Kasih sayang di sebalik meja ulang kaji
Oleh Norhafiza Roslan
Apabila menelusuri fasa keibubapaan hari ini, kebanyakan ibu bapa generasi milenial kini berada dalam fasa menguruskan anak-anak yang masih di peringkat sekolah rendah. Dalam fasa perkembangan yang amat kritikal ini, kesedaran terhadap kepentingan pendidikan semakin berkembang segar dalam kalangan masyarakat secara keseluruhannya. Hasrat untuk melihat anak-anak berjaya dalam pelajaran bukanlah sesuatu yang baharu, malah ia merupakan cita-cita sejagat setiap generasi ibu bapa sejak dahulu lagi. Cuma pada hari ini, pendekatan dan kaedah penglibatan ibu bapa dalam proses pembelajaran anak-anak dilihat semakin praktikal dan menyeluruh, selari dengan perubahan zaman serta sistem pendidikan semasa.
Tiba sahaja bulan Oktober dan November, jadual harian sesebuah keluarga biasanya menjadi sangat padat apabila musim peperiksaan tiba secara beruntun-untun. Bagi anak-anak di sekolah rendah, tempoh dua bulan ini menyaksikan mereka perlu menghadapi pelbagai jenis pentaksiran dan ujian kelayakan. Antaranya termasuklah Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) untuk menilai penguasaan mata pelajaran sekolah kebangsaan, serta Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) buat murid sekolah agama. Di samping itu, terdapat ujian khusus iaitu Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4), serta Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) demi memohon tempat ke sekolah berasrama penuh. Cabaran ini menjadi semakin hebat bagi keluarga yang mempunyai anak-anak dalam dua sesi persekolahan, di mana persediaan perlu dilakukan secara serentak untuk peperiksaan akademik dan agama.
Dalam mendepani gelombang peperiksaan yang mencabar ini, penglibatan aktif ibu bapa dalam mengambil tahu hal ehwal persekolahan anak-anak membawa kebaikan yang amat besar. Kesanggupan ibu bapa memahami format ujian, menyediakan jadual ulang kaji, malah melabur masa dan tenaga menghadiri seminar atau menghantar anak ke kelas bimbingan tambahan sebenarnya memberi impak positif terhadap psikologi anak. Apabila ibu bapa menunjukkan keprihatinan terhadap apa yang dipelajari di sekolah, anak-anak tidak akan berasa keseorangan dalam menghadapi tekanan peperiksaan. Suasana ini mewujudkan satu ikatan sokongan emosi yang sangat kukuh di rumah.
Ikatan sokongan emosi yang terbina di rumah ini turut disokong secara nyata oleh pelbagai kajian saintifik dalam bidang pendidikan dan psikologi. Menurut kajian terbitan Pusat Kebangsaan Hubungan Keluarga dan Komuniti dengan Sekolah serta dapatan kajian oleh Joyce Epstein dari Universiti Johns Hopkins, penglibatan aktif ibu bapa dalam pembelajaran di rumah secara konsisten berupaya meningkatkan pencapaian akademik, kehadiran ke sekolah, serta keyakinan diri murid tanpa mengira latar belakang sosioekonomi keluarga. Apabila anak-anak merasakan ibu bapa mereka bertindak sebagai rakan sepasukan yang sentiasa menyokong di belakang, motivasi dalaman mereka untuk belajar akan meningkat secara semula jadi. Anak-anak berasa lebih bersemangat untuk berusaha kerana mereka tahu ada ruang selamat dan sokongan padu yang sentiasa menanti di rumah.
Di samping itu, momen duduk bersama di meja belajar sambil menyemak nota dan mengajar anak sebenarnya memberikan rasa disayangi yang mendalam. Pengalaman ini mengajar anak-anak bahawa penilaian ke atas diri mereka bukan sekadar diukur melalui helaian kertas soalan, tetapi melalui proses usaha yang ditempuh bersama-sama. Anak-anak yang membesar dengan sokongan moral seperti ini akan belajar tentang nilai disiplin, ketabahan, dan pengurusan masa dengan cara yang positif. Mereka tidak melihat peperiksaan sebagai satu bebanan yang menakutkan, sebaliknya sebagai satu cabaran yang boleh dihadapi bersama panduan dan dorongan daripada kedua-dua ibu bapa mereka.
Sememangnya menjadi harapan setiap ibu bapa untuk melihat anak-anak meraih keputusan cemerlang dan mencatatkan gred tertinggi. Namun begitu, perkara yang paling utama dalam fasa persekolahan ini adalah untuk mengiktiraf dan memuji setiap usaha yang telah dicurahkan oleh anak-anak. Sekiranya keputusan yang diperoleh tidak seperti yang disasarkan, ia bukanlah satu kegagalan, sebaliknya satu proses pembelajaran yang amat berharga. Kasih sayang dan dorongan ibu bapa yang tanpa syarat akan membentuk ketahanan mental serta emosi anak-anak untuk terus bangkit dan mencuba lagi pada masa hadapan.
Lantaran itu, kepada semua ibu bapa yang sedang berjuang meniti dua bulan yang penuh dengan pelbagai ujian ini, teruskanlah usaha gigih anda dengan penuh kesabaran dan kasih sayang. Sekecil-kecil usaha anda duduk di sebelah anak untuk membimbing dan memberikan kata-kata semangat adalah pelaburan emosi yang sangat bermakna buat masa depan mereka. Selamat menduduki peperiksaan buat seluruh anak-anak, dan syabas serta selamat maju jaya diucapkan kepada semua ibu bapa dalam mengharungi musim peperiksaan ini dengan jayanya.
Penulis merupakan Pensyarah Asasi di Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya (PASUM).