8 November 2024

Mungkin perundangan Islam mampu membantu

Featured

Ones that count

By: Nahrizul Adib Kadri These days, with endless decision-makings and...

Improving our trust

By Zarina Zakaria Malaysia has recently intensified its efforts to...

Membimbangkan

Oleh: Dr. Mohd Khairi Ismail Menurut laporan Jabatan Insolvensi Malaysia,...

Relooking at our wash

By Dr Arindam Chakraborty In Malaysia, the garment market is...

Kerana dia pembela sunnah

Oleh: Prof. Madya Dr Mohd Khairul Naim bin Che...

Share

Oleh: Muhammad Ilhamuddin Arsad, Siti Aisyah Samudin

Buli siber merupakan salah satu isu yang semakin mendapat perhatian dalam masyarakat moden hari ini. Walaupun perbuatan ini berlaku di alam maya, kesannya ke atas mangsa adalah nyata dan sering kali membawa kepada akibat yang amat serius termasuk tekanan emosi dan bahkan kes kematian. Dalam konteks undang-undang, buli siber masih belum menerima perhatian khusus di Malaysia dengan hanya beberapa peruntukan undang-undang sedia ada yang boleh diguna pakai untuk mengekang perbuatan ini. Artikel ini bertujuan untuk membincangkan fenomena buli siber dalam kerangka perundangan Islam serta bagaimana hukum-hakam Syariah boleh diguna pakai untuk menangani isu ini.

Definisi buli siber dari pandangan Islam

Menurut perspektif Islam, segala bentuk buli termasuklah buli siber adalah dilarang kerana ia melibatkan perbuatan menyakiti, menghina atau menzalimi orang lain. Al-Quran dengan jelas melarang perbuatan yang boleh menyebabkan kemudaratan kepada orang lain. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 11 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (di antara kamu) memperolok-olokkan puak yang lain; (kerana) mungkin puak yang diolok-olokkan itu lebih baik daripada mereka.” Ayat ini memberikan larangan yang jelas terhadap segala bentuk penghinaan atau ejekan termasuk dalam konteks buli siber. Rasulullah SAW juga mengingatkan umatnya agar tidak melakukan perbuatan yang menyakiti orang lain seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis: “Seorang Muslim adalah seseorang yang orang lain selamat dari gangguan lisan dan tangannya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Prinsip-prinsip perundangan Islam menangani buli siber

Perundangan Islam berasaskan kepada Maqasid Syariah, iaitu tujuan-tujuan Syariah yang bertujuan untuk memelihara lima perkara utama: agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda. Buli siber jelas melanggar prinsip-prinsip ini, khususnya dalam aspek pemeliharaan nyawa dan akal kerana ia boleh menyebabkan tekanan mental yang serius. Malahan dalam beberapa kes, buli siber membawa kepada kematian akibat bunuh diri. Oleh itu, tindakan buli siber boleh dikategorikan sebagai perbuatan yang memudaratkan, dan wajib dicegah serta dihukum.

Dalam konteks undang-undang jenayah Islam, buli siber boleh dikategorikan sebagai satu bentuk jenayah yang memerlukan hukuman ta’zir. Hukuman ta’zir merujuk kepada hukuman yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berdasarkan keseriusan kesalahan dan kemudaratan yang diakibatkan kepada mangsa. Jenayah seperti fitnah (qazaf) dan penghinaan (sabb) boleh dikenakan hukuman ta’zir yang mana hukuman tersebut bergantung kepada budi bicara hakim. Oleh itu, perbuatan buli siber yang melibatkan fitnah dan penghinaan juga boleh dikenakan hukuman serupa. Hukuman ini bertujuan untuk memberikan keadilan kepada mangsa dan menjadi pengajaran kepada pelaku agar tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Selain itu, buli siber juga boleh dikaitkan dengan konsep diyat atau pampasan bagi mangsa. Dalam kes di mana mangsa mengalami kemudaratan emosi atau mental yang serius akibat buli siber, perundangan Islam membenarkan pembayaran pampasan kepada mangsa sebagai satu bentuk keadilan. Ini bertujuan untuk memulihkan keadaan mangsa dan memberikan penebusan bagi kesalahan yang telah dilakukan oleh pelaku. Pampasan ini bukan sahaja boleh berbentuk wang ringgit, tetapi juga boleh merangkumi permohonan maaf secara terbuka dan sokongan psikologi untuk mangsa. Menerusi cara ini, mangsa boleh merasa dihargai dan diberi perhatian dalam usaha pemulihan mereka.

Tanggungjawab kolektif mencegah buli siber

Prinsip amar makruf nahi mungkar (menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran) adalah asas penting dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan bebas daripada sebarang bentuk penindasan. Dalam konteks buli siber, setiap individu dalam masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk menegur dan melaporkan perbuatan buli siber apabila melihatnya berlaku. Perbuatan ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana ia boleh memberi kesan yang berpanjangan kepada mangsa dan juga masyarakat secara keseluruhannya.

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya; jika dia tidak mampu, maka dengan lisannya; dan jika dia tidak mampu, maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman” (Hadis Riwayat Muslim). Hadis ini menekankan bahawa setiap individu bertanggungjawab untuk mencegah kemungkaran mengikut kemampuan masing-masing termasuklah buli siber. Dalam konteks semasa, pencegahan buli siber boleh dilakukan dengan pelbagai cara termasuk melaporkan perbuatan tersebut kepada pihak berkuasa, memberi sokongan moral kepada mangsa serta mendidik orang ramai mengenai bahaya dan akibat buli siber. Pendidikan dan kesedaran adalah elemen penting dalam usaha mencegah perbuatan ini daripada terus berlaku.

Keperluan perundangan khusus di Malaysia

Walaupun beberapa peruntukan undang-undang sedia ada di Malaysia seperti Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh digunakan untuk menangani kes-kes buli siber, kekurangan peruntukan yang khusus menjadikan usaha untuk mendakwa pelaku sebagai sesuatu yang mencabar. Seperti yang disebut dalam kajian terdahulu, ketiadaan definisi khusus bagi buli siber menyukarkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap pelaku. Oleh itu, terdapat keperluan mendesak untuk menggubal undang-undang yang khusus bagi menangani isu ini dengan lebih efektif.

Dalam konteks ini, perundangan Islam boleh memberikan panduan yang berguna untuk memperkenalkan undang-undang khusus bagi menangani buli siber di Malaysia. Perundangan tersebut perlu merangkumi definisi yang jelas mengenai buli siber, jenis-jenis hukuman yang boleh dikenakan serta perlindungan yang sewajarnya bagi mangsa. Ini adalah selaras dengan prinsip Maqasid Syariah yang menekankan keadilan dan pemeliharaan hak setiap individu. Selain itu, undang-undang ini juga perlu menyediakan mekanisme sokongan kepada mangsa termasuk bantuan psikologi dan perlindungan daripada gangguan selanjutnya.

Sebagai contoh, negara-negara seperti United Kingdom dan Singapura telah memperkenalkan undang-undang khusus bagi menangani buli siber. Di United Kingdom, Akta Perlindungan daripada Gangguan 1997 telah diperkenalkan untuk melindungi individu daripada gangguan dan perbuatan yang menakutkan termasuk di alam maya. Manakala di Singapura, Akta Perlindungan daripada Gangguan 2014 menyediakan peruntukan khusus bagi menangani kes-kes buli siber. Malaysia boleh mengambil inspirasi daripada undang-undang ini dan menyesuaikannya dengan konteks tempatan bagi memastikan mangsa buli siber mendapat keadilan yang sewajarnya.


Muhammad Ilhamuddin ialah Pensyarah di Fakulti Undang-Undang, Governan dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Islam Melaka, manakala Siti Aisyah Samudin ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Mereka boleh dihubungi di ilhamuddin@unimel.edu.my dan sitiaisyah.samudin@um.edu.my