13 October 2026

Sebenarnya

Featured

Continuity

Your business has experience. But does it have a...

Sebenarnya

Membawa realiti dalam pembelajaran Oleh Che Mohd Farhan Che Mat...

Responsibility

Living longer, but are we prepared for long-term care? By...

Akademia

Antara KPI, AI dan amanah ilmu Oleh Dr. Muhammad Hazim...

Self-respect

Looking your best is not the same as fearing...

Share

Membawa realiti dalam pembelajaran

Oleh Che Mohd Farhan Che Mat Dusuki

Sepanjang perjalanan pendidikan seorang pelajar, pembelajaran sering dikaitkan dengan penilaian dan peperiksaan, keputusan yang baik, melanjutkan pengajian dan akhirnya mencapai cita-cita dalam bidang yang diimpikan. Ilmu dan kemahiran yang diperoleh pula sering dilihat sebagai bekalan untuk pengajian atau kerjaya yang bakal ditempuhi. Namun, sejauh mana pelajar melihat apa yang dipelajari sebagai sesuatu yang boleh membantu mereka memahami dunia di sekeliling?

Apabila berhadapan dengan sesuatu fenomena, perubahan keadaan, peristiwa semasa atau masalah dalam kehidupan, adakah mereka terbiasa mengaitkannya dengan ilmu yang telah dipelajari? Mungkin tanpa disedari, pembelajaran lebih mudah dilihat sebagai sesuatu yang perlu dikuasai untuk tujuan akademik dan masa hadapan, sedangkan apa yang dipelajari juga boleh membantu mereka memahami realiti yang sedang berlaku di sekeliling.

Untuk memecahkan tembok pemikiran tersebut, pembelajaran perlu sesekali menghubungkan kandungan yang tersusun dalam buku teks, nota dan silibus dengan realiti yang berlaku di luar bilik kuliah. Tenaga pengajar boleh membawa situasi, fenomena, peristiwa atau isu sebenar yang dekat dengan kehidupan pelajar ke dalam penerangan sesuatu perkara, supaya mereka dapat melihat bagaimana ilmu yang dipelajari berkait dengan dunia di sekeliling.

Pada masa yang sama, pelajar juga boleh diberi ruang untuk berbincang dan meneroka sesuatu yang benar-benar berlaku, kemudian mengaitkannya dengan konsep dan pengetahuan yang telah dipelajari, termasuk melalui pendekatan seperti Problem-Based Learning (PBL). Apa yang penting ialah peluang yang diberikan kepada pelajar untuk menggunakan ilmu yang dipelajari bagi memahami apa yang berlaku di sekeliling mereka, bukan sekadar mengingatnya untuk menjawab soalan peperiksaan.

Sebagai contoh, fenomena alam yang berlaku baru-baru ini di negara jiran, iaitu letusan Gunung Anak Krakatau, boleh dijadikan bahan perbincangan dalam kelas Sains. Di samping menerangkan konsep suhu dan tekanan yang berkaitan dengan letusan serta pengukuran kepekatan bahan pencemar yang dilepaskan ke atmosfera, pelajar boleh dibawa mengenali sejarah Krakatau yang pernah mengalami letusan besar sehingga memusnahkan sebahagian besar struktur gunung asal dan mencetuskan tsunami yang mengorbankan puluhan ribu nyawa.

Secara tidak langsung, mereka juga mungkin menyedari bahawa nama Anak Krakatau itu sendiri membawa makna yang literal, iaitu gunung berapi baharu yang terbentuk selepas kemusnahan Krakatau melalui pengumpulan dan pengerasan bahan gunung berapi yang keluar dari dasar laut. Proses pembelajaran seperti ini bukan sahaja mengaitkan kandungan pembelajaran dengan fenomena sebenar, malah membuka ruang untuk pelajar menambah pengetahuan tentang dunia di sekeliling mereka.

Jika diundur sedikit ke belakang, beberapa tahun lalu dunia dilanda pandemik COVID-19 yang memberi kesan besar terhadap kehidupan masyarakat di seluruh dunia. Peristiwa tersebut boleh dijadikan bahan perbincangan dalam kelas Biologi untuk menghubungkan perkara yang dipelajari seperti virus, jangkitan, sistem imun, vaksin dan mutasi dengan pengalaman yang begitu dekat dengan kehidupan pelajar.

Konsep-konsep yang mungkin kelihatan abstrak apabila dipelajari secara teori menjadi lebih mudah difahami apabila pelajar dapat mengaitkannya dengan situasi yang pernah mereka lalui dan perhatikan sendiri. Dengan cara ini, pengalaman yang telah mereka lalui tidak hanya kekal sebagai kenangan tentang suatu tempoh yang mencabar, tetapi turut menjadi sebahagian daripada pembelajaran yang membantu mereka memahami apa yang berlaku di sekeliling.

Tidak terhad kepada fenomena semasa, kisah silam yang mungkin kurang diketahui oleh generasi kini juga masih relevan untuk dibincangkan sekiranya mempunyai kaitan dengan sesuatu pembelajaran. Misalnya, sejarah penyakit Minamata boleh dijadikan bahan perbincangan dalam kelas Kimia untuk membawa pelajar melihat kesan pencemaran yang berpunca daripada pengurusan sisa bahan kimia yang tidak bertanggungjawab.

Daripada peristiwa tersebut, pelajar bukan sahaja dapat memahami sifat toksik dan bahaya sesuatu bahan kimia, tetapi juga menghayati kepentingan pengurusan dan pembuangan sisa dengan melihat bagaimana pencemaran boleh memberi kesan yang dahsyat terhadap manusia serta alam sekitar. Pengetahuan tentang sifat dan bahaya bahan kimia menjadi lebih bermakna apabila pelajar memahami kepentingannya melalui kesan yang pernah berlaku dalam kehidupan sebenar. Mengetahui sesuatu itu penting, tetapi menyedari kepentingannya menjadikan pembelajaran lebih bermakna.

Selain peristiwa besar yang berlaku dalam kehidupan, perubahan yang berlaku secara beransur-ansur dalam kehidupan seharian juga boleh menjadi ruang untuk menghubungkan pembelajaran dengan realiti. Dalam pembelajaran Ekonomi, misalnya, kenaikan gaji dan harga barangan boleh dijadikan bahan perbincangan yang dekat dengan kehidupan pelajar. Perkara tersebut boleh dikaitkan dengan konsep seperti inflasi, pendapatan sebenar dan kuasa beli yang mungkin kelihatan abstrak apabila dipelajari melalui buku teks semata-mata.

Apabila pelajar melihat kaitan konsep tersebut dengan perubahan kos kehidupan di sekeliling mereka, mereka bukan sahaja dapat memahami perkara yang sedang berlaku, malah mula membina kefahaman yang boleh membantu mereka membuat pertimbangan apabila berdepan dengan keadaan yang sama selepas memasuki alam pekerjaan.

Realiti juga boleh bersentuh dengan pembelajaran melalui perkara yang sangat dekat dengan kehidupan seorang pelajar. Keinginan untuk menimba pengalaman dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti merupakan sesuatu yang baik. Namun, penglibatan yang berlebihan sehingga mengganggu tumpuan terhadap pembelajaran boleh menimbulkan persoalan tentang keutamaan dan keseimbangan dalam kehidupan seorang pelajar.

Situasi seperti ini boleh dijadikan kajian kes dalam kursus yang lebih umum seperti Jati Diri untuk membincangkan pengurusan diri, pengurusan masa dan cara menetapkan keutamaan dalam kehidupan. Apabila perkara yang dipelajari dibincangkan melalui situasi yang benar-benar dekat dengan kehidupan mereka, pelajar bukan sahaja dapat memahami konsep tersebut, tetapi juga melihat bagaimana ia boleh digunakan dalam membuat pertimbangan dan mengurus kehidupan sendiri.

Apabila pembelajaran sentiasa dihubungkan dengan perkara yang berlaku dalam kehidupan, lama-kelamaan pelajar mungkin terbiasa melihat apa yang berlaku di sekeliling melalui apa yang telah dipelajari. Mereka bukan sahaja menunggu sesuatu isu dibawa ke dalam kelas, tetapi mula bertanya sendiri apabila berhadapan dengan sesuatu fenomena, peristiwa atau masalah. Pada ketika itu, pembelajaran tidak lagi terhad kepada buku, nota dan peperiksaan, sebaliknya menjadi salah satu cara untuk memahami dunia yang mereka diami. Sudah tentu, bukan setiap perkara dalam kehidupan perlu dijadikan bahan pengajaran.

Silibus dan objektif pembelajaran tetap menjadi asas, namun apabila wujud peluang yang sesuai, realiti di sekeliling boleh dihubungkan dengan kandungan yang dipelajari. Pada akhirnya, pembelajaran yang bermakna bukan sekadar menjadikan seseorang lebih banyak tahu, tetapi membantu mereka melihat dunia dengan lebih luas melalui apa yang telah dipelajarinya.


Penulis merupakan Pensyarah di Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di chean285@um.edu.my

Previous article
Next article