22 July 2024

Mensyukuri apa yang ada dengan menyantuni mualaf dan asnaf di pedalaman Sabah

Featured

Kenal pasti faktornya

Statistik mengenai buli siber di Malaysia menunjukkan masalah ini semakin serius, terutama dalam kalangan remaja. Menurut kajian Ipsos, Malaysia berada di tempat kedua di Asia selepas India dalam isu buli siber dalam kalangan belia.

Bringing back their smiles

O.L.D.I.E is more than just a health project—it’s a movement towards a better quality of life for our aging population.

Menyelami intipati budaya Temuan di Ulu Chemong

Program ini berjaya memberi pendedahan dan pemahaman yang mendalam tentang budaya dan gaya hidup orang asli Temuan dalam kalangan mahasiswa UM.

The ice cream of life

I challenge all of us to be more like ice cream. Let’s store our energy wisely, stay true to our unique ‘flavour’, and when called upon, let’s give it our all – whether it’s a small scoop or a whole tub of effort.

Bursa leading the way

The Zakat Index is a market capitalization-weighted index that tracks the performance of the largest 200 companies on the Main Market of Bursa Malaysia.

Share

Program khidmat bakti yang diadakan oleh mahasiswa Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) ke komuniti pedalaman di Pitas, dan Ranau, Sabah, merupakan sebuah inisiatif yang bertujuan membentuk insan berperikemanusiaan dan peduli dengan masyarakat sekeliling. Seramai 24 orang mahasiswa dari Jabatan Syariah dan Pengurusan telah menjadi sukarelawan untuk program ini yang dinamai ‘Mahabbah Care4Ummah 5.0’ dan melibatkan hampir 300 orang penduduk mualaf dari etnik Bajau dan Dusun.

“Idea untuk menganjurkan program ini muncul setelah mendengar taklimat dari pertubuhan Care4Asnaf yang dijemput oleh pensyarah subjek Keusahawanan Islam, Dr. Mohd Abd Wahab Fatoni Mohd Balwi. Dan apabila diberi peluang untuk bekerjasama bersama Care4Asnaf dalam menjayakan misi kemanusiaan di Sabah, kami tidak melepaskannya kerana melihatnya sebagai satu peluang baik dalam pembinaan jati diri kami sebagai graduan yang akan menyertai masyarakat kelak,” kata Amir Haidar Abdul Samad, yang juga merupakan pengarah program.

Selain pihak Care4Asnaf sebagai rakan kerjasama strategik, program Mahabbah Care4Ummah 5.0 ini turut dijayakan oleh Little Caliph International Sdn. Bhd., dan Universiti Malaysia Sabah Four Wheel Drive Volunteer Club (UMS 4WDVC), yang membantu dari aspek logistik dan pengangkutan.

“Program ini bukan sahaja bertujuan untuk menyampaikan dakwah kepada komuniti mualaf dan asnaf yang memerlukan di kawasan pedalaman yang terpilih, tetapi turut menitikberatkan aspek perkongsian ilmu dan bakti kepada mereka yang kurang bernasib baik. Melalui pelbagai aktiviti seperti bengkel solat, pengurusan jenazah, tilawah Al Quran, pengagihan bantuan makanan serta bantuan Back to School, kami berpeluang menyelami kehidupan komuniti pedalaman yang menghadapi pelbagai cabaran dan kesukaran, terutamanya sebagai seorang yang baru sahaja menjalani kehidupan sebagai seorang muslim,” terang Amir Haidar lagi.

Menariknya, program sebegini yang selalunya memberi manfaat secara langsung kepada penerima bantuan, turut menghasilkan manfaat tidak langsung kepada para sukarelawan yang terlibat. “Paling asas, mereka telah belajar erti bersyukur, apabila melihat keadaan komuniti yang memiliki serba kekurangan berbanding mereka yang sedang menuntut di menara gading di ibu kota. Melalui aktiviti-aktiviti seperti menjenguk asnaf, perkhemahan di tepi sungai, mengadakan tazkirah, serta pengagihan bantuan makanan, mereka telah dibimbing untuk menjadi individu yang prihatin, peka, dan bertanggungjawab,” kata Nawawi Reza Mohd Daud, wakil Care4Asnaf yang bertindak sebagai penyelaras program.

Mewakili rakan-rakannya, Amir Haidar mengimbau kenangan ketika menjalankan program di Kampung Linapasan di Ranau, yang terletak di kaki Gunung Kinabalu. “Untuk masuk ke kampung ini kami perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda melalui jalan tidak berturap hampir 3 jam. Penduduk kampung ini masih menggunakan air sungai sebagai sumber air utama, serta hanya menggunakan generator untuk kegunaan elektrik. Uniknya kampung ini memiliki begitu ramai keluarga mualaf, dan mereka emua teruja menerima kehadiran kami. Namun, kerana kesuntukan masa kami tidak tinggal lama di sini. Kami hanya sempat hadir untuk satu sesi tazkirah dan agihan beras. Di kampung ini kami turut berkhemah di tepi Sungai,” katanya.

Dengan menghayati nilai-nilai kemanusiaan dan keislaman melalui interaksi langsung dengan komuniti pedalaman, mahasiswa bukan sahaja menyalurkan bantuan, tetapi juga membina hubungan empati yang mendalam. Hasilnya, program ini tidak hanya memberikan manfaat kepada komuniti sasaran, tetapi juga memberi pengalaman pembelajaran yang tidak ternilai kepada mahasiswa yang terlibat. Semangat kesukarelawanan dan keilmuan yang diperoleh melalui program ini diharapkan dapat terus berkekalan serta memberi impak positif dalam perjalanan kehidupan masing-masing.

Kesimpulannya, program ini telah memberi satu impak yang sangat positif bukan sahaja buat penduduk pedalaman Sabah, bahkan juga buat para mahasiswa yang terlibat sebagai sukarelawan dalam misi ini. “Justeru itu, saya berharap agar program sebegini dapat digiatkan serta diperbanyakkan lagi khususnya dalam kalangan mahasiswa kerana di sebalik dapat meringankan beban mereka yang susah di sana, program ini juga dapat membentuk sahsiah dan jati diri para mahasiswa agar menjadi manusia yang berguna dan bermanfaat kepada masyarakat,” kata Amir Haidar mengakhiri temubual.


Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Amir Haidar Abdul Samad di alhaidaramir@gmail.com