Siapa yang murid sekolah rendah percayai?
Oleh Dr. Syarifah Maisarah binti Syed Alwi
Bayangkan seorang murid sekolah rendah pulang dari sekolah dalam keadaan muram. Dia tidak lagi banyak bercakap seperti biasa, mula enggan ke sekolah dan sering mengadu sakit perut pada waktu pagi. Di sekolah pula, dia lebih banyak mendiamkan diri dan cuba mengelakkan rakan-rakannya. Mungkin kanak-kanak ini sedang berhadapan dengan masalah yang tidak diketahui oleh orang dewasa di sekelilingnya. Persoalannya, mengapa dia memilih untuk berdiam diri sedangkan bantuan mungkin berada begitu hampir?
Situasi seperti ini mengingatkan kita tentang kepentingan tingkah laku mendapatkan bantuan atau help-seeking behaviour dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah. Tingkah laku mendapatkan bantuan merujuk kepada kecenderungan seseorang untuk menyedari bahawa dirinya memerlukan bantuan, mengenal pasti sumber bantuan yang sesuai yang boleh terdiri daripada ibu bapa, guru, guru bimbingan dan kaunseling, rakan sebaya atau orang dewasa lain yang dipercayai dan seterusnya mengambil langkah untuk mendapatkan bantuan tersebut.
Bagi pelajar sekolah rendah yang berhadapan dengan pelbagai cabaran yang mungkin kelihatan kecil pada pandangan orang dewasa tetapi mungkin mempunyai makna yang besar kepada mereka. Masalah seperti diejek oleh rakan, dibuli, tidak mempunyai kawan, menghadapi kesukaran dalam pembelajaran, konflik dengan rakan atau guru, serta perubahan dalam keluarga boleh menimbulkan tekanan emosi. Ada kanak-kanak yang mampu menceritakan pengalaman mereka, tetapi ada juga yang memilih untuk memendamnya.
Mengapa mereka tidak meminta bantuan? Salah satu sebabnya ialah mereka mungkin belum mempunyai kemahiran untuk memahami dan menjelaskan apa yang sedang mereka rasakan. Seorang kanak-kanak mungkin berasa takut, sedih atau tertekan tetapi tidak mengetahui bagaimana untuk menerangkan emosinya. Ada pula yang menganggap masalah mereka terlalu kecil untuk diceritakan kepada orang dewasa. Sesetengah kanak-kanak mungkin bimbang akan dimarahi, tidak dipercayai atau dianggap sebagai pengadu sekiranya mereka menceritakan masalah kepada guru atau ibu bapa.
Oleh itu, reaksi orang dewasa sangat penting. Apabila seorang kanak-kanak memberitahu sesuatu masalah, respons pertama kita boleh menentukan sama ada dia akan meminta bantuan lagi pada masa hadapan. Respons seperti โJangan fikir sangatโ, โBenda kecil sahajaโ atau โKamu kena pandai selesaikan sendiriโ mungkin diberikan dengan niat untuk menguatkan mereka. Namun, bagi kanak-kanak, kata-kata tersebut boleh membuatkan mereka merasakan bahawa perasaan mereka tidak penting. Sebaliknya, mendengar dengan tenang, mengakui perasaan mereka dan bertanya bagaimana kita boleh membantu dapat mewujudkan rasa selamat.
Dalam konteks sekolah rendah, guru merupakan antara orang dewasa yang paling hampir dengan murid setiap hari. Guru bukan sahaja berperanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, tetapi juga berpotensi menjadi sumber sokongan apabila murid berhadapan dengan masalah. Perubahan seperti murid yang tiba-tiba menjadi pendiam, sering menyendiri, kehilangan minat terhadap aktiviti sekolah atau menunjukkan perubahan dalam prestasi akademik wajar diberikan perhatian. Perubahan tersebut tidak semestinya bermaksud kanak-kanak sedang mengalami masalah psikologi, tetapi ia boleh menjadi petunjuk bahawa mereka mungkin memerlukan perhatian dan sokongan.
Pada masa yang sama, rakan sebaya boleh menjadi pintu masuk penting kepada bantuan. Pelajar-pelajar sekolah rendah mungkin lebih selesa berkongsi masalah dengan rakan terlebih dahulu kerana mereka merasakan rakan lebih memahami pengalaman mereka. Dalam konteks ini, peranan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) atau inisiatif sokongan rakan sebaya seperti Bongsu di sekolah rendah boleh membantu mewujudkan persekitaran yang lebih mesra dan selamat untuk kanak-kanak bersuara. Rakan sebaya boleh menjadi individu pertama yang mendengar, memberikan sokongan emosi dan membantu kanak-kanak menyedari bahawa mereka tidak bersendirian.
Namun, peranan PRS atau rakan sebaya perlu difahami dengan jelas. Mereka bukan kaunselor dan bukan individu yang bertanggungjawab menyelesaikan masalah psikologi yang serius. Sebaliknya, mereka boleh menjadi jambatan yang menghubungkan kanak-kanak kepada bantuan yang lebih sesuai. Jika sesuatu isu melibatkan buli, penderaan, keselamatan, tekanan emosi yang serius atau masalah yang berpanjangan, murid perlu digalakkan untuk mendapatkan bantuan daripada guru, guru bimbingan dan kaunseling atau pihak yang berkaitan.
Sekolah juga perlu memastikan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling dilihat sebagai sumber bantuan yang mudah diakses, bukannya hanya untuk murid yang mempunyai masalah disiplin atau masalah yang serius. Pendidikan berkaitan emosi dan kemahiran mendapatkan bantuan juga perlu diperkenalkan sejak awal supaya kanak-kanak tahu mengenal pasti emosi, memahami apabila mereka memerlukan bantuan dan mengetahui kepada siapa mereka boleh mendapatkan sokongan.
Di rumah pula, ibu bapa memainkan peranan penting dalam membina keyakinan anak untuk mendapatkan bantuan. Komunikasi tidak semestinya perlu bermula dengan soalan yang serius. Soalan mudah seperti โApa yang paling menggembirakan kamu hari ini?โ atau โAda apa-apa yang membuatkan kamu rasa tidak selesa di sekolah?โ boleh membuka ruang kepada anak untuk berkongsi pengalaman mereka. Yang penting, ibu bapa perlu belajar mendengar tanpa tergesa-gesa menyalahkan, menghukum atau memberikan penyelesaian.
Justeru, kita tidak boleh mengharapkan setiap pelajar akan datang kepada kita dan berkata, โSaya perlukan bantuan.โ Ada yang mungkin menunjukkannya melalui perubahan tingkah laku, ada yang menjadi semakin pendiam, dan ada yang memilih untuk berdiam diri. Menjadi tanggungjawab kita untuk mewujudkan ruang yang membuatkan mereka tahu bahawa apabila mereka berdepan masalah, ada yang sudi mendengar, memahami dan membantu. Kerana kadangkala, keberanian seorang murid untuk meminta bantuan bermula daripada keyakinan bahawa ada seseorang yang benar-benar bersedia untuk mendengar.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, dan Ahli Psikologi Klinikal Malaysia.