Pastikan dapat yang lima ketika berada dalam bulan Ramadan
Oleh Prof. Madya Dr Khadher Ahmad
Kelebihan yang ada dalam bulan Ramadan telah dijelaskan oleh Nabi SAW dalam banyak hadis. Antara hadis yang boleh dijadikan panduan adalah apabila dijelaskan setiap daripada amalan kebaikan yang dilakukan digandakan pahala berganda berbanding bulan-bulan yang lain.
Hadis daripada Abi Hurairah RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: โSetiap amal anak Adam akan digandakan pahala sebanyak 10 kali ganda sehingga 700 kali gandaannya. Firman Allah Azza wa Jalla: โKecuali puasa, sesungguhnya puasa untuk-Ku dan Aku yang akan memberikan ganjaran pahalanya.โ (HR Muslim, no.1151)
Oleh itu, ketika kita berada dalam bulan ini, pastikan sekurang-kurangnya lima perkara yang perlu dipastikan supaya kita dapat lakukan kerana ia hanya hadir dengan ganjaran pahala berlipat ganda pada bulan Ramadan sahaja.
Pertama: Memastikan dapat bersahur sebelum tibanya waktu fajar. Sahur adalah satu tuntutan kerana dijanjikan keberkatan sepanjang hari berpuasa yang tidak sama seperti bulan-bulan yang lain. Daripada Anas bin Malik RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda: “Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.” (HR al-Bukhari, no.1923 dan Muslim, no.1095)
Demikian juga dengan bersahur dapat membezakan amalan puasa umat Nabi SAW dengan umat-umat terdahulu. Daripada Amr bin al-‘As RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: โPerbezaan antara bagi puasa kita dan puasa ahli kitab adalah dengan makan sahurโ. (HR Muslim, no.1096)
Imam al-Nawawi berkata mengenai syarah hadis ini: โMaknanya, perbezaan yang paling ketara antara puasa kita dan puasa mereka (ahli kitab) adalah bersahur, sesungguhnya mereka tidak bersahur dan kita disunatkan untuk bersahur.โ (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/207)
Kedua: Meraikan orang yang berbuka puasa dengan menyediakan hidangan yang sesuai. Kelebihan ini dinyatakan khusus oleh Nabi SAW kepada sesiapa yang bijak dalam menjana pahala khususnya pada bulan Ramadan ini.
Daripada Zaid bin Khalid al-Juhani berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: โSesiapa memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut walaupun sedikit.โ (Hadis hasan sahih menurut al-Tirmidhi).
Jadi, dengan memberi makan orang yang berbuka, merupakan satu kelebihan menjana pahala berganda. Banyangkan kalau kita memberikan pada hari tersebut 20 orang berbuka, maka pahala kita pada hari tersebut seolah berpuasa sebanyak 20 kali tambahan dan 1 kali puasa yang kita lakukan sendiri. Tidakkah itu satu keuntungan yang besar?
Ketiga: Melaksanakan solat tarawih di masjid atau surau. Seperti yang kita sedia maklum, solat tarawih sekali pun tuntutannya sunat sahaja, tetapi ia adalah satu-satunya solat yang dituntut untuk dilakukan secara berjemaah dan dilaksanakan pada setiap malam bulan Ramadan. Tidak seperti solat sunat yang lain yang digalakkan dilakukan secara bersendirian. Walaupun Nabi SAW pernah melakukan beberapa malam sahaja, kerana dikhuatiri akan diwajibkan solat berkenaan, namun Saidina Umar bin al-Khattab telah mengarahkan pada zamannya untuk dilakukan secara berjemaah dengan berimamkan seorang imam yang muqri (iaitu yang baik bacaan al-Qurannya).
Pelaksaaan solat tarawih ini adalah satu-satunya ibadah yang hanya dituntut dalam bulan Ramadan sebagai salah satu usaha menghidupkan setiap malam bersama dengan tuntutan untuk melaksanakan juga solat witir sebanyak tiga rakaat. Amat rugi jika tawaran yang disediakan ini disia-sia oleh kita semua kerana solat tarawih bersifat hanya sebulan sahaja dalam setahun dan tidak boleh dilaksanakan lagi melainkan dalam bulan Ramadan sahaja.
Keempat: Memastikan agar sentiasa membaca al-Quran atau mengadakan tadarus al-Quran bersama-sama. Sama ada dengan ahli kariah masing-masing, rakan-rakan sepejabat atau pun bersama ahli keluarga. Jelas dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang menjelaskan bahawa bulan Ramadan adalah bulan al-Quran. Firman Allah SWT: โ(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.โ
Bahkan, dijelaskan dalam hadis bahawa Jibril AS datang setiap malam untuk bertadarus bacaan dengan Nabi SAW sebagai usaha menyemak bacaan al-Quran Nabi SAW. Usaha ini patut dijadikan amalan kita sebagai umat Baginda.
Kelima: Berusaha agar dapat beribadat pada malam al-Qadr atau masyhur dipanggil Lailatul Qadar. Lailatul Qadar hanya ada dalam bulan Ramadan sahaja dan Nabi SAW meminta agar kita berusaha mencarinya iaitu dengan maksud berusaha untuk dapat beribadah pada malam tersebut khususnya pada 10 malam terakhir atau malam-malam ganjil dalam 10 malam terakhir tersebut. Ini kerana, ganjaran yang diperoleh terhadap ibadah yang dilakukan pada malam tersebut dijanjikan Allah SWT seperti beribadah selama 1,000 bulan atau bersamaan 83 tahun 4 bulan. Peluang ini hanya sekali sahaja dalam setahun, kalau dilepaskan amatlah rugi kerana jika dibandingkan dengan umur kita bagi kebiasaan umat Nabi SAW adalah dalam lingkungan 60-75 tahun sahaja. Sedangkan dengan mendapat Lailatul Qadar ini, bonus pahalanya berlipat kali ganda sehingga 1,000 bulan ibadah.
Akhir sekali, semoga rezeki dipertemukan Allah pada bulan Ramadan ini dapat kita manfaatkan sepenuhnya untuk meraih sekurang-kurangnya lima perkara yang disarankan itu. Jika ada kemampuan lagi, boleh dipelbagaikan lagi amalan-amalan lain seperti bersedekah, membantu orang lain yang kesusahan dan kesukaran, berzikir pagi dan petang, menghubungkan silaturrahim, dan sebagainya.
Apa yang penting adalah usaha amalan yang dilakukan itu adalah semata-mata mengharapkan keampunan dan keredaan Allah, agar dapat mencapai matlamat utama puasa iaitu meningkatkan ketakwaan di sisiNya.
Penulis merupakan Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di khadher82@um.edu.my