28 September 2025

Realiti jurang

Featured

Bridging the divide

By Nur Balqis Zahirah Ali, Siti Idayu Hasan Behind the...

Circular services too

By Professor Dato Dr Ahmad Ibrahim When we talk about...

Realiti jurang

Oleh Nor Nazrina Mohamad Nazry Umum mengetahui era digital ini...

Unknowingly

By Nahrizul Adib Kadri There’s a phrase many of us...

Political, always

By Noraisah Yusop Poverty in Malaysia is not just about...

Share

Oleh Nor Nazrina Mohamad Nazry

Umum mengetahui era digital ini dipenuhi dengan kejutan, menjanjikan akses yang ajaib, capaian yang belum pernah dialami kepada ilmu pengetahuan, peluang mahupun hubungan dekat atau jauh. Walau bagaimanapun, bagi kebanyakan rakyat Malaysia, jurang antara mereka yang mempunyai akses digital yang boleh diharap dan mereka yang tidak adalah masih lebar dan semakin mendesak.

Laporan terbaru yang diketengahkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mendedahkan bahawa pada masa ini 92% isi rumah di kawasan bandar mempunyai capaian internet tetapi di luar bandar, hanya 68% isi rumah yang dapat mengaksesnya. Bagi kaum wanita pula, perbezaannya masih ketara di mana 58% sahaja di luar bandar yang mempunyai akses berbanding 84% di lokasi bandar. Jumlah ketidaksamaan ini bukan sahaja disebabkan faktor kemudahan, malah dipengaruhi oleh kedudukan geografi, pendapatan, jantina dan juga peluang pendidikan.

Apabila diteliti, masih banyak lokasi di Malaysia yang masih mempunyai kesalinghubungan yang tidak konsisten dan teruk. Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat EdgePoint Infrastructure, Suresh Sidhu memaklumkan separuh daripada 30,000 menara telekomunikasi diletakkan di empat negeri terutamanya di kawasan yang berfokuskan pengindustrian seperti Selangor dan Pulau Pinang.

Dalam pada itu, kerajaan melaporkan bahawa pada bulan April 2024, rangkaian 5G, generasi kelima teknologi tanpa wayar itu telah mencakupi 81.5% kawasan yang dihuni di mana ia menyokong penggunaan 11.9 juta pelanggan yang bersamaan dengan 35.4% populasi di Malaysia. Perkembangan ini jelas menunjukkan kemajuan yang baik, tetapi bagi rakyat Malaysia di kawasan luar bandar atau tempat yang ekonominya kurang baik, liputan internet itu selalunya tidak dapat digunakan, tidak seperti yang diharapkan.

Dalam dunia pendidikan, jurang digital mendapat perhatian di segenap peringkat. Dalam jurnal International Journal of Libraries and Information Studies, satu kajian yang melibatkan para pelajar universiti mendapati semasa zaman pandemik Covid-19, jurang ini merangkumi tiga bahagian iaitu pertama, capaian kepada material seperti peranti dan kesalinghubungan yang dipercayai, kedua, kemahiran digital dan yang terakhir, penggunaan digital itu sendiri.

Lebih mengecewakan, pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik terpinggir apabila sesi pembelajaran berubah kepada mod atas talian. Apabila liputan internet di rumah perlahan atau isi rumah itu hanya ada satu peranti yang dikongsi oleh ramai ahli keluarga, maka penglibatan dalam akademik tidak menjadi menyeluruh dan ada kesamarataan pembelajaran antara para pelajar.

Selain itu, golongan kurang upaya turut menghadapi halangan digital. Artikel yang diterbitkan dalam jurnal International Journal of Disability, Development and Education pada tahun 2021 menerangkan teknologi bantu atau dalam Bahasa Inggerisnya ialah assistive technology, dan usaha kerajaan dalam menangani halangan tersebut boleh menolong kehidupan mereka tetapi jelas masih tidak mencukupi.

Ada di antara mereka yang masih tidak mempunyai peranti dan tidak mendapat sokongan institusi untuk mencapai perkhidmatan atas talian sepenuhnya.

Sebahagian daripada cabaran digital ini berpunca daripada faktor infrastruktur dan kemampuan untuk memiliki. Banyak kawasan luar bandar di negara kita masih terhalang untuk pelaksanaan capaian jalur lebar berwayar atau gentian.

Justeru itu, kerajaan telah melaksanakan program seperti Jalinan Digital Negara (JENDELA) di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) untuk memperluaskan jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan yang kurang perkhidmatan. Walau bagaimanapun, kemampuan untuk memiliki peranti dan langganan internet yang berterusan masih menjadi beban kepada keluarga berpendapatan rendah, lebih-lebih lagi bagi golongan B40, kumpulan isi rumah dengan pendapatan terendah.

Di samping itu, para pakar mengingatkan bahawa pengecualian digital bukanlah setakat isu untuk menunggu kemudahan yang lebih baik tetapi apa yang perlu dilakukan juga ialah memastikan mereka yang mempunyai akses boleh menggunakan kemudahan digital dengan bermakna.

Pakar ekonomi di Bank Dunia di Malaysia, Dr Smita Kuriakose memberitahu bahawa jurang digital melingkupi tiga aspek, antaranya ialah jurang kawasan (kawasan luar bandar dengan bandar), jurang perniagaan (perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan firma besar) dan jurang jantina.

Sekiranya fokus mengatasi halangan digital hanya tertumpu kepada masalah liputan, kerajaan dan juga semua pemegang taruh berkemungkinan akan terlepas pandang kepada perkara-perkara yang lebih halus yang dapat mewujudkan jurang yang sama dalam aspek literasi, penggunaan dan pemerkasaan digital.

Beberapa strategi telah dicadangkan dan sedang dilaksanakan untuk menutup jurang digital ini. Antaranya ialah:

  • Program peruntukan peranti yang mensasarkan isi rumah berpendapatan rendah di mana setiap rumah memiliki sekurang-kurangnya satu peranti yang boleh akses Wi-Fi
  • Pelan internet mampu milik atau bersubsidi di kawasan luar bandar atau titik capaian komuniti bagi memastikan kesalinghubungan dapat dilaksanakan
  • Latihan literasi digital terutamanya kepada golongan tua, kaum wanita, orang kurang upaya dan populasi luar bandar supaya dapat mencapai akses yang bermakna
  • Sokongan kepada syarikat perniagaan kecil dan PMKS dalam menyesuaikan dengan e-dagang dan platform atas talian supaya ada pengecualian dari segi ekonomi

Laporan di peringkat antarabangsa turut menyatakan kebimbangan yang sama. Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menjelaskan ketidaksamarataan dalam pendidikan terjadi semasa pandemik Covid-19 disebabkan penyelesaian teknologi yang berlebihan di mana bukan setiap pelajar dapat mencapainya pada ketika itu.

Seterusnya, kesediaan digital memerlukan beberapa perkara seperti kekuatan liputan, mempunyai peranti dan yang lebih penting pelaksanaan polisi dalam memastikan kesamarataan dalam penggunaan, kemahiran dan juga kemampuan.

Secara keseluruhan, jurang digital bukanlah satu masalah statik tetapi ia bersifat berlapis dan dinamik. Di Malaysia, pelan perluasan 5G, pembinaan kemudahan baru dan liputan internet stabil sedang giat dilakukan dan dipertingkatkan.

Tetapi, perlu turut diteliti juga, kejayaan teknologi yang sebenar apabila kedudukan geografi, pendapatan, ketidakupayaan diri dan jantina bukan lagi menjadi faktor penentu situasi atau nasib digital individu. Sekiranya ia tidak diambil peduli, maka janji dan impian era digital masih kekal dipenuhi untuk kumpulan tertentu sahaja.


Dr Nor Nazrina Mohamad Nazry ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Kurikulum & Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di nazrina@um.edu.my.

Previous article
Next article