16 September 2026

Membesar

Featured

Membesar

Adakah anak petah bercakap benar-benar memahami atau sekadar meniru? Oleh...

Sharings

The photos are yours. The childhood is theirs. By Dr....

Meetings

More than a bowl of cendol By Ng Kwan Hoong Some...

Voices

The second phone call By Nahrizul Adib Kadri Long before smartphones,...

Kejam

Bukan semua keganasan itu terorisme Oleh Dr. Haezreena Begum Abdul...

Share

Adakah anak petah bercakap benar-benar memahami atau sekadar meniru?

Oleh Norliza binti Amin, Farah Nabilah binti Mahathir

Kanak-kanak hari ini kadangkala mengejutkan orang dewasa dengan keupayaan berbahasa mereka. Ada yang masih belum menguasai kemahiran membaca, tetapi sudah mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan lancar. Ada juga yang boleh menghafal lagu, mengulang dialog daripada video dan meniru intonasi watak hampir sama seperti yang didengar. Keupayaan ini sering mengundang pujian, namun timbul satu persoalan penting: adakah mereka benar-benar memahami perkara yang disebut atau sekadar mengulang bunyi yang kerap didengar?

Persoalan ini semakin relevan kerana kanak-kanak membesar bersama skrin. Video, animasi, lagu, permainan interaktif dan aplikasi pendidikan menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka. Kanak-kanak menerima input bahasa sebelum mereka mampu menilai maksud atau kesesuaian sesuatu ungkapan.

Peniruan sebenarnya merupakan sebahagian daripada proses awal pemerolehan bahasa. Kanak-kanak mendengar perkataan secara berulang, mengingati bunyinya, kemudian mencuba menggunakannya dalam pertuturan. Melalui proses ini, mereka boleh menyanyikan lagu dalam bahasa yang jarang digunakan di rumah atau menyebut dialog kegemaran dengan lancar. Peniruan bukanlah sesuatu yang salah, tetapi meniru dan memahami ialah dua tahap penguasaan yang berbeza.

Seorang anak mungkin menyebut โ€œWatch out!โ€ setiap kali mendengar ungkapan itu dalam video. Namun, adakah dia memahami maksudnya dan dapat menggunakannya apabila melihat seseorang berada dalam bahaya? Begitu juga dengan anak yang mampu mengira โ€œone, two, threeโ€. Kebolehan menyebut urutan nombor belum tentu membuktikan bahawa dia memahami konsep bilangan. Kefahaman hanya menjadi lebih kukuh apabila perkataan dapat dihubungkan dengan objek, tindakan dan situasi sebenar.

Dalam dunia digital, algoritma turut mempengaruhi bahasa kanak-kanak. Secara mudah, algoritma mencadangkan kandungan berdasarkan video yang pernah ditonton atau diminati. Apabila kanak-kanak kerap menonton sesuatu kandungan, video yang hampir sama akan terus dipaparkan. Bersama-sama kandungan tersebut hadir perkataan, ungkapan, sebutan dan gaya bahasa yang berulang. Tanpa disedari, algoritma bukan sahaja menentukan perkara yang ditonton, malah membentuk bahasa yang kerap didengar.

Pengulangan ini mudah melekat dalam ingatan kerana kanak-kanak peka terhadap bunyi dan pola bahasa. Selepas menonton video yang sama beberapa kali, mereka mungkin sudah dapat mengikut keseluruhan dialog. Namun, cepat meniru tidak bermakna cepat memahami. Algoritma boleh membantu mereka mengingati sesuatu, tetapi pengulangan semata-mata tidak menjelaskan makna atau konteks penggunaannya. Di sinilah perbezaan antara bahasa yang sekadar melekat di telinga dengan bahasa yang benar-benar dikuasai.

Pendedahan digital tetap mempunyai kelebihan. Kanak-kanak hari ini boleh mempelajari pelbagai kosa kata, mendengar lebih daripada satu bahasa dan mengenali perkara yang mungkin tidak sempat diperkenalkan di rumah atau sekolah. Namun, pendedahan sahaja tidak menjamin kefahaman. Perkataan yang dipelajari melalui skrin menjadi lebih bermakna apabila digunakan dalam pengalaman harian dan interaksi bersama orang dewasa.

Keadaan ini dapat dilihat dalam pendidikan awal kanak-kanak. Di dalam kelas, guru mungkin berhadapan dengan murid yang fasih menyanyi, mengulang perkataan atau menjawab soalan yang biasa didengar. Apabila soalan yang sama dikemukakan dalam bentuk berlainan, sesetengah murid mungkin terdiam atau memberikan jawapan yang tidak berkaitan. Situasi ini menunjukkan bahawa kemampuan menghafal tidak semestinya mencerminkan kefahaman.

Oleh itu, bahasa perlu dikembangkan melalui aktiviti bermain, bercerita dan berinteraksi, bukan melalui hafalan semata-mata. Ketika bermain bersama rakan, kanak-kanak belajar meminta, menjawab, menolak, berkongsi, menunggu giliran dan menyatakan perasaan. Ayat mereka mungkin pendek dan susunannya belum sempurna, tetapi pada saat itulah proses memilih perkataan, menyusun idea dan memahami tindak balas orang lain sedang berlaku.

Proses yang sama boleh diteruskan di rumah. Ibu bapa tidak memerlukan sesi pembelajaran formal untuk merangsang perkembangan bahasa. Perbualan ketika makan, bermain, membeli-belah atau dalam perjalanan sudah menyediakan ruang yang luas. Soalan seperti โ€œMengapa?โ€, โ€œApakah yang kamu rasa?โ€ dan โ€œApakah yang kamu fikir akan berlaku?โ€ mendorong anak menjelaskan idea, membuat hubungan dan memilih perkataan sendiri, bukan sekadar memberikan jawapan hafalan.

Skrin tidak semestinya menjadi penghalang. Teknologi boleh berfungsi sebagai medium pembelajaran yang baik jika kandungannya berkualiti, sesuai dengan umur dan digunakan dengan penglibatan orang dewasa. Selepas menonton sesuatu video, ibu bapa boleh meminta anak menceritakan semula jalan ceritanya, menjelaskan tindakan watak atau mengaitkannya dengan pengalaman sebenar. Langkah ringkas ini mengubah tontonan pasif menjadi peluang untuk berfikir dan berbahasa.

Pada masa ini, kebolehhan mengulang maklumat sahaja tidak mencukupi. Kanak-kanak perlu memahami perkara yang didengar dan menggunakan bahasa untuk menyampaikan mesej, keperluan, fikiran serta perasaan dengan tepat. Apabila anak mampu menyebut ayat panjang, menghafal lagu atau bercakap seperti watak kegemarannya, pencapaian itu wajar dihargai. Namun, orang dewasa perlu melangkah lebih jauh daripada sekadar berkata, โ€œPandainya bercakap.โ€

Kemampuan meniru ialah pintu masuk kepada pembelajaran bahasa, bukannya ukuran akhir penguasaan. Bahasa benar-benar dikuasai apabila kanak-kanak memahami makna, memilih perkataan sendiri dan menyesuaikannya dengan situasi. Proses itu memerlukan pengalaman, konteks dan interaksi manusia. Oleh itu, persoalan yang lebih penting bukan sekadar sama ada anak petah bercakap, tetapi sama ada mereka memahami perkara yang diperkatakan.


Norliza binti Amin merupakan Pensyarah di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya, manakala Farah Nabilah binti Mahathir merupakan Guru Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Huroof Preschool.

Previous article