Pandemik COVID-19 yang sudah berlarutan lebih setahun, dengan pelbagai kekangan dalam melaksanakan aktiviti berbentuk fizikal, langsung tidak menghalang mahasiswa Universiti Malaya (UM) untuk mendekati pelajar SMK Shahbandaraya, Klang, Selangor, baru-baru ini.
Sekumpulan 30 orang mahasiswa dari Kelab Fasilitator, Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah UM telah meluangkan masa sehari bersama pelajar-pelajar Tingkatan 3 dari sembilan buah kelas. Mereka melakukan pelbagai aktiviti yang membina semangat kerjasama dan kemahiran kognitif yang dilaksanakan sepenuhnya di atas talian menggunakan aplikasi Zoom.
Program yang dinamai ‘Seek Your Personality’ (SUPER) ini bertujuan untuk membantu meningkatkan fokus pelajar sekolah semasa pembelajaran di atas talian, terutamanya pelajar Tingkatan 3 yang masih menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga 2 April 2021. “Pelbagai modul telah dilaksanakan bagi meningkatkan fokus para peserta. Kami cuba mengasah kemahiran mendengar, kemahiran menerima arahan, dan kemahiran membuat keputusan dalam masa yang singkat, melalui pelbagai aktiviti yang menarik,” kata Ahmad Izzuddin Mohd. Isa, mahasiswa tahun kedua Kejuruteran Mekanikal UM, yang juga merupakan Pengarah SUPER.
Walaupun sebilangan pelajar tidak dapat menyertai keseluruhan aktiviti kerana masalah capaian Internet, keseluruhan modul aktiviti yang dirancang telah dilaksanakan. “Walaupun SUPER ini hanya pertama kali diadakan, namun telah menerima maklum balas yang positif dari pihak sekolah. Perkara ini pastinya akan memotivasi kami untuk melaksanakannya lagi pada masa hadapan,” kata Ahmad Izzuddin lagi.
“Walaupun aktiviti-aktiviti yang dirancang kesemuanya menarik, namun tetap terselit nilai-nilai pembelajaran di dalamnya,” kata Nur Qistina Yaacob, mahasiswa tahun kedua jurusan pengurusan sukan UM yang merupakan sukarelawan program. Menurutnya lagi, modul-modul yang dinamai ‘Short Story’ dan ‘Read My Lips’ menjadi pilihannya kerana mampu membentuk kreativiti pelajar dalam bercerita, dan membina fokus dan kepekaan pelajar di dalam senario tertentu.
Pengetua Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah UM, Prof. Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri, yang juga merupakan penasihat program berkata program jaringan masyarakat oleh mahasiswa sebegini sememangnya digalakkan untuk dilaksanakan oleh universiti. “Secara langsung, program ini telah membuktkan peranan yang mampu dilaksanakan oleh mahasiswa kepada komuniti setempat, biar pun masih belum bergelar graduan. Secara tidak langsung, nilai teras universiti yang positif turut disemai kepada pelajar sekolah yang bakal menjadi pemimpin generasi akan datang,” katanya lagi.
Sejak 2016, sukarelawan Kelab Fasilitator telah banyak melakukan program-program bersama pelajar sekolah di seluruh negara. “Program SUPER ini bakal menjadi penanda aras kami dalam meneruskan inisiatif Kelab secara maya. Objektif program-program kami bukan sahaja bermanfaat kepada pelajar sekolah dan masyarakat, malah turut membina sahsiah diri mahasiswa yang terlibat,” kata Ahmad Izzuddin mengakhiri temubual.
Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Ahmad Izzuddin Mohd. Isa