Oleh: Prof Dato Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman
Kesejahteraan sosial terutamanya menerusi reformasi strategik Belanjawan 2025 oleh YAB Perdana Menteri pada 18 Oktober 2024 menjadi kayu ukur utama dalam percaturan pembangunan mampan dan juga kemajuan nasional, di mana pembelajaran sepanjang hayat dan juga kapasiti infrastruktur dan modal insan menjadi tunjang dalam pencapaian objektif ini. Ianya ditambahkuatkan lagi dengan suntikan Kerajaan dengan peruntukan sejumlah RM18 bilion kapada Kementerian Pendidikan Tinggi.
Pembangunan kapasiti modal insan dan juga pencapaian dalam sektor kritikal termasuklah teknologi, digital, keterjaminan keselamatan sumber dan rantaian bekalan, serta kemajuan bidang tujahan baharu termasuk kepintaran buatan, ekonomi digital, sumber tenaga baharu dan hijau, dan mineral.
Universiti Malaya, selari dengan hasrat dan tujahan baharu hala tuju negara, terus mengangkat norma dan lembaran baharu untuk bertindak selari dengan langkah reformasi strategik untuk berfokus kepada domain kritikal baharu, selari dengan status UM sebagai pelopor pendidikan tinggi negara dan menjadi nadi utama dalam hasrat hala tuju negara mencapai kesejahteraan seimbang dalam semua aspek
Manfaat dan impak kepada masyarakat umum perlu memberi kesan langsung kepada domain kemajuan mobiliti sosial di mana peluang untuk berkembang dan meningkatkan kedudukan sosial perlu berasaskan platform pendidikan tinggi yang berkualiti dan peluang yang meluas bagi semua.
Hanya melalui pendidikan tinggi dan akses kepada pendidikan yang menyeluruh, ia akan memberi impak langsung kepada manfaat peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan isi rumah, usaha dan impak menangani isu sosial dan kadar kemiskinan, meningkatkan kemakmuran pendapatan isi rumah gabungan, serta memberi kesan langsung yang kolektif kepada kemajuan status ekonomi dan kuasa negara dengan peningkatan kapasiti modal insan dan bakat berkemahiran tinggi.
Oleh itu, peruntukan kepada penyelidikan baharu, bidang saintifik kritikal dan sektor pendidikan tinggi keseluruhan adalah penting dalam menyediakan impak pelbagai penjuru kepada pelbagai sektor kritikal dalam negara, dan pada masa yang sama menyediakan penyelesaian kemelut sistemik.
Ini akan menutup jurang geografi, demografi, ekonomi, sosial, budaya, pendapatan, dan pembangunan yang masih wujud dan telah menjadi halangan dalam usaha negara untuk menjadi sebuah negara maju yang seimbang dengan konsep kemakmuran, kemajuan, dan negara berpendapatan tinggi yang selaras dengan konsep Madani dan pertumbuhan seimbang masa depan.
Kedatangan cabaran baharu dan perubahan pesat dalam arena geopolitik, keselamatan, dan teknologi akan menuntut agenda reformasi baharu yang berani serta transformasi dalam bidang pendidikan tinggi dan penyelidikan
Cabaran dan impak langsung ancaman konvensional dan bukan konvensional daripada peningkatan konflik keselamatan dan ketegangan sehingga kepada kesan perubahan iklim yang berterusan serta domain keselamatan tenaga dan makanan, semuanya memerlukan universiti berani dalam perubahan struktur dan sistemik untuk memenuhi keperluan masa depan, bukan hanya menyediakan penyelesaian kepada isu-isu ini, tetapi juga bertindak sebagai pemacu untuk pembinaan negara dan kemajuan tamadun.
Tumpuan utama harus diberikan kepada strategi dua hala iaitu membangunkan modal insan bertaraf dunia dan holistik serta hasil penyelidikan yang kukuh dan berdaya tahan yang boleh menjadi asas utama peralihan negara ke arah negara berpendapatan tinggi yang diperkukuh dengan asas ekonomi dan teknologi yang bertaraf global untuk mencapai status negara maju dan sebagai kuasa tengah yang semakin berkembang dalam domain kuasa komprehensif, baik dalam matlamat iklim dalam agenda kehidupan lestari dan dalam kemakmuran ekonomi serta sosial.
Dalam mencapai matlamat dua hala ini, pelaburan yang betul mesti dibuat dalam bidang teknologi menyeluruh dan sokongan infrastruktur dalam sistem pengajaran dan pembelajaran serta dalam ekosistem penyelidikan yang harus menjadi pemudah dalam menyediakan pelajar, penyelidik, dan ahli akademik dengan aset nyata komprehensif terkini yang diperlukan dalam penyelidikan baharu, penciptaan pengetahuan, dan keupayaan penyerapan pengetahuan.
Selain itu, langkah seterusnya adalah melabur dalam mendapatkan modal insan terbaik untuk membangunkan bakat tempatan dan generasi baru kita sendiri.
Pelaburan dalam keupayaan fizikal dan keupayaan insani mesti dilakukan secara serentak dalam menyemarakkan sistem sokongan komprehensif dalam reformasi baharu sistem pendidikan tinggi.
Jurang utama yang masih wujud ialah ekosistem standard dan kualiti keseluruhan dalam penyelidikan dan domain akademik yang tidak sepenuhnya menangani permintaan dan keperluan utama perubahan pesat isu dan cabaran global dalam inti pati pengurusan punca masalah dan penyelesaiannya. Kelemahan struktur ini disebabkan oleh jurang yang semakin meningkat dalam tahap standard dan kualiti kedua-dua sokongan teknologi dan modal insan.
Oleh itu, kita perlu menangani kekurangan pembiayaan dalam bidang pertumbuhan geostrategik yang kritikal dan pulangan kepada negara, dalam bidang peralihan tenaga, teknologi tinggi, dan ekonomi digital, kemajuan saintifik dan kesihatan, mineral kritikal, dan lain-lain yang memerlukan sokongan pembiayaan jangka panjang, infrastruktur, dan modal insan yang konsisten dan tertumpu bagi memastikan institusi tempatan kita dapat mengukuhkan asas dan fundamental mereka untuk merapatkan jurang dengan institusi terkemuka dunia, terutama dalam bidang pembiayaan penyelidikan kritikal dalam bidang seperti kesihatan dan penyakit, iklim dan alam sekitar, tenaga, digitalisasi, serta peralihan ekonomi.
Bidang kemajuan digital dan Kepintaran Buatan (AI) akan kekal sebagai salah satu bidang kritikal yang paling penting dan memberi pulangan strategik kepada negara dalam usaha kita untuk mencapai transformasi teknologi dan ekonomi.
Pendekatan holistik dan top down approach di universiti adalah perlu dan strategik dalam konteks tertentu, dan mesti dirancang dengan teliti untuk memastikan keseragaman dan kesepaduan di peringkat akar umbi yang merangkumi pelbagai jurang geografi, politik, dan ekonomi di negara ini.
Pelan komprehensif diperlukan untuk memastikan institusi utama di negara ini menerima sistem sokongan dari atas ke bawah dalam membangunkan pertumbuhan AI yang tertumpu yang akan melengkapkan rancangan pertumbuhan lain dalam bidang digital. Adalah penting untuk memastikan tiada pertindihan dan pembaziran dalam sumber pembiayaan, pembangunan saluran, dan trajektori masa depan untuk memberi pulangan terbaik kepada negara.
Perkongsian pintar melalui sinergi dan kerjasama awam-swasta juga merupakan cara terbaik untuk memastikan kos dikurangkan, kepakaran digalakkan, serta kecekapan dimaksimumkan.
AI kekal sebagai teras utama usaha ini, dan sokongan pembiayaan yang tertumpu dengan hasil yang jelas dan impak yang nyata mesti dimulakan untuk membina ekosistem pembangunan AI jangka panjang dalam menggabungkan domain AI yang komprehensif dalam keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi dan bidang berkaitan.
Pelbagai inisiatif termasuk Pelan Induk Perindustrian Negara 2030, Strategi Semikonduktor Negara, dan Pelan Peralihan Tenaga Negara dengan sifar karbon bersih menjelang 2050, semuanya memerlukan penggunaan AI yang pintar dan tertumpu di semua peringkat. Ini termasuk memastikan bahawa pelaksanaan dan pengoperasian AI akan didorong oleh masa depan, jangka panjang, tangkas, dan berdaya tahan, serta tidak mengulangi kesilapan masa lalu dalam perancangan dan penyelarasan yang lemah dari segi pemetaan, perancangan, pengagihan, pelaksanaan, serta konsistensi penyelenggaraan dan pertumbuhan.
Untuk negara terus maju, ia memerlukan kemajuan selari dan sama rata daripada semua sektor untuk berkembang secara seiring, dan pendidikan tinggi menyediakan asas utama bagi semua alat ekonomi, keselamatan, saintifik, serta kebudayaan dan agama yang kuat untuk berkembang.
Strategi dan dasar yang kita rancang sekarang akan menentukan kadar dan kedalaman daya saing ekonomi kita, dan ia mesti dilakukan dengan perancangan dan perkiraan yang teliti serta berpandangan jauh di peringkat pusat bagi memastikan kesepaduan dan ketangkasan industri dalam menyesuaikan diri dengan perubahan dan cabaran masa depan.
Penulis merupakan Naib Canselor Universiti Malaya dan Felo Akademi Sains Malaysia.