Peranan empati dan sokongan psikososial terhadap keluarga mangsa depani tragedi
Oleh Dr. Syarifah Maisarah binti Syed Alwi
Beberapa tragedi yang berlaku baru-baru ini mengingatkan kita betapa rapuhnya kehidupan dan betapa pantas sesuatu keadaan boleh berubah. Tragedi banjir dan tanah runtuh di Nepal, misalnya, bukan sahaja mengorbankan nyawa dan memusnahkan kediaman, malah turut menimbulkan kebimbangan kepada keluarga rakyat Malaysia yang masih menunggu khabar mengenai insan tersayang. Di sebalik setiap laporan berita tentang tragedi ini, terdapat keluarga yang sedang berhadapan dengan pengalaman yang jauh lebih besar daripada apa yang dapat kita lihat di skrin.
Ada keluarga yang menunggu berita dengan penuh harapan. Ada yang terpaksa menerima hakikat kehilangan secara tiba-tiba. Ada pula yang perlu menguruskan pelbagai perkara dalam keadaan emosi yang masih belum stabil. Dalam keadaan seperti ini, persoalan yang wajar kita tanyakan bukan sekadar โApa yang berlaku?โ, tetapi juga โBagaimanakah kita boleh membantu mereka yang sedang berhadapan dengan tragedi ini?โ Jawapannya bermula dengan satu perkara yang sangat asas tetapi amat penting yang perlu ada dalam kalangan masyarakat Malaysia iaitu empati.
Empati bermaksud keupayaan untuk memahami dan menghargai pengalaman serta perasaan orang lain tanpa tergesa-gesa menghakimi. Bagi keluarga mangsa tragedi, empati bukan sekadar mengucapkan takziah. Ia bermaksud memahami bahawa mereka mungkin sedang berada dalam keadaan terkejut, keliru, takut, marah, sedih atau bahkan belum mampu menerima sepenuhnya apa yang telah berlaku. Pada ketika ini, masyarakat mungkin mempunyai keinginan yang tinggi untuk mendapatkan maklumat. Kita mahu mengetahui siapa mangsa, bagaimana kejadian berlaku dan apakah perkembangan terkini.
Dalam era media sosial, maklumat pula boleh tersebar dalam beberapa minit. Namun, di sinilah kita perlu berhenti seketika dan membezakan antara keperluan untuk mengetahui dengan hak keluarga untuk mengetahui terlebih dahulu. Bayangkan seorang ibu atau bapa mengetahui kemungkinan anak mereka terlibat dalam sesuatu tragedi melalui gambar atau video yang tersebar di media sosial sebelum menerima pengesahan rasmi. Bagi pengguna media sosial, ia mungkin sekadar satu perkongsian berita. Bagi keluarga tersebut, ia mungkin menjadi detik yang sangat mengejutkan dan meninggalkan kesan emosi yang mendalam.
Sebab itu, kita perlu memahami bahawa tidak semua perkara yang kita tahu perlu kita kongsi. Gambar dan video mangsa, khususnya yang menunjukkan keadaan yang sensitif, perlu dikendalikan dengan penuh tanggungjawab. Sebelum menekan butang โshareโ, kita boleh bertanya kepada diri sendiri: Adakah maklumat ini telah disahkan? Adakah ia benar-benar perlu dikongsi? Dan adakah perkongsian ini boleh menyakiti keluarga mangsa? Prinsip yang mudah untuk diamalkan ialah โBoleh dikongsi tidak semestinya patut dikongsiโ.
Empati juga perlu diterjemahkan dalam bentuk sokongan psikososial yang nyata. Keluarga mangsa mungkin perlu menguruskan pelbagai perkara dalam satu masa termasuk urusan hospital, pengebumian, dokumentasi, perjalanan, anak-anak, dan keperluan ahli keluarga yang lain. Dalam keadaan ini, bantuan yang practical seperti menyediakan makanan, membantu urusan harian, menawarkan pengangkutan atau menjaga anak-anak boleh menjadi sangat bermakna. Namun, sokongan tidak semestinya bermaksud kita perlu sentiasa bercakap. Kadangkala keluarga hanya memerlukan seseorang yang berada di sisi mereka. Kita tidak perlu memaksa mereka bercerita, meminta mereka mengulangi apa yang berlaku atau memberikan nasihat yang panjang. Ada masanya, ayat yang paling sesuai hanyalah, โSaya ada bersama awak. Kalau awak perlukan apa-apa, beritahu saya.โ
Kita juga perlu memahami bahawa proses berduka tidak berakhir selepas pengebumian atau apabila berita tentang tragedi tersebut tidak lagi menjadi perhatian. Selepas beberapa hari atau minggu, apabila masyarakat mula kembali kepada kehidupan masing-masing, keluarga mangsa masih perlu meneruskan kehidupan tanpa insan yang mereka sayangi. Justeru, sokongan yang berterusan mungkin lebih bermakna daripada perhatian yang hanya muncul ketika tragedi menjadi tajuk utama.
Dalam sesetengah keadaan, keluarga atau individu yang terkesan mungkin memerlukan sokongan psikologi dan kaunseling. Kesedihan merupakan reaksi yang normal terhadap kehilangan, tetapi sekiranya seseorang mengalami kesukaran yang berpanjangan sehingga menjejaskan kehidupan harian, hubungan atau keupayaan untuk berfungsi, bantuan profesional boleh menjadi sangat penting. Mendapatkan bantuan bukan tanda kelemahan, sebaliknya satu bentuk penjagaan terhadap kesejahteraan diri.
Dalam menziarahi keluarga mangsa, terdapat juga batas yang perlu dihormati. Kita tidak seharusnya bertanya soalan yang terlalu peribadi, mendesak mereka berkongsi perasaan atau mengambil gambar tanpa kebenaran. Niat kita mungkin baik, tetapi niat yang baik tidak semestinya menjadikan sesuatu tindakan itu sesuai. Perkara yang sama terpakai kepada media dan pengguna media sosial. Pelaporan tragedi sememangnya penting kerana masyarakat memerlukan maklumat yang sahih. Namun, laporan perlu mengutamakan fakta dan kepentingan awam, bukannya mengeksploitasi kesedihan keluarga untuk mendapatkan perhatian atau tontonan.
Empati terhadap keluarga mangsa tragedi menuntut kita untuk melihat mereka bukan sekadar sebagai sebahagian daripada sebuah berita, tetapi sebagai manusia yang sedang berdepan kehilangan, kesedihan dan saat-saat yang amat sukar. Mereka mempunyai perasaan, maruah, privasi dan hak untuk melalui proses kehilangan dengan cara mereka sendiri. Kita mungkin tidak mampu mengubah tragedi yang telah berlaku, namun kita masih mempunyai pilihan tentang bagaimana kita bertindak selepasnya. Dalam keadaan sebegini, sokongan yang diberikan tidak semestinya dalam bentuk kata-kata yang panjang; kadangkala kehadiran, kesediaan mendengar dan menghormati ruang mereka sudah cukup bermakna. Kerana empati bukan tentang sejauh mana kita mengambil tahu tentang tragedi mereka, tetapi sejauh mana kita mampu menghormati kesedihan mereka dan hadir sebagai manusia ketika mereka paling memerlukan sokongan.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, dan Ahli Psikologi Klinikal Malaysia.