1 November 2025

Mendekati, melestari

Featured

A long game

By Ts. Elman Mustafa El Bakri Let’s not sugarcoat it....

Representasi bunyi sebutan

Oleh Muhammad Ridha Ali Huddin Apabila kita menyentuh tentang pembelajaran...

Mendekati, melestari

UM bantu komuniti kampung kitar semula sisa minyak masak Sekumpulan...

Compassionately

By Chan Jee Onn My journey into biomedical engineering was...

Pelayaran kita

Oleh Prof Madya Dr Monika @ Munirah Abd Razzak Dunia...

Share

UM bantu komuniti kampung kitar semula sisa minyak masak

Sekumpulan pensyarah, pelajar pascasiswazah dan staf pelaksana dari Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) telah menjayakan program komuniti di bawah inisiatif CAKnA (Citra Akademik untuk Komuniti dan Alam) yang bertujuan mendidik penduduk luar bandar tentang cara mengitar semula minyak masak terpakai kepada sabun buatan tangan yang mesra alam dan bernilai komersial. Program bertajuk “Kelestarian, Kesihatan dan Keusahawanan (3K): Transformasi Sisa kepada Produk Bermanfaat untuk Komuniti Luar Bandar” ini dijalankan bersempena Pesta Sukan Bendang Antarabangsa dengan penglibatan penduduk kampung dan pelajar sekolah.

“Kami ingin mendidik masyarakat bahawa minyak masak terpakai bukan sekadar sisa buangan, tetapi boleh ditukar menjadi produk berguna seperti sabun. Dengan sedikit pengetahuan sains dan kaedah yang betul, amalan ini bukan sahaja menjimatkan tetapi juga menyumbang kepada kelestarian alam sekitar,” jelas Professor Madya Dr. Siti Nadiah Abdul Halim, ketua projek CAKnA.

Melalui bengkel interaktif yang dijalankan, peserta didedahkan kepada kaedah menapis dan mengendalikan minyak masak terpakai dengan betul, termasuk langkah-langkah keselamatan serta proses asas pembuatan sabun menggunakan bahan yang mudah diperoleh dan selamat digunakan. Pameran turut dilawati oleh YB. Azhar Ibrahim, ADUN Ayer Hitam, Kedah. Aktiviti ini turut dilengkapkan dengan sesi kesedaran mengenai pemilihan minyak masak yang sesuai mengikut jenis masakan, cara menilai kualiti minyak sebelum digunakan semula, serta amalan penggunaan minyak masak yang betul dan sihat.

Menariknya, hasil pemerhatian pasukan penyelidik mendapati bahawa tahap kesedaran penduduk kampung terhadap pengurusan sisa minyak masak berada pada tahap yang baik. Ramai yang sudah maklum tentang bahaya pembuangan minyak ke dalam sinki dan mengamalkan cara pelupusan yang lebih bertanggungjawab. “Kami kagum dengan kesedaran yang telah wujud dalam kalangan penduduk kampung. Apa yang kami lakukan ialah menambah nilai melalui ilmu sains supaya mereka lebih memahami aspek keselamatan, kesihatan dan peluang keusahawanan yang boleh dibangunkan,” kata Dr. Noordini Mohamad Salleh, penyelidik bersama yang berpengalaman dalam bidang oleokimia.

Program ini turut disertai oleh Professor Madya Dr. Tan Kong Wai, Dr. Nazzatusshimar, Dr. Siti Jariani dan Dr. Arniza Khairani dari Jabatan Kimia, Fakulti Sains UM, bersama-sama pelajar pascasiswazah yang memainkan peranan penting dalam aktiviti demonstrasi, fasilitasi bengkel, dan interaksi bersama komuniti. Penglibatan pelajar ini bukan sahaja memberi peluang untuk mereka berkongsi ilmu sains secara langsung, malah turut memperkenalkan mereka, khususnya pelajar antarabangsa kepada budaya dan kehidupan masyarakat kampung di Kedah yang kaya dengan nilai kekitaan dan semangat gotong-royong.

“Program seperti ini bukan sahaja memberi ruang kepada pelajar kami untuk berkongsi ilmu, tetapi juga mendekatkan mereka dengan realiti sosial dan budaya tempatan. Ia satu pengalaman pembelajaran yang holistik,” tambah Professor Madya Dr. Siti Nadiah. Melalui sokongan UMCares (CAKnA) serta kerjasama dengan YB. Dr. Hj. Abd. Ghani Hj. Ahmad (Ahli Parlimen Jerlun) dan Majlis Ketua Kampung Matang Kenanga, projek ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya SDG 12 – Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, SDG 4 – Pendidikan Berkualiti, dan SDG 8 – Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi.

Penganjuran serentak dengan Pesta Sukan Bendang Antarabangsa turut memberi dimensi unik kepada program ini, apabila sains, budaya dan komuniti disatukan dalam satu platform yang menyeronokkan dan bermakna.

“Kami berharap inisiatif ini dapat diteruskan secara berperingkat melalui kumpulan komuniti yang mampu menjana pendapatan sendiri. Inilah bukti bahawa ilmu sains mampu mengubah cara kita melihat sisa, daripada bahan buangan kepada sumber rezeki,” ujar Dr. Siti Nadiah mengakhiri sesi program.


Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati menerusi Dr. Noordini Mohamad Salleh dan Professor Madya Dr. Siti Nadiah Abdul Halim, Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Malaya di dini@um.edu.my

Previous article
Next article