18 March 2025

Kebersamaan dengan orang soleh terdahulu

Featured

Tundukkan

Oleh Mohd Anuar Ramli, Muhamad Nabil Saiful Anuar Mata merupakan...

Hidupkan kebersamaan

Oleh Nur Faezah Musthapar Bulan Ramadan sentiasa dinanti-nantikan oleh setiap...

Untuk semua

Oleh Muzalwana Abdul Talib Permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi...

Of transparency and compliance

By Suria Zainuddin As of 1st March 2025, all individuals...

Our stories

By Zuraini Md Ali and Nurul Alia Ahamad Since its...

Share

Oleh: Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh

Israk Mikraj adalah peristiwa agung yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai satu anugerah kemuliaan yang tidak diberikan kepada nabi-nabi yang lain. Solat juga disyariatkan pada waktu yang sama, dan menjadi tonggak ibadah di dalam agama Islam.

Sekali pun peristiwa ini tidak dilihat dan dialami oleh sesiapa pun melainkan baginda sendiri, iktibar dan pedoman darinya tidak pernah bosan diungkap dan diceritakan generasi ke generasi. Pelbagai buku dan dokumentasi telah dikarang yang memuatkan pelbagai kisah berkenaan peristiwa yang agung ini. Para ilmuan juga saban tahun mengkaji peristiwa ini dari pelbagai perspektif dan sudut, bagi menzahirkan lagi kekuasaan Allah SWT serta kemuliaan nabi yang dikasihi olehNya.

Antara peristiwa yang berlaku tanpa khilaf di dalam peristiwa agung ini ialah pertemuan Nabi bersama nabi dan rasul-rasul yang lain, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal di dalam kitab Musnadnya: Apabila Nabi Muhammad SAW masuk ke dalam Masjid al-Aqsa lalu beliau bersolat kemudian baginda berpaling dan kemudiannya berpaling kembali dan melihat para-para nabi bersolat bersamanya.

Setelah itu, baginda juga bertemu dengan beberapa nabi di tingkatan langit-langit tertentu sebagaimana yang termaktub di dalam pelbagai kitab hadis dan sirah.

blue and purple galaxy digital wallpaper

Perutusan Nabi Muhammad SAW kepada umat manusia bukanlah bertujuan untuk membina asas baharu di dalam beragama secara total. Sebaliknya baginda adalah nabi akhir zaman yang mengukuhkan kembali dakwah yang dimulakan oleh ayah kepada semua manusia iaitu Nabi Adam AS, sebagaimana yang ditegaskan pada ayat ketiga Surah Ali ‘Imran: Ia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Ia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil.

Pertemuan dengan beberapa nabi ketika peristiwa MIkraj Nabi di setiap tingkat di langit membuktikan bahawa para nabi kesemuanya adalah bersaudara di dalam menjalankan tugasan dakwah bagi mengesakan Allah SWT.

Al-Quran sering kali menyebut kelebihan bersama insan soleh yang dimuliakan Allah seperti ayat 36 Surah al-Taubah: …. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. Dan Surah al-Anfal ayat 46: … Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.

Surah pertama di dalam Al-Quran yang diulang-ulang di dalam bacaan solat harian umat Islam juga menyebut mereka yang sebelum ini diberi nikmat hidayah: Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka.

people walking on brown sand during daytime

Beberapa mufassirin seperti Al-Tabari (wafat 310 H) mentafsir mereka ini sebagai para nabi-nabi, orang yang gugur shahid, orang yang beramal soleh, dan termasuklah juga mereka yang benar lagi membenarkan. Petunjuk dan hidayah yang diberikan kepada golongan ini adalah begitu mahal nilainya sehingga dijadikan sebagai satu matlamat yang perlu dikejar dan direalisasikan oleh mereka yang benar-benar beriman.

Kedudukan yang tertinggi di dalam kelas orang yang soleh di kalangan hamba Allah ialah para nabi dan rasul. Justeru, kebersamaan Nabi Muhammad SAW bersama dengan para nabi sebelum baginda dimikrajkan adalah satu kemuliaan yang begitu besar, di mana mereka inilah personaliti yang Allah sebutkan di dalam Al-Quran di dalam banyak tempat, terutamanya surah-surah Makkiyah yang banyak menceritakan perihal nabi-nabi terdahulu.

Peristiwa di atas menunjukkan betapa tingginya pekerti dan adab Nabi Muhammad SAW di dalam menyantuni dan menghormati saudara-saudara kewahyuan baginda, meskipun baginda sedang diraikan oleh Allah SWT untuk bertemu denganNya. Kebersamaan yang ditunjukkan juga membuktikan kebenaran itu sentiasa bersama mereka yang hampir kepada Allah SWT seperti para nabi dan rasul serta mereka yang mengikut jejak langkah mereka.

Pertemuan bersejarah di antara Nabi Muhammad SAW dan nabi-nabi yang lain mendidik kita untuk sentiasa menghormati para ilmuan, cendekiawan, dan orang soleh yang telah mendahului kita. Imam Sufyan bin ‘Uyainah (wafat 198 H) menjelaskan: Rasulullah SAW itu adalah batu aras dan timbangan yang paling utama. Dengannya perlu dibentangkan setiap perkara, akhlaknya, sirah hidupnya serta pedoman darinya. Apa yang menepati ajarannya, itulah kebenaran; sementara yang menyalahinya pula adalah yang batil (sebagaimana direkodkan oleh al-Baghdadi di dalam kitab al-Jamik li akhlak al-Rowi).

brown and black concrete building

Adab yang dianjurkan oleh ulama tidak cukup hanya dengan itu, ia juga akan berterusan setelah kematian mereka. Justeru, kita dianjurkan untuk mendoakan mereka yang telah meninggal dunia (kadangkala distilahkan sebagai tarahhum atau taraddi), terutamanya para ulama, agar mereka dirahmati dan diredai Allah.

Demikianlah indahnya Islam mendidik umatnya agar sentiasa mengekalkan adab ini dari satu generasi ke generasi seterusnya supaya mereka mendapat manfaat darinya dengan terus konsisten beramal dan berada di atas manhaj iman dan amal yang soleh.

Beradab dengan para ulama dan ilmuan adalah satu resipi kejayaan dan keberkatan hidup yang diwarisi oleh umat Islam. Praktis yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat telah berjaya membina generasi yang begitu membesarkan dan menghormati ilmu sehingga berkembangnya ilmu sehingga ke seluruh alam.

Ilmu yang tersebar ini bukan sahaja dibuktikan dengan penghasilan karya dan ijtihad yang begitu bermanfaat kepada manusia. Mereka juga perlu menyumbang kepada satu manifestasi yang berjaya menyatukan manusia di bawah manhaj dan pemikiran yang satu, sebagaimana yang kita maklumi dengan nama Ahlus Sunnah wal Jamaah dan mazhab empat yang muktabar.

Inilah keberkatan ilmu hasil dari adab-adab yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada umatnya, dan seharusnya menjadi intipati utama peristiwa Israk Mikraj kepada kita semua.


Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di shahid82@um.edu.my

Penulisan sempena Isra’ dan Mikraj ini telah dihantar ke beberapa penerbitan tempatan (Ed.)