Dilahirkan di Gombak, Che Zur’ainsya Binti Che Zaki, atau Rainsya di kalangan rakan-rakan sekuliahnya, tidak pernah menyangka bahawa dirinya mampu melangkah sejauh ini. Anak sulung daripada tiga beradik ini sering kali merasa dirinya “biasa-biasa” dan tidak cukup menonjol atau sehebat rakan sebayanya. “Saya selalu rasa, apa yang saya buat tidak cukup baik. Bila tengok orang lain berjaya, saya akan bandingkan diri sendiri dan rasa macam saya tidak setanding mereka,” luah gadis berusia 21 tahun ini.
Dari luar, tiada yang dapat meneka keinginan dan potensi yang ada dalam diri Rainsya. Dia kelihatan seperti seorang gadis biasa yang hanya mengikut arus kehidupan. Namun, di dalam dirinya, ada perjuangan yang sedang berakar. Rainsya pernah merasa terperangkap dalam bayangan kelemahan seolah-olah setiap langkahnya terbatas oleh keraguan yang menghantui.




Titik perubahan berlaku ketika Rainsya berada di tingkatan lima apabila keputusan percubaan SPM yang kurang cemerlang mencerminkan realiti. “Saya sedar, perasaan ragu akan kemampuan diri sendiri tidak akan membawa saya ke mana-mana,” kata gadis yang mengimpikan kerjaya sebagai ahli farmasi sejak di bangku sekolah ini. Dengan semangat baharu, Rainsya menggandakan usaha dan ternyata penat lelahnya berbaloi apabila beliau berjaya memperoleh keputusan semua A dalam SPM sekaligus menjadikannya sebagai salah seorang daripada 11 pelajar terbaik di sekolah tersebut.
Melangkah ke dunia baharu
Keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM menjadi tiket bagi Rainsya melanjutkan pengajian ke Pusat Asasi Sains Universiti Malaya. Berkat dorongan dan semangat yang tidak pudar, beliau seterusnya berjaya mendapat tempat di Fakulti Farmasi di universiti yang sama bagi menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda. Namun, cabaran di peringkat universiti membuka kisah yang berbeza. “Tahun pertama di universiti sangat mencabar. Saya rasa seperti ikan kecil di lautan yang besar,” ujar gadis yang menjadikan ibu bapanya sebagai idola ini.
Walaupun begitu, Rainsya tidak membiarkan rasa bingung dan gelisah membelenggu lama. Pada tahun kedua pengajian, gadis yang berani mencuba sesuatu yang baharu ini mula melibatkan diri dalam aktiviti di universiti. Pelantikan Rainsya sebagai wakil kelas menjadi batu loncatan apabila beliau diberi kepercayaan untuk memikul tanggungjawab sebagai wakil batch di Fakulti Farmasi. “Pada mulanya, saya takut gagal. Tapi, saya belajar bahawa kegagalan itu sebenarnya sebahagian daripada proses untuk belajar,” katanya penuh keyakinan.
Minat dan keunikan
Di sebalik jadual akademik yang padat, Rainsya tidak melupakan hobi istimewanya; fotografi. Minat ini mula berputik dengan kamera DSLR milik ayahnya yang digunakan untuk merakam gambar bagi majalah sekolah dan program keluarga. Kini, hobi tersebut berkembang menjadi sebuah medium untuk beliau mengabadikan pelbagai momen bermakna di universiti. “Fotografi bagi saya adalah ruang untuk bercerita tanpa kata-kata. Ia mengajar saya untuk menghargai momen-momen kecil dalam hidup,” katanya.




Selain itu, beliau turut memegang tanggungjawab sebagai Ahli Jawatankuasa Tindakan Kolej Kediaman Ibnu Sina di mana beliau terlibat dalam pelbagai program pembangunan pelajar. “Peranan ini mengajar saya untuk lebih berani membuat keputusan dan belajar untuk menjadi seorang pemimpin yang efektif,” tambahnya lagi.
Menutup perbualan, Rainsya berkongsi harapannya untuk masa depan. “Saya ingin menjadi seorang ahli farmasi yang bukan sahaja berjaya secara profesional, tetapi juga mampu memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya dengan tekad yang jelas terpancar di wajahnya.
Kisah Rainsya adalah bukti bahawa perjalanan mencari keyakinan diri bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan usaha, kesabaran, dan keberanian untuk mencabar diri. Namun, bagi mereka yang sanggup berusaha, kejayaan pasti akan menjadi milik mereka.

