Oleh: Dr. Safiah Omar
Penggunaan teknologi dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) pada masa kini bukan lagi sesuatu yang ganjil. Malah, sejak dunia dilanda pandemik COVID-19, rata-rata institusi pengajian perlu menggunakan pelbagai jenis kaedah teknologi bagi proses PdP mereka. Antara kaedah yang boleh digunakan adalah melalui aplikasi panggilan video atas talian seperti Google Meet, Microsoft Teams, Zoom, dan Webex. Aplikasi-aplikasi tersebut boleh dicapai menggunakan komputer, komputer riba, tablet, dan juga telefon pintar.
Walaupun alat-alat teknologi ini biasa didengar dan mudah didapati di pasaran, namun tidak semua golongan pelajar mahupun pendidik sendiri mampu untuk memilikinya. Apabila dilihat dari sisi sebuah keluarga yang berpendapatan rendah mahupun sederhana, permintaan penggunaan alat-alat ini perlu untuk setiap ahli keluarga. Ini bermakna jika sesebuah keluarga itu mempunya jumlah ahli yang ramai (sebagai contoh pasangan suami isteri yang mempunya 4 orang anak atau lebih) maka jumlah kos pemilikan alatan ini akan menjadi lebih tinggi kepada mereka. Sudah tentu mereka boleh berkongsi alatan-alatan tersebut (laptop, tablet, telefon pintar), namun jika mereka mempunyai jadual penggunaan pada waktu yang sama, salah seorang dari mereka terpaksa berkorban untuk tidak menghadiri sesi PdP yang dijalankan untuk membolehkan ahli keluarga yang lain menggunakan alatan tersebut.
Melihat dari sudut keperluan pelajar-pelajar ini, adalah perlu bagi sesuatu badan organisasi (NGO/ Kerajaan/ Kementerian Pendidikan Malaysia/ Syarikat Persendirian) untuk bergabung tenaga bagi membantu golongan-golongan ini untuk memiliki alatan teknologi tersebut. Sebelum ini, kita pernah mendengar bantuan dari kerajaan kepada pelajar-pelajar sekolah melalui pemberian duit tunai sebanyak RM100 setiap seorang untuk keperluan pendidikan mereka. Namun, adakah bantuan yang dimanfaatkan untuk keperluan pembelajaran mereka ini mencukupi pada waktu kini? Ada sesetengah pihak yang tidak bersetuju dengan bantuan seperti ini, kerana bagi mereka rakyat tidak perlu terlalu bergantung kepada kerajaan dan ini juga akan membebankan keadaan kewangan kerajaan.
Akan tetapi, jika dilihat dari sudut keperluan pada masa sekarang di mana proses PdP banyak dilakukan secara atas talian dan memberi lebih manfaat, bantuan seperti ini amat diperlukan supaya setiap pelajar dapat diberikan peluang yang adil untuk mereka menuntut ilmu di sekolah-sekolah. Terdapat langkah-langkah proaktif yang dijalankan oleh sesetengah pihak dengan mengagihkan komputer riba (laptop) dan tablet kepada beberapa sekolah di Malaysia, namun usaha seperti ini perlu dipertingkatkan lagi kerana masih ada pelajar yang belum mendapat bantuan yang sepatutnya.
Bagaimana pula jika isu ini dilihat dari sudut keperluan bagi golongan pengajar seperti guru-guru di sekolah dan pensyarah-pensyarah di institusi pengajian tinggi? Golongan-golongan ini seperti diketepikan daripada menerima bantuan yang sama. Mungkin kerana mereka mempunyai gaji setiap bulan dan dilihat seperti mampu untuk membeli peranti alatan-alatan tersebut dengan mudah. Akan tetapi, bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga atau anak-anak yang ramai memerlukan alatan-alatan yang sama, keadaan kewangan mereka juga adalah terhad dan kemungkinan mereka sendiri tidak mampu untuk membeli peralatan bagi kegunaan mereka sendiri.
Mungkin golongan guru dan pensyarah sudah mempunyai komputer peribadi sendiri, namun bagi menambah baik proses PdP kebanyakan mereka harus menggunakan aplikasi yang memerlukan bayaran langganan yang agak tinggi. Kebiasaan penggunaan seperti Microsoft Powerpoint dan Google Meet boleh digunakan secara percuma, namun kita harus faham bahawa PdP atas talian memerlukan kreativiti dan inovasi yang lebih untuk memudahkan proses pemindahan pembelajaran itu berlaku dengan lebih efektif. Sebagai contoh, proses pembelajaran hibrid di institusi pengajian memerlukan peranti yang mempunyai ciri-ciri canggih seperti kamera web kanta lebar supaya pelajar dapat melihat keseluruhan persekitaran kelas dan fungsi audio yang lebih jelas.
Namun peranti seperti ini agak mahal dan institusi pembelajaran sendiri tidak mampu untuk menyediakannya untuk setiap bilik kelas atau dewan kuliah. Oleh kerana itu, ada guru-guru atau pensyarah-pensyarah yang terpaksa berkorban untuk membeli alatan tersebut menggunakan wang peribadi mereka walaupun mereka terpaksa berhutang samada menggunakan kad kredit atau bayaran secara ansuran.
Ada juga sesetengah aplikasi yang perlu dibayar secara langganan bagi menarik minat pelajar dan memberikan mereka fokus secara berterusan seperti Kahoot!, Prezi, Mentimeter, Doodly, DoodleMaker, dan sebagainya. Aplikasi-aplikasi ini juga banyak membantu dalam proses PdP untuk meningkatkan pemahaman pelajar di dalam sesi mereka. Namun, guru-guru dan pensyarah-pensyarah terpaksa membayar sendiri langganan aplikasi tersebut kerana tiada bantuan diberikan kepada mereka. Terdapat pelbagai latihan atau bengkel atas talian bagi membantu guru dan pensyarah untuk mahir dalam proses PdP atas talian dan secara hibrid namun kesediaan peranti dan aplikasi tersebut masih belum mencukupi. Oleh itu, proses untuk meningkatkan kemahiran mereka menjadi terhad. Malah, sesetengah mereka mungkin tidak mempunyai talian Internet yang stabil samada di rumah atau di institusi pengajian itu sendiri.
Antara penyelesaian jangka masa pendek yang boleh didapati sekarang adalah pemberian bayaran insentif teknologi samada secara ‘one-off’ atau berperingkat kepada golongan guru-guru dan pensyarah-pensyarah. Ini membolehkan mereka untuk membuat pembelian peranti yang diperlukan (komputer, webcam, mikrofon, dan sebagainya) serta membayar langganan servis seperti talian Internet yang lebih stabil dan aplikasi-aplikasi pendidikan yang boleh memperkasakan proses PdP mereka.
Pemberian ini mungkin dilihat seperti kecil pada masa sekarang, tetapi kesannya akan dapat dilihat pada masa akan datang di mana penggunaan teknologi ini akan lebih berkembang maju dan berdaya saing secara global supaya tenaga-tenaga pengajar di Malaysia tidak ketinggalan dan setaraf dengan kemampuan antarabangsa. Pemberian insentif ini juga memberi peluang untuk mendedahkan kaedah-kaedah PdP yang menarik dan terkini kepada pelajar-pelajar di Malaysia agar mereka mampu bersaing dan membina nama di peringkat dunia.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Pengurusan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di safiah@um.edu.my untuk maklumat lanjut.