14 September 2026

Bersama, sejahtera

Featured

The waiting

When hope arrived by post By Ng Kwan Hoong "Beep... beep!" That...

Missing you

From Malaysia to China, with a plate of poori By...

Merasai

Peranan empati dan sokongan psikososial terhadap keluarga mangsa depani...

Baharu

Menelusuri makna kemerdekaan dalam era AI Oleh Dr. Maisarah Hasbullah,...

Biological

Could prawn shells become part of the solution to...

Share

Kita sebenarnya saling memerlukan

Oleh Dr. Mohd Zufri Mamat dan Dr. Maisarah Hasbullah

Setiap pagi, sebelum kita memulakan urusan harian, ramai orang lain telah terlebih dahulu memastikan kehidupan kita berjalan seperti biasa. Ada yang membersihkan ruang pejabat, membawa penumpang ke tempat kerja, mengusahakan kebun dan menyediakan makanan. Di restoran, ada tukang masak dan pelayan yang memastikan kita dapat makan tanpa perlu memikirkan apa yang berlaku di belakang dapur. Di rumah pula, kerja penjagaan anak yang dilakukan oleh ibu atau isteri membolehkan anggota keluarga yang lain keluar bekerja.

Kita mungkin jarang memikirkan semua ini sebagai sebahagian daripada pembinaan negara. Namun, cuba bayangkan kehidupan seharian kita tanpa mereka. Hospital tidak mungkin berfungsi dengan hanya doktor dan pakar perubatan. Universiti pula memerlukan bukan sahaja pensyarah dan profesor, malah pekerja pengurusan. Sebuah bandar juga tidak akan bergerak tanpa pekerja pembersihan, pemandu, mekanik, penghantar, pekerja penyelenggaraan dan begitu banyak pekerjaan lain yang sering kita anggap sebagai perkara biasa.

Sebahagian daripada pekerjaan ini mungkin tidak termasuk dalam kategori yang hari ini sering disebut sebagai ekonomi bernilai tinggi. Pekerjanya pula mungkin tidak mempunyai kemahiran yang tinggi mengikut ukuran pasaran buruh atau memperoleh pendapatan yang besar. Namun, ketiadaan mereka akan segera dirasai apabila perkhidmatan asas yang kita bergantung setiap hari mula terganggu.

Apabila kita bercakap tentang perpaduan di Malaysia, perhatian lazimnya tertumpu kepada hubungan antara kaum, agama, bahasa dan politik. Perkara-perkara ini sememangnya penting. Tetapi masyarakat yang bersatu bukan hanya bergantung pada bagaimana kita berhubung merentasi perbezaan etnik atau agama. Kita juga hidup dalam masyarakat yang mempunyai jurang pendapatan, perbezaan pekerjaan, tahap pendidikan dan kedudukan sosial yang berbeza. Hubungan antara golongan ini juga mempunyai implikasi terhadap perpaduan.

Dapatan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 memberi kita alasan untuk memikirkan perkara tersebut dengan lebih serius. Walaupun skor keseluruhan IPNas meningkat kepada 0.701, sebanyak 47.5% responden melihat kelas sosial sebagai salah satu isu yang boleh menggugat perpaduan. Hampir separuh responden, dengan kata lain, mengaitkan persoalan kelas sosial dengan keadaan perpaduan dalam negara.

Angka ini wajar diberi perhatian kerana ia memperluaskan cara kita memahami perpaduan. Selain bertanya bagaimana hubungan antara kaum dan agama dapat diperkukuh, kita juga perlu bertanya adakah semua golongan masyarakat merasakan mereka mempunyai tempat yang sewajarnya dalam pembangunan negara? Adakah sumbangan mereka dihargai, walaupun pekerjaan dan pendapatan mereka berbeza?

Perpaduan bukan sekadar hidup bersama

Struktur masyarakat moden bergantung pada pembahagian segmen kerja. Kebergantungan setiap segmen berlaku setiap hari, selalunya tanpa kita sedari. Kita mungkin tidak mengenali orang yang membersihkan tempat kerja kita, menghantar makanan ke rumah atau membaiki kenderaan yang kita gunakan. Namun, kehidupan kita tetap bersambung melalui pekerjaan yang mereka lakukan.

Dalam masyarakat moden, perbezaan pekerjaan dan peranan sosial sebenarnya menjadikan kita saling bergantung. Justeru, perpaduan tidak semestinya lahir kerana kita semua memainkan fungsi yang sama; sebaliknya ia juga boleh tumbuh daripada kesedaran bahawa kita memerlukan antara satu sama lain.

Atas sebab itu, pekerjaan yang mempunyai nilai pasaran yang rendah tidak semestinya mempunyai nilai sosial yang rendah. Seorang pekerja pembersihan mungkin menerima gaji yang jauh lebih rendah daripada seorang profesional, tetapi pekerjaannya membolehkan banyak institusi yang kita anggap penting berfungsi dengan baik. Begitu juga seorang pekebun kecil yang mungkin tidak pernah dikaitkan dengan ekonomi bernilai tinggi. Makanan yang dihasilkannya tetap menjadi keperluan asas kepada semua orang, termasuk mereka yang bekerja dalam sektor teknologi dan ekonomi berkemahiran tinggi.

Perkara yang sama dapat dilihat dalam kerja menguruskan keluarga oleh seorang suri rumah. Mereka mungkin tidak menerima gaji dan kerja mereka mungkin tidak muncul dalam ukuran ekonomi konvensional. Namun, masa dan tenaga yang dicurahkan untuk menjaga anak, mengurus rumah dan memastikan kehidupan keluarga berjalan dengan baik mempunyai kesan langsung terhadap keupayaan anggota keluarga lain untuk keluar bekerja dan belajar. Nilai pasaran dan nilai sosial bukan perkara yang sama.

Dapatan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 memberikan satu lagi petunjuk yang menarik. Dimensi Tadbir Urus dan Pembangunan menyumbang 69.7% kepada indeks tersebut. Ini menunjukkan bahawa persoalan perpaduan tidak boleh dipisahkan begitu sahaja daripada cara negara ditadbir dan bagaimana pembangunan dirasai oleh rakyat.

Pengurusan ekonomi, perkhidmatan awam, kemudahan asas dan kesejahteraan masyarakat mungkin kelihatan seperti isu pembangunan semata-mata. Hakikatnya kesemua itu turut menentukan bagaimana seseorang melihat kedudukannya dalam masyarakat dan sejauh mana dia merasakan negara ini turut dibina untuknya.

Apabila manfaat pembangunan dirasakan hanya tertumpu kepada golongan tertentu, perbezaan ekonomi mudah berubah menjadi jurang sosial. Sebaliknya, apabila rakyat daripada pelbagai latar merasakan mereka mempunyai peluang, perlindungan dan tempat yang bermakna dalam pembangunan, pembangunan itu sendiri boleh menjadi sumber perpaduan.

Dalam konteks ini, usaha memperkukuh perpaduan tidak sepatutnya dilihat hanya melalui program yang secara langsung menggunakan laras bahasa perpaduan. Dasar ekonomi, pekerjaan, perlindungan sosial, perkhidmatan awam dan usaha merapatkan jurang pembangunan juga mempunyai dimensi perpaduan yang penting.

Hari Malaysia memberi kita kesempatan untuk melihat semula negara ini bukan sekadar melalui peta, sejarah atau simbol kebangsaan, tetapi melalui kehidupan manusia yang menggerakkannya setiap hari.

Kita mungkin tidak mempunyai pendapatan dan pekerjaan yang sama atau kedudukan sosial yang sama. Tetapi perbezaan itu tidak menghapuskan hakikat bahawa kehidupan kita saling bergantung. Barangkali inilah dimensi perpaduan yang kurang kita bicarakan.

Perpaduan bukan sekadar kemampuan untuk hidup bersama walaupun berbeza. Ia juga berkait dengan kesediaan untuk mengiktiraf bahawa kehidupan kita bergantung pada sumbangan orang lain, termasuk mereka yang kedudukan ekonominya jauh berbeza daripada kita.

Sempena Hari Malaysia tahun ini, mungkin kita perlu mengajukan satu soalan yang sedikit berbeza. Bukan sekadar โ€œapa yang menyatukan kita?โ€, tetapi juga โ€œsiapa yang kita hargai sebagai pembina Malaysia?โ€

Malaysia dibina oleh kita semua. Dan sebuah negara yang benar-benar bersatu bukan hanya negara yang mengiktiraf perbezaan antara rakyatnya, tetapi negara yang memahami bahawa di sebalik perbezaan tersebut wujud satu hakikat yang sama; kita saling memerlukan.


Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di mdzufri@um.edu.my serta maisara@um.edu.my

Previous article
Next article