4 October 2024

Menyelamat makanan demi masa hadapan

Featured

Antara tuntutan kekeluargaan dan ketetapan fiqah

Oleh: Dr. Mahyudin Daud Kehidupan berkeluarga menurut ajaran Islam adalah...

Seimbangkan keduanya, mahasiswaku

Oleh: Dr. Samsul Farid Samsuddin Masyarakat kini sering dihadapkan dengan...

Influencer, I am

By Halima Saadiah Education has long been the foundation for...

ASEAN, Taiwan dan Korea Selatan

Oleh Dr Nurliana Kamaruddin Tidak dapat dinafikan bahawa dalam dekad...

Can we afford climate action?

By Athirah Azlan, Dr. Suzana Ariff Azizan Climate change is...

Share

Menurut laporan dari Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Malaysia menghasilkan lebih 8 juta tan metrik sisa makanan setiap tahun, atau hampir 20 ribu tan setiap hari. Lebih memeranjatkan, 24 peratus daripada jumlah ini, atau sekitar 4 ribu tan sisa tersebut merupakan makanan yang masih elok untuk dimakan. Jumlah ini dikatakan mencukupi untuk menyediakan makanan sebanyak 3 kali sehari kepada 2.9 juta individu.

Menyedari hakikat ini, seramai 10 orang mahasiswa Asasi Sains Sosial dari Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) telah meluangkan masa bersama sebuah badan bukan kerajaan (NGO) ‘The Lost Food Project’ menyelamatkan lebih 100 kilogram sayur-sayuran dan buah-buahan dari pasar dan pembekal di seluruh Lembah Klang, baru-baru ini. Sayur tersebut kemudiannya telah diagihkan kepada PPR sekitar Kuala Lumpur.

“Walaupun kami hanya berkesempatan untuk menyertai aktiviti NGO ini pada satu sesi sahaja, namun nilai pengalaman yang ditimba sebagai seorang sukarelawan pada sesi tersebut adalah sangat bernilai. Melaluinya kami tambah yakin yang generasi muda sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang besar dalam membentuk masa depan yang kita ingini,” kata Muhammad Irfan Mohd Sukri, mewakili rakan-rakannya.

NGO ini menjadikan premis sebuah gudang yang terletak di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur sebagai tapak operasi mereka. “Mereka ini telah bekerjasama dengan hampir 80 badan-badan amal untuk mengasingkan sayur-sayuran dan buah-buahan terbuang yang diterima dari pembekal dan pasaraya terpilih. Produk yang masih elok kemudiannya dikumpulkan, sebelum diagihkan kepada penduduk di lokasi PPR yang telah dikenal pasti,” kata Muhammad Irfan lagi.

Seorang lagi sukarelawan UM, Amni Zara Mohd Azmin menyatakan kegembiraannya kerana berpeluang menyertai program kesukarelawanan ini buat pertama kalinya. “Lebih manis kerana kami berpeluang untuk bertemu dengan individu penting program ini iaitu Sarah Grasset, yang merupakan Timbalan Presiden ‘The Lost Food Project’ ini,” kata Amni Zara.

“Secara jujurnya saya sangat terinspirasi melihat kesungguhannya untuk melakukan sesuatu yang berimpak kepada komuniti setempat. Bukan sahaja untuk masa sekarang, tetapi juga untuk generasi akan datang. Lebih mengujakan, keseluruhan program ini sebenarnya berasaskan kepada sebuah cetusan idea asal yang mudah, iaitu menyelamatkan makanan yang elok sebelum dibuang,” terang Amni Zara.

Menariknya, mahasiswa UM pada malam tersebut bukan sahaja menimba pengalaman sukarelawan yang sangat berharga, namun turut berpeluang untuk mengenali pelbagai jenis sayuran yang ada di pasaran. “Rupanya selama ini saya hanya mengenali daun salad (Lactuca sativa) jenis ‘iceberg’ yang kerap digunakan apabila menikmati hidangan nasi ayam. Banyak lagi jenis daun salad yang dihasilkan, seperti jenis ‘coral’ dan ‘Romaine’ yang boleh digunakan dalam pelbagai jenis juadah,” kata Putri Syaza Alyaa Mohd Aszairi, seorang lagi sukarelawan UM yang mengambil bahagian.

“Harapan saya adalah lebih ramai lagi mahasiswa UM dapat meluangkan masa untuk melakukan program sukarelawan seperti ini kerana ia bukan hanya membantu pemegang taruh yang terlibat secara langsung, malah turut membina sahsiah diri yang baik demi menghasilkan graduan holistik pada masa hadapan,” kata Irdina Sofiyyah Ahmad Kamarul Basya mengakhiri perbualan.


Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Muhammad Irfan Mohd Sukri di muhammadirfan1mohdsukri@gmail.com