Semangat merdeka dengan mengangkat khazanah tumbuhan kita
Oleh Dr. Norhafiza Mohd Arshad
Setiap kali Ogos tiba, kita kembali mengingati perjalanan negara menuju kemerdekaan. Jalur Gemilang dikibarkan, lagu patriotik berkumandang dan kisah perjuangan generasi terdahulu diceritakan kepada anak-anak kita.
Namun, bagi seorang penyelidik, kemerdekaan juga membawa satu persoalan yang berbeza: sejauh mana kita mengenali dan memanfaatkan kekayaan flora dan fauna yang ada di bumi sendiri?
Malaysia mempunyai hutan hujan tropika yang kaya dengan pelbagai spesies tumbuhan. Sebahagiannya telah lama digunakan oleh masyarakat tempatan sebagai makanan, herba dan bahan untuk penjagaan kesihatan. Pengetahuan tersebut merupakan sebahagian daripada warisan yang amat bernilai. Tetapi masih banyak yang belum kita fahami.
Apakah yang terkandung di dalam tumbuhan tersebut? Apakah bahan yang memberikan sesuatu tumbuhan itu aktiviti biologi tertentu? Adakah bahan itu benar-benar berkesan dan selamat? Dan bolehkah ia dikembangkan untuk kegunaan yang lebih luas? Soalan-soalan seperti inilah yang menjadi asas kepada penyelidikan produk semula jadi.
Sebagai penyelidik, saya melihat tumbuhan bukan hanya sebagai sumber bahan mentah. Di dalamnya mungkin terdapat pelbagai sebatian yang mempunyai aktiviti biologi. Tugas penyelidik adalah untuk mengenal pasti sebatian tersebut, mengkaji sifatnya dan menentukan sama ada potensi yang dilihat di dalam makmal boleh disokong oleh bukti yang lebih kukuh.
Ironinya, prosesnya tidak mudah dan bukan berlaku dalam masa yang singkat. Daripada tumbuhan, kita perlu mendapatkan ekstrak dan mengenal pasti komponen yang ada. Kemudian, sebatian tertentu boleh diuji pada peringkat sel untuk melihat kesannya. Jika hasilnya lumayan, kajian seterusnya diperlukan untuk memahami mekanisme tindakan, keselamatan dan keberkesanannya dalam sistem biologi yang lebih kompleks.
Salah satu contoh yang menarik perhatian saya ialah Alpinia conchigera, sejenis tumbuhan halia (keluarga Zingiberaceae) yang dikenali umum sebagai lengkuas ranting, lengkuas kecil atau chengkenam. Ia merupakan tumbuhan herba yang sering tumbuh liar di kawasan lembap, pinggir hutan, atau tanah terbiar di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia. Daripada tumbuhan ini, penyelidikan saya tertumpu kepada sebatian yang dikenali sebagai 1โฒ-acetoxychavicol acetate (ACA).
Kajian terhadap ACA menunjukkan bagaimana suatu sebatian daripada tumbuhan boleh membawa kepada pelbagai persoalan saintifik. Dalam penyelidikan antikanser, misalnya, ACA telah diuji keberkesanannya melalui model sel dan kemudiannya dikaji melalui model haiwan untuk mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh tentang potensinya.
Kajian menggunakan haiwan amat penting dalam penyelidikan pra-klinikal kerana sesuatu bahan yang menunjukkan kesan pada sel di dalam makmal tidak semestinya memberikan tindak balas yang sama terhadap organisma hidup. Faktor seperti penyerapan, metabolisme, dos dan tindak balas sistem imun boleh mempengaruhi hasilnya.
Di sinilah penyelidikan menjadi lebih mencabar, tetapi pada masa yang sama lebih mengujakan. Kita bukan sekadar mahu mengetahui sama ada sesuatu sebatian itu berkesan, malah kita mahu memahami bagaimana ia bertindak, pada keadaan apa ia menunjukkan kesan dan sejauh mana ia boleh diterima oleh organisma.
Menariknya, penyelidikan terhadap ACA juga membawa kepada persoalan dalam bidang yang berbeza, iaitu kesihatan ikan.
Akuakultur merupakan salah satu sumber makanan yang penting, tetapi penternakan ikan sentiasa berdepan dengan masalah penyakit. Jangkitan seperti virus dan bakteria boleh menjejaskan kesihatan ikan dan memberi kesan kepada pengeluaran. Dalam penyelidikan yang saya jalankan, ACA turut dikaji untuk melihat potensinya dalam membantu mengawal jangkitan virus dan pengaruhnya dalam tindak balas imun ikan.
Sememangnya, kanser dan penyakit virus pada ikan merupakan dua bidang yang berbeza. Namun, kedua-duanya menunjukkan sesuatu yang menarik tentang penyelidikan produk semula jadi. Suatu sebatian daripada tumbuhan boleh menjadi permulaan kepada pelbagai kajian apabila kita memahami sifat biologinya dengan lebih mendalam.
Pengalaman ini juga mengingatkan saya bahawa kita tidak boleh terlalu cepat membuat kesimpulan tentang sesuatu bahan hanya kerana ia berasal daripada tumbuhan.
Perkataan โsemula jadiโ sering dikaitkan dengan sesuatu yang selamat. Hakikatnya, tidak semua bahan semula jadi selamat pada semua dos. Tumbuhan menghasilkan pelbagai bahan kimia dan sesetengahnya boleh memberikan kesan yang tidak diingini. Sebab itu penilaian saintifik amat penting.
Bagi saya, inilah perbezaan antara sekadar mempercayai khasiat tumbuhan dengan berusaha membuktikannya melalui sains. Pengetahuan tradisional boleh memberikan kita titik permulaan. Manakala penyelidikan pula membantu kita memahami sebab di sebalik sesuatu pemerhatian. Kita juga perlu mempunyai kepakaran untuk mengenali sumber tersebut dan menggunakannya secara bertanggungjawab.
Bayangkan jika lebih banyak tumbuhan tempatan dapat dikaji dengan baik. Daripada mengenal pasti spesies dan sebatian aktif, kita boleh membina pangkalan data, teknologi, harta intelek dan kepakaran tempatan. Sebahagian penemuan mungkin akhirnya mempunyai nilai dalam bidang kesihatan manusia, kesihatan haiwan, makanan, pertanian atau industri.
Proses ini juga boleh membuka ruang kepada kerjasama antara pelbagai bidang. Ahli botani, ahli kimia, ahli biologi, ahli farmakologi, ahli imunologi dan pakar teknologi mempunyai peranan masing-masing. Paling penting, kita perlu menyediakan ruang kepada generasi muda untuk terlibat dalam proses tersebut.
Makna sebuah kemerdekaan dalam sains
Kemerdekaan dalam sains bukan bermaksud kita mesti menghasilkan sesuatu yang belum pernah ditemui oleh manusia. Ia bermula dengan keberanian untuk bertanya soalan sendiri dan kesungguhan untuk mencari jawapan berdasarkan bukti.
Tumbuhan yang selama ini kita anggap biasa mungkin mengandungi sebatian yang belum dikaji. Pengetahuan tradisional yang diwarisi oleh generasi terdahulu mungkin mempunyai asas biologi yang masih belum difahami. Dan cabaran kesihatan manusia serta haiwan mungkin boleh membuka ruang kepada penyelesaian yang datang daripada sumber semula jadi. Namun, semua itu memerlukan penyelidikan yang sabar dan berterusan.
Mungkin inilah cara lain untuk kita melihat kemerdekaan pada hari ini. Kita bukan hanya mahu mewarisi sebuah negara yang bebas. Kita mahu membina sebuah negara yang mampu menghasilkan ilmu, mengembangkan kepakaran dan mencipta penyelesaian sendiri.
Daripada tumbuhan tempatan kepada penemuan saintifik, perjalanan itu mungkin panjang. Tidak semua kajian akan menghasilkan produk. Tidak semua sebatian akan terbukti berkesan. Tetapi setiap kajian yang dilakukan dengan teliti menambah sedikit lagi pengetahuan tentang khazanah yang kita miliki.
Sempena bulan kemerdekaan ini, mungkin sudah tiba masanya kita melihat khazanah tumbuhan Malaysia dengan cara yang sedikit berbeza.
Bukan hanya sebagai hutan yang perlu dipelihara, bukan hanya sebagai tumbuhan yang mempunyai nilai tradisional, tetapi sebagai sumber ilmu yang masih banyak belum diterokai.
Kerana pada akhirnya, nilai sebenar khazanah alam bukan hanya terletak pada apa yang kita ambil daripadanya, tetapi pada apa yang mampu kita pelajari daripadanya dan bagaimana ilmu itu dapat memberi manfaat kepada generasi seterusnya.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Penyelidikan Bioteknologi Pertanian (CEBAR), Universiti Malaya dan boleh dihubungi di norhafiza@um.edu.my