20 September 2026

Teman

Featured

For them

Protecting the paradise we sell By Redza Zakaria, Dr. Mohd...

Aware

One warning is all it takes By Dr. Nur Syazwani...

Keadilan

Hukuman sahaja tidak memadai dalam membela mangsa kemalangan jalan...

Necessities

If everything comes to our door, what will draw...

Ours

Merdeka also means knowing our language, Bahasa Melayu By Dr....

Share

Meneroka potensi si ‘naga berjanggut’ dari sudut psikologi

Oleh Dr. Yohan Kurniawan

Bagi kebanyakan orang, haiwan yang dikaitkan dengan emosi dan terapi biasanya ialah anjing, kucing atau mungkin kuda. Jarang sekali kita membayangkan seekor cicak berjanggut daripada gurun pasir di Australia duduk tenang di hadapan seorang kanak-kanak sebagai sebahagian daripada aktiviti psikologi. Namun, Bearded Dragon semakin mendapat perhatian sebagai haiwan eksotik peliharaan. Sifatnya yang relatif tenang, pergerakannya yang tidak terlalu pantas dan rupa fizikalnya yang unik menimbulkan satu persoalan menarik: mungkinkah reptilia ini mempunyai potensi dalam interaksi yang menyokong kesejahteraan emosi kanak-kanak?

Dalam psikologi, kita perlu berhati-hati sebelum menggunakan istilah “terapi”. Tidak semua aktiviti bersama haiwan boleh dikira sebagai terapi bantuan haiwan atau animal-assisted therapy. Terapi sebenar memerlukan matlamat tertentu, prosedur yang dirancang serta penglibatan profesional yang sesuai. Interaksi santai antara kanak-kanak dan haiwan lebih tepat dilihat sebagai ‘animal-assisted interaction’ atau interaksi manusia-haiwan yang berpotensi menyokong kesejahteraan.

Di sinilah Bearded Dragon menarik untuk diterokai. Bayangkan seorang kanak-kanak duduk bersama ibu, guru atau ahli terapi. Di hadapannya terdapat seekor Bearded Dragon yang bergerak perlahan. Kanak-kanak itu memerhatikan matanya, sisiknya, cara kakinya bergerak dan perubahan pada bahagian “janggutnya”. Daripada sekadar melihat, kanak-kanak mungkin mula bertanya, menyentuh dengan berhati-hati atau menceritakan apa yang diperhatikannya.

Interaksi yang kelihatan sederhana ini sebenarnya melibatkan beberapa proses psikologi. Kanak-kanak belajar memusatkan perhatian, mengawal pergerakan tangan dan menyesuaikan tingkah laku dengan makhluk lain. Dia tidak boleh menjerit, menarik ekor atau memegang haiwan sesuka hati. Secara tidak langsung, dia belajar bahawa untuk mendekati makhluk lain, dirinya juga perlu berada dalam keadaan lebih terkawal.

Dari sudut regulasi emosi, haiwan boleh menjadi fokus perhatian yang membantu kanak-kanak beralih seketika daripada perkara yang mencetuskan tekanan. Penyelidikan mengenai animal-assisted intervention pada kanak-kanak secara umum menunjukkan beberapa hasil yang menjanjikan dalam aspek sosioemosi, tingkah laku dan kesejahteraan. Namun, kesannya tidak seragam dan kualiti bukti masih perlu diperkukuhkan. Bearded Dragon sendiri menawarkan pengalaman sensori yang berbeza daripada haiwan berbulu. Tekstur sisiknya, suhu tubuhnya dan pergerakannya memberikan rangsangan sentuhan serta visual yang unik. Bagi sesetengah kanak-kanak, pengalaman ini mungkin menarik dan membantu mereka meneroka rangsangan sensori secara terkawal.

Namun, pernyataan “mungkin membantu” tidak bermaksud sesuai untuk semua kanak-kanak. Ada kanak-kanak yang geli melihat reptilia. Ada yang takut kepada cicak, ular atau haiwan bersisik. Kanak-kanak yang mempunyai kecenderungan menggenggam terlalu kuat, membaling objek atau bertindak secara impulsif juga memerlukan penilaian dan pengawasan yang lebih teliti. Interaksi yang sepatutnya menenangkan boleh bertukar menjadi pengalaman menakutkan kepada kanak-kanak dan haiwan jika dilakukan tanpa persediaan.

Risiko kesihatan juga tidak boleh dipandang ringan dan diambil mudah. Reptilia boleh membawa bakteria seperti Salmonella walaupun kelihatan bersih dan sihat. Sebab itu, mencuci tangan selepas menyentuh haiwan atau peralatan habitatnya mesti menjadi rutin. Kanak-kanak juga tidak seharusnya mencium reptilia, mendekatkannya kepada mulut atau makan ketika mengendalikannya. Pertimbangan tambahan diperlukan bagi kanak-kanak yang sangat kecil atau mempunyai sistem imun yang lemah.

Dalam keghairahan meneroka manfaat kepada manusia, satu lagi perkara sering dilupakan: bagaimana pula dengan emosi dan kebajikan haiwan? Bearded Dragon bukan alat terapi yang boleh digunakan apabila manusia memerlukannya kemudian disimpan semula tanpa mengambil kira keadaannya. Haiwan juga boleh mengalami tekanan. Pengendalian terlalu lama, bunyi kuat, pergerakan kasar, suhu persekitaran yang tidak sesuai atau terlalu ramai kanak-kanak menyentuhnya boleh menjejaskan kebajikannya.

Habitat yang sesuai, sumber haba, pencahayaan UVB, pemakanan, kebersihan serta pemeriksaan veterinar adalah sebahagian daripada tanggungjawab pemilik. Jika haiwan menunjukkan tanda tidak selesa atau stres, sesi interaksi perlu dihentikan. Prinsipnya mudah: kesejahteraan manusia tidak boleh dibina dengan mengorbankan kesejahteraan haiwan. Kita juga perlu mengakui bahawa bukti saintifik khusus mengenai Bearded Dragon sebagai medium intervensi psikologi masih sangat terhad. Banyak penyelidikan animal-assisted intervention sehingga kini lebih tertumpu kepada anjing dan kuda. Kajian terhadap kanak-kanak memang menunjukkan potensi manfaat, tetapi perbezaan reka bentuk kajian, jenis haiwan, tempoh intervensi dan kaedah pengukuran menyebabkan kesimpulannya perlu dibuat secara berhati-hati.

Namun, terlalu awal untuk mengatakan bahawa Bearded Dragon boleh “merawat” kebimbangan, autisme atau masalah emosi kanak-kanak. Namun, terlalu awal juga untuk menutup pintu penyelidikan bagi reptilia ini. Mungkin nilai sebenar Bearded Dragon bukan kerana ia mempunyai kuasa terapeutik yang luar biasa, tetapi kerana keunikannya mampu membuka ruang interaksi yang berbeza kepada seseorang. Seorang kanak-kanak yang sukar memulakan perbualan mungkin tiba-tiba bertanya, “Kenapa kulit dia macam itu?” Daripada satu soalan kecil, komunikasi boleh bermula.

Daripada rasa takut, boleh tumbuh keberanian. Daripada menyentuh secara kasar, boleh dipelajari kelembutan dan empati. Kadangkala, sebuah hubungan tidak perlu bermula dengan kata-kata. Ia mungkin bermula dengan seorang kanak-kanak, seekor Bearded Dragon dan rasa ingin tahu yang sederhana. Di situlah psikologi mempunyai ruang yang sangat menarik untuk terus meneroka.


Penulis merupakan pensyarah kanan dari Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi melalui e-mel yohan@um.edu.my

Previous article