Erti Malaysia dalam dunia generasi alfa
Oleh Nur Afifah Abdul Rahman Halawa, Nur Syaidatu Zahriah Mohd Baitharul Haqqie
Bulan Kebangsaan sentiasa membawa suasana yang tersendiri. Jalur Gemilang menghiasi pekarangan sekolah dan ruang awam, lagu-lagu patriotik kembali berkumandang, manakala pelbagai aktiviti bertemakan kemerdekaan memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk mengenali negara melalui pendekatan yang dekat dengan dunia mereka. Namun, di sebalik kemeriahan tersebut, terdapat ruang yang luas untuk kita memikirkan cara pengalaman ini dapat terus menyemai rasa cinta dan memperkukuh hubungan mereka dengan Malaysia.
Menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September, semangat patriotisme perlu terus dipupuk dengan memberikan peluang kepada anak-anak untuk mengenali Malaysia secara lebih dekat. Pengenalan ini tidak seharusnya terbatas pada sejarah kemerdekaan, tetapi perlu merangkumi kepelbagaian masyarakat, bahasa, budaya, tempat dan pengalaman yang membentuk negara tempat mereka membesar. Melalui pendekatan ini, patriotisme dapat dibudayakan bukan sekadar sebagai semangat yang dizahirkan ketika sambutan tertentu, tetapi sebagai nilai yang dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
Bagi Generasi Alfa, pengetahuan tentang Malaysia banyak diperoleh melalui pembelajaran di sekolah, cerita ahli keluarga serta pelbagai bahan dan media. Pada masa yang sama, mereka membesar dalam persekitaran digital yang membolehkan maklumat diakses dengan mudah dan pantas. Video, animasi, permainan serta kandungan dari seluruh dunia turut membentuk cara mereka belajar, berfikir, mengenali persekitaran dan bertindak. Oleh itu, usaha memperkenalkan dan memupuk kecintaan terhadap negara perlu dilaksanakan selaras dengan cara generasi ini melihat, meneroka dan memahami dunia.
Usaha memperkenalkan Malaysia kepada anak-anak boleh bermula dengan perkara yang mudah dan dekat dengan kehidupan mereka. Jalur Gemilang yang dikibarkan, lagu Negaraku yang dinyanyikan, bahasa yang didengar, makanan yang dinikmati serta tempat yang dikunjungi dapat dijadikan sumber untuk mengenali negara sendiri. Apabila pengalaman ini disertai dengan cerita dan penerangan yang mudah difahami, anak-anak bukan sahaja dapat mengenali identiti dan simbol negara, malah mula memahami makna serta nilai yang terkandung di sebaliknya.
Hari Malaysia pula membuka ruang untuk memperluas pengetahuan anak-anak tentang negara. Mereka boleh diperkenalkan kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian masyarakat, bahasa dan budaya, merangkumi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Pendedahan terhadap makanan, pakaian, muzik, bahasa serta tradisi dari pelbagai negeri dapat membantu mereka memahami bahawa setiap tempat mempunyai masyarakat, sejarah dan kisahnya yang tersendiri. Melalui pemahaman ini, anak-anak dapat menyedari bahawa kehidupan dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan budaya menuntut setiap rakyat untuk saling mengenali, memahami dan menghormati.
Generasi Alfa juga sangat dekat dengan dunia visual dan penceritaan. Oleh itu, sejarah negara wajar diperkenalkan secara interaktif dan tidak terbatas pada buku teks atau deretan fakta semata-mata. Ibu bapa dan pendidik boleh menggambarkan suasana kehidupan pada masa dahulu, menonton video atau animasi sejarah yang sesuai dengan peringkat umur mereka serta berkongsi kisah tentang kehidupan masyarakat terdahulu. Pendekatan seperti ini dapat menjadikan pembelajaran sejarah lebih menarik, bermakna dan mudah dihayati.
Pengalaman yang diperoleh melalui skrin juga boleh diterjemahkan ke dunia sebenar. Jika anak-anak pernah melihat Muzium Negara atau tempat bersejarah menerusi video, bawalah mereka melawat lokasi tersebut apabila berkesempatan. Ketika bercuti bersama keluarga, luangkan masa untuk singgah di bangunan bersejarah, monumen atau lokasi yang menyimpan kisah perjalanan negara. Pengalaman melihat, meneroka dan berada sendiri di sesuatu tempat dapat meninggalkan kesan yang lebih mendalam berbanding sekadar menyaksikannya melalui skrin.
Skrin boleh menjadi ruang awal untuk anak-anak mengenali Malaysia, tetapi cerita dan pengalaman bersama orang dewasa dapat membantu mereka memahami sebab negara ini begitu bermakna dalam kehidupan mereka. Teknologi tidak semestinya menjauhkan kanak-kanak daripada sejarah atau identiti negara. Sebaliknya, teknologi boleh menjadi pintu masuk yang menarik, asalkan perkara yang dilihat melalui skrin diperkukuh dengan interaksi, pengalaman langsung dan peluang untuk meneroka persekitaran sebenar di sekeliling mereka.
Oleh itu, usaha memperkenalkan negara kepada anak-anak tidak seharusnya terbatas pada satu bulan atau sambutan tertentu. Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia boleh menjadi ruang yang baik untuk memperkaya pengetahuan serta pengalaman mereka tentang negara. Namun begitu, hubungan dan rasa cinta terhadap negara perlu dipupuk secara berterusan. Peluang untuk mengenali Malaysia boleh diwujudkan pada bila-bila masa sama ada di rumah, di sekolah, ketika bercuti mahupun semasa berbual tentang perkara yang berlaku di sekeliling mereka.
Hari ini, mungkin tangan kecil mereka menggenggam Jalur Gemilang sambil penuh semangat melaungkan โMerdeka!โ, meskipun makna di sebalik laungan itu masih belum difahami sepenuhnya. Hal itu merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran. Pengetahuan dan kecintaan terhadap negara tidak dapat dibina dalam sehari, sebaliknya tumbuh sedikit demi sedikit melalui cerita yang didengar, pengalaman yang dilalui, kepelbagaian yang dikenali serta teladan yang ditunjukkan oleh orang dewasa di sekeliling mereka.
Akhirnya, kita bukan sekadar mahu Generasi Alfa mengetahui tarikh penting negara atau memahami cara sesuatu perayaan disambut. Kita mahu mereka membesar dengan mengenali Malaysia sebagai tanah air yang dikongsi bersama, menghargai kepelbagaian serta memiliki rasa tanggungjawab terhadap negara. Patriotisme yang ingin diwariskan bukanlah semangat yang hanya muncul ketika sambutan berlangsung, tetapi nilai yang terus hidup melalui cara mereka mengenali, menghargai dan, pada suatu hari nanti, memelihara Malaysia untuk generasi seterusnya.
Nur Afifah binti Abdul Rahman Halawa merupakan Pensyarah Bahasa di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya, manakala Nur Syaidatu Zahriah binti Mohd Baitharul Haqqie merupakan Guru Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Huroof Preschool.