Hijrah menuntut pengorbanan. Hijrah secara naratifnya merujuk kepada hijrah Rasulullah SAW daripada Kota Mekah ke Kota Madinah. Hijrah biasanya sinonim dengan makna perpindahan daripada satu tempat ke tempat yang lain. Dalam Kamus Dewan, hijrah bermaksud perpindahan Nabi Muhammad SAW daripada Kota Mekah ke Madinah.
Selain itu, ia juga bermaksud penghijrahan perbuatan ataupun perihal berhijrah. Hijrah adalah sunatullah dalam kehidupan manusia. Setiap masa semua orang akan melalui fasa-fasa yang berbeza dalam kehidupan masing-masing. Malah, kemungkinan setiap hari boleh berlaku hijrah dalam kehidupan seseorang. Sebagai contoh, di kala pandemik ini banyak gaya hidup kita yang lama terpaksa ditinggalkan dan berhijrah kepada norma yang baharu.
Allah SWT berfirman: “Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedangkan dia salah seorang daripada dua (sahabat) ketika mereka berlindung di dalam gua. Pada ketika itu, dia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.” Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terbawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan Kalimah Allah (Islam) adalah yang tertinggi (selama-lamanya) kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [Surah al-Taubah, ayat 40]
Hijrah Rasulullah SAW ini adalah inspirasi kepada kita untuk terus melakukan perubahan dalam kehidupan. Peristiwa ini telah berlaku dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW dan telah diriwayatkan dalam beberapa hadis. Antaranya, Rasulullah SAW bersabda: “Nabi SAW dilantik menjadi Rasul pada usia 40 tahun dan baginda tinggal di Mekah selama 13 tahun (dalam menyampaikan dakwahnya). Kemudian, baginda menerima wahyu daripada Allah SWT dan diperintahkan agar berhijrah. Maka baginda SAW berhijrah dan menetap di sana selama 10 tahun lalu wafat ketika berusia 63 tahun”. [Riwayat Bukhari] Hijrah Rasulullah SAW bersama para sahabat ini telah menjadi titik mula kepada perubahan yang besar dalam perkembangan agama Islam.
Hijrah Rasulullah SAW daripada Kota Mekah ke Kota Madinah telah mencatatkan sejarah yang besar dalam kehidupan umat Islam. Hijrah ini berlaku setelah Nabi SAW menghadapi penentangan yang hebat daripada kafir musyrikin di Kota Mekah. Beberapa percubaan untuk berhijrah telah berlaku antaranya ke Habsyah namun tidak berjaya. Perkara asas yang perlu difahami ialah hijrah berlaku kerana mentaati perintah Allah SWT. Hijrah Rasulullah SAW bersama para sahabat bukan semata-mata berpindah kerana melarikan diri daripada kafir musyrikin. Tetapi, ianya adalah langkah proaktif ke hadapan yang telah disusun oleh Allah SAW. Terbukti Islam telah mencapai tahap kemajuan tertinggi di Kota Madinah dalam segenap perkara.
Dalam konteks pandemik Covid-19 yang sedang melanda sekarang di seluruh dunia, kita telah melalui banyak perubahan dalam banyak aspek kehidupan. Banyak perkara yang berubah daripada keadaan yang lama kepada norma yang baharu. Namun, perlu diingat bahawa perubahan yang berlaku ini semestinya menuntut pengorbanan besar daripada semua pihak. Khususnya kepada frontliners (barisan hadapan) mereka telah berkorban jiwa dan raga demi menjamin perkhidmatan yang terbaik kepada bangsa dan negara. Mereka telah mempertaruhkan keselamatan diri mereka dan sanggup berkhidmat dalam situasi yang terdedah kepada wabak ini, bahkan sangat membahayakan diri mereka. Betapa besarnya pengorbanan mereka menghadapi pandemik.
Begitu juga kita melihat perubahan yang berlaku dalam bidang kehidupan yang lain. Antaranya ialah perubahan yang besar telah berlaku dalam alam pendidikan. Daripada kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) secara bersemuka di sekolah atau universiti telah bertukar kepada PnP secara dalam talian sepenuhnya (PdPR) pada masa ini. Kita belum boleh menjangkakan bilakah pandemik ini akan berakhir. Tidak mustahil sekiranya selepas ini pun PnP secara dalam talian ini akan menjadi satu kaedah penting dalam pendidikan. Sangat besar pengorbanan para pendidik kita untuk meneruskan PnP supaya sistem pendidikan negara kita tidak lumpuh sebagaimana berlaku di sesetengah tempat di negara lain.
Pada permulaan berlakunya pandemik Covid-19 iaitu pada awal tahun 2020, kita sebelum itu tidak pernah membayangkan perubahan yang akan berlaku dalam kehidupan kita sebagaimana sekarang. Apabila sudah lebih setahun kita mengharungi kehidupan yang serba baharu ini, kita sudah boleh memahami dan menerima peralihan yang telah berlaku. Perkembangan yang sangat pesat juga telah berlaku dalam dunia perniagaan dan perdagangan dalam talian (e-dagang). Sejak pandemik melanda dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diwartakan, banyak urusan perniagaan seperti urusan jual-beli berlaku secara dalam talian. Ianya juga telah memberi impak besar kepada bidang industri.
Untuk sampai ke tahap ini pastinya semua pihak terpaksa melalui berbagai kesukaran dan banyak pengorbanan yang dilakukan. Sekarang ini masyarakat semakin biasa dengan amalan terpuji seperti menjaga kebersihan dan menjaga diri daripada terdedah kepada wabak dan penyakit yang merbahaya. Langkah pencegahan sangat dititikberatkan. Mungkin perkara ini tidak begitu diambil berat sebelum ini. Tetapi, dengan tercetusnya wabak ini, seluruh masyarakat telah berhijrah kepada norma baharu kehidupan yang lebih baik. Ianya adalah hijrah kepada norma baharu kehidupan yang lebih baik. Allah SWT tetap akan memberikan ganjaran pahala yang besar jika ianya dilakukan dengan niat kerana Allah.
Hijrah juga dalam erti kata yang lebih besar membawa kepada makna kemerdekaan daripada segala jenis perhambaan. Bukan sahaja perhambaan sesama manusia, tetapi memerdekakan diri daripada segala kepentingan peribadi. Oleh itu, hijrah juga adalah kemerdekaan dan keluar daripada segala belenggu yang mencengkam. Seterusnya, menubuhkan sebuah negara yang merdeka.
Tegasnya, hijrah seperti ini juga termasuk dalam maksud hijrah sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Daripada Muawiyah katanya: Rasulullah SAW bersabda: “Hijrah tidak akan berakhir sehingga berakhirnya peluang bertaubat dan peluang bertaubat tidak berakhir sehingga matahari terbit dari sebelah barat”. [Riwayat Abu Daud] Allah SWT juga berfirman: “Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih tinggi darjatnya disisi Allah”. [Surah al-Taubah, ayat 20]
Penulisan ini telah diterbitkan Berita Harian (Ed.)