29 August 2026

Menambak

Featured

Menambak

Apabila sempadan kuasa bertemu di laut Oleh Redza Zakaria Pada 30...

The truths

When the filters disappear By Raditya Alwyn Suwarto Technology has changed...

Still boys

Before we knew we had grown up By Ng Kwan...

Learning

The first classroom I never entered By Ng Kwan Hoong One...

Familial

More than just a haircut By Ng Kwan Hoong For as...

Share

Apabila sempadan kuasa bertemu di laut

Oleh Redza Zakaria

Pada 30 Jun 2026, Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan berkenaan rayuan terhadap kes semakan kehakiman (judicial review) bagi kebenaran merancang Projek Tambak Tanah Selatan Pulau Pinang (Penang South Reclamation atau PSR). Sebelum ini, permohonan tersebut telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 11 Julai 2024 dan keputusan itu kemudiannya diperakui oleh Mahkamah Rayuan pada 30 Jun yang lalu. Keputusan Mahkamah Rayuan ini telah mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat umum serta pihak media.

Kronologi peristiwa dan perkara-perkara penting yang perlu diteliti dalam kes Mahkamah Rayuan ini adalah seperti berikut:

Kes ini dimulakan oleh beberapa orang nelayan di kawasan Sungai Batu dan Teluk Tempoyak, Pulau Pinang, bersama-sama dua Organisasi Bukan Kerajaan (NGO), iaitu Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Jaringan Ekologi dan Iklim.

Pada 11 Julai 2024, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah menolak permohonan semakan kehakiman tersebut tanpa sebarang kos. Keputusan ini berdasarkan beberapa alasan, antaranya termasuklah isu kerangka perancangan yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri. Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa permohonan semakan kehakiman tersebut gagal dari segi merit.

Mahkamah berpendapat bahawa sebarang percubaan untuk mencabar aspek kerangka perancangan yang menjadi asas Projek PSR, seperti Pelan Struktur Pulau Pinang 2030 dan Pelan Induk yang telah dipinda, telah terhalang oleh had masa (out of time), memandangkan instrumen-instrumen telah diluluskan dan diwartakan sebelum prosiding semakan kehakiman dimulakan.

Terdapat beberapa isu yang dipertikaikan di Mahkamah Rayuan, antaranya merangkumi persoalan undang-undang baharu (novel point of law) berhubung tafsiran statutori bagi akta-akta berikut: Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976; Akta Laut Wilayah 2012; Akta Garis Dasar Zon Maritim 2006. Selain itu, terdapat juga isu lain yang berbangkit, seperti ketiadaan bantahan daripada Peguam Negara terhadap permohonan kebenaran tersebut, di samping beberapa perkara lain yang timbul semasa pendengaran kes di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan menerangkan beberapa perkara berkenaan dengan kuasa yang terletak di bawah akta-akta tertentu. Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Pihak Berkuasa Perancang Tempatan tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk meluluskan sebarang kebenaran merancang bagi projek tambak tanah yang dijalankan di kawasan perairan โ€˜laut wilayahโ€™. Kawasan tersebut sepatutnya berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Laut Wilayah 2012 dan Akta Garis Dasar Zon Maritim 2006.

Perkara utama yang dibangkitkan oleh Mahkamah Rayuan adalah pembahagian kuasa antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kedaulatan ke atas โ€˜laut wilayahโ€™ terletak di bawah Kerajaan Persekutuan kerana bidang kuasa perancangan negeri adalah terhad di bawah Perlembagaan Persekutuan serta akta-akta yang dinyatakan. Selain itu, Mahkamah Rayuan turut menegaskan bahawa projek PSR terletak dalam kawasan perairan โ€˜laut wilayahโ€™ (dalam lingkungan 12 batu nautika). Hal ini adalah selaras dengan Seksyen 4 Akta Laut Wilayah 2012 yang menyatakan bahawa โ€œKedaulatan berkenaan dengan laut wilayah, dan berkenaan dengan dasarnya dan tanih bawahnya, terletak hak pada dan dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai hak Malaysia.โ€ Sehubungan dengan itu, Mahkamah Rayuan bersetuju bahawa โ€˜laut wilayahโ€™ sebelum sesuatu projek tambak tanah disiapkan adalah milik Kerajaan Persekutuan.

Persoalan-persoalan penting

Namun, persoalan kritikal yang timbul adalah bagaimana projek tambak tanah yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri masih boleh diteruskan, sekiranya Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa projek berskala mega seperti Projek PSR sepatutnya memerlukan kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan.

Pada masa yang sama, keputusan Mahkamah Rayuan ini menjadi penanda aras (precedent) penting bagi sebarang konflik berhubung kawasan perairan โ€˜laut wilayahโ€™ yang berada di bawah kedaulatan Kerajaan Persekutuan, memandangkan kuasa Kerajaan Negeri adalah terhad mengikut akta-akta berkaitan. Walau bagaimanapun, timbul persoalan tentang bagaimana Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat menyelesaikan isu pertindihan bidang kuasa wilayah maritim di Malaysia. Hal ini penting memandangkan banyak kawasan โ€˜laut wilayahโ€™ di negara ini sedang dibangunkan secara pesat melalui projek tambak tanah berskala besar demi memacu ekonomi dan agenda Kerajaan Negeri.

Persoalan yang masih menjadi tanda tanya adalah berhubung perbezaan ukuran antara 12 batu nautika dengan 3 batu nautika. Hal ini demikian kerana Akta Laut Wilayah 2012 menjelaskan perbezaan dari sudut perundangan antara kawasan โ€˜laut wilayahโ€™ (zon maritim sejauh 12 batu nautika bagi tujuan umum) dengan kawasan di bawah undang-undang tanah tertentu yang berkuat kuasa dalam lingkungan 3 batu nautika.

Di bawah Seksyen 3(1) Akta yang sama, kawasan โ€˜laut wilayahโ€™ Malaysia diisytiharkan sejauh 12 batu nautika bagi segala maksud am. Namun begitu, Seksyen ini tertakluk kepada pengehadan bagi undang-undang tertentu seperti Akta Perlombongan Petroleum 1966, Kanun Tanah Negara, serta undang-undang bertulis berkaitan tanah di Sabah dan Sarawak, yang menetapkan bahawa bidang kuasa negeri berasaskan garis air surut pantai hanya meliputi jarak tidak melebihi 3 batu nautika.

Memandangkan Projek PSR merupakan projek berasaskan tanah, Kanun Tanah Negara menjadi rujukan utama Mahkamah Rayuan. Walau bagaimanapun, Seksyen 2(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 mentafsirkan perkataan โ€˜tanahโ€™ secara meluas, yang merangkumi โ€˜tanah yang diliputi airโ€™.

Akhir sekali, isu undang-undang berhubung pembahagian kuasa antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan, khususnya perbezaan zon 12 batu nautika dan 3 batu nautika ini, telah menimbulkan persoalan kepada Parlimen Malaysia: apakah sebenarnya hasrat perundangan (legislative intent) di sebalik akta-akta tersebut? Bagaimanakah status projek seperti Projek PSR yang berada dalam kawasan wilayah Kerajaan Negeri tetapi didakwa di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan?

Justeru, timbul persoalan utama: adakah kerangka undang-undang sedia ada cukup jelas dalam membezakan sempadan kuasa wilayah antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan?


Penulis merupakan Ketua Unit Maritim, Polisi dan Governan di Institut Alam Samudera dan Bumi (IOES) serta Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya.

Previous article