bagi meningkatkan produktiviti tanaman.

Melalui kerjasama strategik antara Universiti Malaya dan Jabatan Pertanian Malaysia di bawah payung mySDP, UMSDP berperanan meluaskan capaian program ini kepada golongan belia sebagai kumpulan sasaran baharu dalam ekosistem pendidikan tanah negara. Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen kerjasama strategik antara Jabatan Pertanian Malaysia dan institusi akademik seperti Universiti Malaya dengan menggabungkan penyelidikan saintifik dan amalan lapangan bagi memacu inovasi dalam pengurusan tanah negara.

Menurut Dr. Rosazlin, penglibatan Universiti Malaya dalam pelaksanaan Soil Doctors Programme merupakan langkah strategik untuk memastikan ilmu berkaitan tanah tidak hanya tertumpu kepada komuniti petani, malah turut difahami oleh generasi muda yang bakal menjadi pembuat dasar, penyelidik dan pemimpin masa hadapan. Tanah merupakan sumber asas kepada keselamatan makanan dan kestabilan ekosistem, dan melalui UMSDP, pendedahan awal dapat diberikan kepada golongan muda tentang fungsi tanah serta kepentingan penjagaan tanah dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.

Seiring dengan konsep asal Soil Doctors Programme iaitu petani kepada petani, UMSDP turut mengadaptasi pendekatan yang sama melalui model mahasiswa kepada mahasiswa, di mana sekumpulan mahasiswa dilatih sebagai Soil Doctor dan seterusnya berperanan sebagai ejen perkongsian ilmu kepada rakan sebaya mereka. Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, UMSDP telah membangunkan Kit Pendidikan Tanah atau Educational Soil Kits, iaitu bahan dan kit pendidikan interaktif yang diadaptasi daripada modul Soil Doctors Programme FAO bagi memudahkan pemahaman asas mengenai kesihatan tanah dalam kalangan pelajar, komuniti setempat dan masyarakat umum.

Seorang wakil pelajar Tahun Ketiga, Tew Jia Yu daripada Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Alam Sekitar, yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan UMSDP menyatakan bahawa pendekatan pembelajaran secara praktikal melalui Kit Pendidikan Tanah membantu meningkatkan kefahaman tentang hubungan antara tanah, pengeluaran makanan dan perubahan iklim. Melalui program ini, pelajar bukan sahaja mempelajari teori berkaitan tanah, malah memahami bagaimana pengurusan tanah yang baik dapat menyumbang kepada keselamatan makanan dan mengurangkan kesan perubahan iklim.

Komitmen Universiti Malaya dalam menjayakan UMSDP turut mendapat pengiktirafan apabila program ini dijemput oleh Jabatan Pertanian Malaysia untuk terlibat dalam Sambutan Hari Tanah Sedunia yang diadakan di KSL Esplanade Hotel, Klang, Selangor baru-baru ini. Program tersebut mengangkat tema global โ€œTanah Sihat untuk Bandar Sejahteraโ€, selaras dengan usaha negara mendepani cabaran urbanisasi, perubahan iklim dan keperluan memastikan keterjaminan makanan yang mampan.

Dalam program tersebut, Kit Pendidikan Tanah telah diperkenalkan kepada peserta sebagai medium pendidikan dan kesedaran awam, manakala reruai UMSDP turut dilawati oleh Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia yang menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan inisiatif ini.

Universiti Malaya berharap inisiatif perintis ini dapat diperluaskan ke institusi pengajian tinggi lain serta ke peringkat sekolah pada masa hadapan. Dengan sokongan FAO dan Jabatan Pertanian Malaysia, UMSDP dilihat sebagai usaha strategik dalam membentuk generasi muda yang lebih peka terhadap kepentingan penjagaan tanah, keselamatan makanan dan mitigasi perubahan iklim.

Sebagai universiti terulung di Malaysia, Universiti Malaya komited untuk terus menerajui pengurusan tanah secara lestari bagi memastikan setiap inci tanah kekal produktif serta menjamin keterjaminan makanan negara untuk masa hadapan.


Prof. Madya Dr. Rosazlin Abdullah ialah Pensyarah di Fakulti Sains, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di rosazlin@um.edu.my.

Previous article
Next article