21 September 2024

Sama-sama kita jaga si Raja yang cantik ini

Featured

Reducing the impact of landslides

By Dr Mohd Talha Anees Almost half of Peninsular Malaysia...

Mengukur kemiskinan asnaf dengan tanda aras multidimensi

Oleh: Dr. Muhammad Nooraiman Zailani Isu kemiskinan amat sukar untuk...

Let’s go for smarter healthcare to stop heart attacks

By Assoc. Prof. Dr. Khor Sook Mei Heart attacks remain...

The treasure in non-coding RNAs

By Assoc. Prof. Dr. Lim Yat Yuen For decades, scientists...

He is the epitome of a leader

By Mohammad Tariqur Rahman The leadership qualities of Prophet Muhammad...

Share

Oleh: Mohd. Faris Amjad Mohd. Fisal, Dr. Azidah Abdul Aziz

Olimpik Tokyo 2020 telah memberi peluang kepada tuan rumah untuk mempamerkan keindahan budaya Negara Matahari Terbit selain dari objektif utama temasya tersebut. Antaranya ialah Kimono yang telah direkabentuk bagi setiap negara yang bertanding. Jika kita perhati dengan teliti, kita akan nampak beberapa ekor rama-rama dan bunga raya yang telah diabadikan di dalam corak kimono tersebut.

Tahukah anda bahawa rama-rama tersebut adalah Rajah Brooke’s Birdwing (Trogonoptera brookiana) yang merupakan rama-rama kebangsaan Malaysia? Rama-rama tersebut telah ditemui oleh seorang naturalis, Alfred R. Wallace pada 1855 di Borneo. Ia dinamakan sempena Raja Putih Sarawak yang pertama, Sir James Brooke yang juga merupakan penjajah British pada ketika itu. Sebagai lambang kebangsaan negara, motif rama-rama tersebut telah diilustrasikan dalam Kad Pengenalan dan MyKid.

Rajah Brooke’s Birdwing yang juga digelar sebagai putera atau puteri segala rama-rama mempunyai bentuk sayap berbentuk ‘V’ yang unik. Satu ciri diagnostik spesies ini adalah dimorfisme seksual di mana rupa rama-rama jantan dan betina tidak sama. Ciri ini terpancar jelas pada sayap rama-rama tersebut. Sayap rama-rama jantan pada dasarnya berwarna hitam dan mempunyai barisan corak berwarna hijau. Manakala bagi rama-rama betina, warna dasar sayapnya adalah keperangan dan mempunyai corak jalur putih di hujung sayap hadapan dan di pangkal sayap belakang. Panjang sayap rama-rama ini boleh mencapai 15cm sehingga 17cm.

Kupu Kupu betina Rajah Brooke’s Birdwing (Trogonoptera brookiana brookiana). Gambar oleh Rosli Omar.

Rajah Brooke’s Birdwing boleh dijumpai di hutan hujan di Asia Tenggara seperti Semenanjung Malaysia, Sumatera dan juga Borneo. Saya masih ingat pertama kali saya terjumpa beberapa ekor Rajah Brooke’s Birdwing adalah ketika saya menjalankan kerja lapangan di sebuah hutan simpan. Mereka kelihatan terbang dan berkumpul dekat dengan punca air, aliran sungai atau lopak lumpur. Perilaku ini dipanggil sebagai kelompokan (puddling) dan ia adalah untuk menghirup air yang kaya mineral (iaitu sodium dan potasium). Perilaku ini sering dilakukan oleh rama-rama jantan bagi mengaktifkan kelakuan dewasa.

Pokok Akar Ketola Hutan (Aristolochia acuminata) merupakan tumbuhan perumah bagi rama-rama ini. Rama-rama betina akan bertelur pada pokok tersebut dan larva yang muncul akan makan daunnya, kemudian menjadi kepompong dan seterusnya muncul sebagai dewasa. Walaupun membesar dengan memakan tumbuhan yang beracun ini, larva Rajah Brooke’s Birdwing tidak terkesan. Malah mereka mengumpul metabolit daripada Aristolochia acuminata dan menyimpannya di dalam badan sebagai senjata kimia untuk melindungi mereka daripada menjadi santapan mudah pemangsa seperti burung ataupun serangga karnivor yang lain.

Selain itu, warna terang rama-rama dewasa ini turut menjadi isyarat amaran visual kepada pemangsa bahawa ia adalah toksik dan tidak boleh dimakan. Fenomena penggunaan warna sebagai sistem pertahanan diri disebut sebagai aposematisme.

Walaupun Rajah Brooke’s Birdwing adalah simbol kebanggaan negara, amat malang sekali populasinya semakin berkurangan dan ia telah pun disenaraikan sebagai spesies terancam di bawah Appendix II dalam CITES (Convention on International Trade and Endangered Species of Wild Fauna and Flora) dan sebagai spesies dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Salah satu sebab pengurangan populasi rama-rama ini adalah berkemungkinan dari eksploitasi secara tidak terkawal untuk dijual sebagai hadiah atau cenderahati. Selain itu, rama-rama ini juga menghadapi ancaman kehilangan habitat dan tumbuhan perumahnya akibat daripada aktiviti penerokaan hutan dan pembalakan.

Tumbuhan perumahnya merupakan pokok yang menjalar dan memerlukan sokongan pokok lain untuk mendapatkan cahaya matahari di dalam hutan. Oleh itu, secara tidak langsung kemusnahan habitat merupakan ancaman besar bagi Rajah Brooke’s Birdwing yang memerlukan pokok yang spesifik untuk bertelur dan membesarkan larvanya.

Kini, Rajah Brooke’s Birdwing hanya boleh ditangkap dan dikumpul di dalam permainan Animal Crossing yang tular ketika di awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan tahun lalu. Selain itu, rama-rama ini boleh dilihat secara dekat di taman eko-pelancongan seperti Entopia Pulau Pinang dan kawasan hutan simpan negara.

Maka, hargailah khazanah negara yang tidak ternilai ini sebelum ia benar-benar hilang dari pandangan mata kita. Kerana untuk mengembalikannya semula adalah ibarat ‘bercintakan geliga di mulut naga’.


Mohd. Faris Amjad Mohd. Fisal merupakan pelajar, dan Dr. Azidah Abdul Aziz adalah pensyarah kanan, di Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya. Penulis boleh dihubungi di azie@um.edu.my