Kasih ibu madrasah pertama pembina tamadun manusia
Oleh Muhammad Izzul Iqbal Bin Hasli, Nur Shahidah binti Pa’ad
Dalam dunia yang bergerak semakin pantas, ketika manusia berlumba-lumba mengejar kemajuan teknologi dan kecanggihan digital, wujud satu kekuatan senyap yang sering terlepas pandang tetapi kekal menjadi akar kepada keteguhan masyarakat iaitu kasih seorang ibu.
Dalam tradisi Islam, ibu bukan sekadar pengurus rumah tangga atau pelengkap institusi keluarga, tetapi merupakan madrasah pertama yang membentuk jiwa, akhlak dan cara fikir seorang insan sejak detik awal kehidupan. Sejarah membuktikan bahawa pembinaan tamadun tidak bermula di istana, pusat pentadbiran atau medan peperangan, tetapi bermula di ruang-ruang kecil sebuah rumah; di pangkuan seorang ibu yang mendidik dengan sabar, menenangkan dengan kasih, dan menanam nilai kehidupan sebelum dunia luar sempat mempengaruhi.
Sejak awal sejarah tamadun Islam, peranan ibu telah menjadi asas kepada lahirnya tokoh-tokoh besar yang mengubah perjalanan manusia. Kisah Hajar bukan sekadar kisah seorang wanita yang ditinggalkan bersama anak kecil di lembah gersang Mekah. Ia adalah kisah tentang ketabahan, kepercayaan dan daya juang seorang ibu. Dalam kegersangan dan kesunyian, Hajar berlari antara Safa dan Marwah bukan kerana kelemahan, tetapi kerana tekad untuk memastikan kelangsungan hidup anaknya.
Dari usaha yang tidak pernah putus asa itu, Allah menghadiahkan air Zamzam sebagai sumber kehidupan yang akhirnya menjadi asas kepada lahirnya sebuah kota, sebuah masyarakat dan sebuah tamadun. Kisah ini memperlihatkan bahawa kasih seorang ibu mampu menghidupkan sesuatu yang kelihatan mustahil.
Begitu juga dengan Aminah binti Wahab, ibu kepada Rasulullah SAW. Walaupun baginda hanya sempat merasai kasih seorang ibu dalam tempoh yang singkat, sentuhan kasih sayang itu meninggalkan kesan mendalam. Aminah dikenali sebagai wanita yang lembut budi pekerti dan halus perasaannya. Nilai kelembutan, empati dan kehalusan jiwa inilah yang terpancar dalam keperibadian Rasulullah SAW sepanjang hayat baginda, termasuk ketika baginda memimpin umat manusia. Sejarah ini mengajar kita bahawa kelembutan seorang ibu bukan kelemahan, tetapi kekuatan yang membentuk kepimpinan berjiwa besar.
Sejarah Islam juga sarat dengan kisah ibu-ibu yang melahirkan ilmuwan dan pemimpin agung. Imam al-Syafiโi dibesarkan oleh seorang ibu tunggal yang hidup dalam serba kekurangan, namun memiliki tekad luar biasa. Demi pendidikan anaknya, beliau sanggup berpindah jauh dan berkorban apa sahaja agar anaknya dapat menuntut ilmu dan menghafaz al-Quran. Didikan penuh kesabaran ini melahirkan seorang imam besar yang pemikirannya terus menjadi rujukan umat Islam hingga hari ini.
Begitu juga dengan Salahuddin al-Ayyubi, yang dibesarkan dalam suasana keluarga yang menanamkan kecintaan kepada agama dan tanggungjawab terhadap umat. Didikan inilah yang membentuknya bukan sekadar sebagai panglima perang, tetapi sebagai pemimpin yang dikenang kerana keadilan dan akhlaknya. Semua contoh ini menegaskan bahawa kehebatan seorang tokoh bermula daripada kebijaksanaan dan nilai yang ditanam oleh seorang ibu.
Cabaran seorang ibu di era digital
Namun, realiti hari ini memperlihatkan institusi keluarga berdepan cabaran yang semakin kompleks. Tekanan ekonomi, perubahan sosial dan pengaruh teknologi menjadikan peranan ibu semakin mencabar. Anak-anak kini semakin banyak dibesarkan oleh skrin berbanding sentuhan manusia, dan dalam keadaan ini, wujud risiko kekosongan jiwa, iaitu perkembangan emosi dan nilai yang tidak seimbang akibat kurangnya interaksi insani.
Teknologi tidak bersalah dan tidak harus ditolak, tetapi ia tidak mampu menggantikan peranan ibu sebagai nadi moral dan emosi dalam keluarga. Sentuhan, perhatian, bahasa kasih dan contoh teladan seorang ibu adalah proses pendidikan jiwa yang tidak mampu dilakukan oleh algoritma atau peranti digital. Di sinilah peranan ibu sebagai madrasah pertama menjadi semakin kritikal dalam membimbing penggunaan teknologi secara beretika dan berperikemanusiaan.
Mengangkat kembali kedudukan ibu tidak bermaksud membebankan mereka dengan tanggungjawab yang tidak seimbang. Sebaliknya, ia menuntut sokongan kolektif masyarakat yang lebih bermakna. Keluarga yang kukuh, ruang kerja yang memahami keperluan ibu, serta budaya yang menghargai pengorbanan wanita adalah asas yang perlu diperkasakan.
Apabila seorang ibu diberi ruang, sokongan dan penghargaan, manfaatnya tidak hanya dirasai oleh keluarga, tetapi akan melimpah kepada pembentukan generasi yang lebih seimbang dari segi emosi, akhlak dan kemanusiaan. Inilah pelaburan jangka panjang yang sering dilupakan dalam wacana pembangunan.
Prinsip tanggungjawab bersama ini selari dengan firman Allah dalam Surah al-Tahrim ayat 6 yang memerintahkan orang beriman agar memelihara diri dan keluarga daripada api neraka. Tafsiran ulama menjelaskan bahawa pemeliharaan ini berlaku melalui pendidikan, bimbingan dan pembentukan nilai dalam keluarga.
Namun, perintah ini tidak mungkin dilaksanakan secara berkesan tanpa sokongan masyarakat yang menyediakan ruang, dasar dan budaya yang menghargai peranan pendidikan ibu. Justeru, memperkasakan ibu bukan isu peribadi, tetapi amanah sosial yang menentukan kesejahteraan generasi dan ketahanan masyarakat secara keseluruhan.
Jika dunia Islam benar-benar menginginkan kebangkitan; jawapannya mungkin bukan sekadar terletak pada pembangunan teknologi atau perubahan dasar semata-mata. Ia bermula dengan sesuatu yang lebih dekat dan lebih tulen, iaitu melalui kasih seorang ibu dan penghargaan terhadapnya.
Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun yang hebat dibina oleh manusia yang hebat, dan manusia yang hebat itu dibentuk oleh ibu yang penuh kasih, sabar dan pengorbanan. Selagi peranan ini difahami, disokong dan dihargai, selagi itulah harapan untuk membina tamadun yang berakhlak dan berjiwa insani akan terus hidup.
Muhammad Izzul Iqbal Bin Hasli ialah Mahasiswa Tahun Akhir Sarjana Muda Usuluddin, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya manakala Dr. Nur Shahidah binti Pa’ad ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Usuluddin dan Da’wah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan boleh dihubungi di shaaz2301@um.edu.my