Sunscreen mana yang kulit anda perlukan?
Oleh Dr. Syazreen Nadia Sulaiman
Pernahkah anda memakai sunscreen SPF 50 sebelum keluar rumah, tetapi apabila mula berpeluh, mata tiba-tiba terasa pedih dan berair? Atau pernah mencuba mineral sunscreen yang dikatakan lebih “gentle”, tetapi akhirnya wajah kelihatan keputihan dan produk terasa berat pada kulit?
Hari ini, pilihan pelindung matahari semakin pelbagai. Pada label produk, kita mungkin menemui istilah mineral sunscreen, chemical sunscreen dan kadangkala hybrid sunscreen. Tetapi apakah sebenarnya perbezaan antara ketiga-tiganya? Adakah perkataan “chemical” bermaksud ia lebih berbahaya, manakala mineral semestinya lebih selamat?
Jawapannya tidak semudah itu.
Secara asasnya, perbezaan utama terletak pada jenis penapis ultraviolet (UV) yang digunakan. Malah, kita sendiri boleh mengenal pasti jenis sunscreen dengan melihat senarai ramuan pada produk.
Tidak pasti sunscreen anda jenis mana? Cuba pusing botol dan lihat senarai ramuannya. Jika anda nampak nama zinc oxide atau titanium dioxide, ia merupakan penapis UV mineral. Jika terdapat penapis UV organik seperti avobenzone, octocrylene, octinoxate atau homosalate, produk tersebut tergolong sebagai chemical sunscreen. Jika kedua-dua jenis penapis digunakan dalam satu formulasi, ia dikenali sebagai hybrid sunscreen.
Kita juga sering diberikan penerangan mudah bahawa mineral sunscreen bertindak seperti “cermin” yang memantulkan UV, manakala chemical sunscreen pula “menyerap UV”. Penerangan ini mudah difahami, tetapi sebenarnya terlalu ringkas.
Chemical sunscreen menyerap tenaga daripada sinaran UV dan menukarkannya kepada tenaga yang lebih rendah, terutamanya haba, sebelum dilepaskan. Jadi, ia bukan bermaksud sunscreen “menarik” UV masuk lebih dalam ke kulit. Mineral sunscreen pula bukan sekadar memantulkan UV seperti cermin; ia juga menyerap sebahagian besar tenaga UV, di samping menyerak dan memantulkan sebahagian sinaran tersebut.
Mudahnya, cara kedua-duanya mengendalikan tenaga UV mungkin berbeza, tetapi matlamatnya sama: melindungi kulit.
Jadi mengapa kita perlu mengambil tahu jenis sunscreen yang digunakan? Jawapannya ialah keserasian.
Bagi kebanyakan individu dengan kulit normal dan tidak mudah mengalami iritasi, chemical sunscreen boleh menjadi pilihan yang praktikal. Formulasinya lazimnya lebih ringan, mudah diratakan dan kurang meninggalkan kesan putih atau white cast. Sebab itu banyak sunscreen hadir dalam tekstur seperti gel, losen atau serum yang selesa digunakan setiap hari.
Namun, pernahkah anda mengalami situasi ini? Sapu sunscreen → keluar tengah hari → berpeluh → mata mula pedih. Adakah itu bermaksud chemical sunscreen berbahaya? Tidak semestinya.
Apabila kita berpeluh, sunscreen boleh bergerak ke kawasan mata yang sangat sensitif. Sesetengah penapis UV atau bahan lain dalam formulasi seperti pewangi dan alkohol mungkin menyebabkan rasa pedih atau tidak selesa pada individu tertentu. Sebab itulah satu sunscreen boleh sangat selesa digunakan oleh seseorang, tetapi tidak sesuai untuk orang lain.
Bagi mereka yang mempunyai kulit sensitif, mudah kemerahan atau sering mengalami rasa pedih apabila menggunakan sunscreen, mineral sunscreen berasaskan zinc oxide atau titanium dioxide boleh menjadi pilihan yang baik untuk dicuba. Bahan ini sering digunakan dalam formulasi untuk kulit sensitif kerana secara umumnya kurang berpotensi menyebabkan iritasi.
Namun, mineral juga bukan bermaksud sempurna untuk semua orang.
Sesetengah mineral sunscreen boleh terasa lebih tebal atau meninggalkan white cast, terutama pada tona kulit yang lebih gelap. Zinc oxide dan titanium dioxide boleh menyerakkan cahaya tampak, lalu menghasilkan kesan keputihan tersebut. Teknologi formulasi hari ini semakin baik dalam mengurangkan masalah ini, termasuk melalui penggunaan tinted mineral sunscreen.
Bagaimana pula dengan hybrid sunscreen?
Seperti namanya, formulasi ini menggabungkan penapis mineral dan organik untuk mendapatkan keseimbangan antara perlindungan, tekstur dan keselesaan. Bagi sesetengah pengguna, inilah jalan tengah yang lebih praktikal.
Satu lagi salah faham yang perlu diperbetulkan ialah perkataan “chemical” itu sendiri. Dari perspektif kimia, sesuatu bahan tidak menjadi berbahaya hanya kerana ia dipanggil “chemical”.
Air pun bahan kimia. Air ialah H₂O. Zinc oxide ialah ZnO dan titanium dioxide ialah TiO₂. Malah mineral sunscreen sendiri tetap terdiri daripada bahan kimia. Oleh itu, label “mineral” atau “natural” sahaja tidak boleh menentukan sama ada sesuatu produk lebih baik atau lebih selamat.
Persoalan yang lebih tepat ialah: Apakah bahan yang digunakan dan adakah formulasi tersebut sesuai dengan kulit kita?
Jadi, mana satu patut kita pilih?
Jika kulit anda normal dan chemical sunscreen yang digunakan sekarang selesa, tidak menyebabkan iritasi dan mudah dipakai setiap hari, teruskan menggunakannya. Tidak ada keperluan untuk bertukar kepada mineral semata-mata kerana namanya kedengaran lebih “natural”.
Jika kulit anda sensitif, mudah merah atau sunscreen sering menyebabkan rasa pedih terutama di sekitar mata, mineral sunscreen boleh menjadi pilihan untuk dicuba. Cari zinc oxide atau titanium dioxide pada senarai ramuan. Jika tidak menyukai white cast, anda boleh mencuba versi tinted atau formulasi hybrid.
Lebih penting, jangan hanya membaca perkataan besar di hadapan botol. Belajar juga melihat senarai ramuan di belakangnya. Jika beberapa produk menyebabkan masalah yang sama, cuba bandingkan kandungannya. Dari situ, kita mungkin dapat mengenal pasti jenis formulasi yang lebih serasi dengan kulit sendiri.
Akhirnya, persoalan yang lebih tepat bukanlah “mineral atau chemical, mana lebih bagus?”, tetapi “mana satu lebih sesuai dengan kulit dan gaya hidup saya?”
Sunscreen terbaik bukan semestinya yang paling mahal atau mempunyai label “mineral” pada botolnya. Sunscreen terbaik ialah produk yang memberikan perlindungan yang baik, sesuai dengan kulit dan cukup selesa sehingga kita sanggup menggunakannya secara konsisten.
Kerana dalam penjagaan kulit, bukan soal memilih Team Chemical atau Team Mineral. Yang lebih penting ialah memilih perlindungan yang sesuai untuk kulit kita.
Penulis merupakan Penyelaras di Bahagian Kimia, Pusat Asasi Sains Universiti Malaya dan boleh dihubungi di syazreen@um.edu.my