3 October 2025

Jangan diketuk pintu kecurangan

Featured

Last, not lost

By Nahrizul Adib Kadri When we are young, we are...

He matters

By Nurul Huda Mohd Fauzi Parenting is often seen as...

Muted potentials

When Gen Z hides who they are at work,...

Pelajarinya

Oleh Muhammad Ridha Ali Huddin Umum mengetahui, al-Quran merupakan kitab...

Care investment

By Timothy Tan Jee Vin We grow up hearing the...

Share

Oleh: Nur Faezah Musthapar

Dalam kehidupan rumahtangga, biasanya ada pasang surutnya. Setiap pasangan tidak lepas dari ujian rumahtangga. Kehadiran pihak ketiga menjadi antara faktor utama dalam peningkatan kes-kes penceraian di Malaysia. Dengan kata lain, isu ini berkait dengan perbuatan curang sama ada melibatkan suami atau isteri. Curang kebanyakannya berlaku secara sulit dan rahsia. Biasanya pasangan tidak tahu atau terlepas pandang apabila suami atau isteri curang pada peringkat awal. Mereka yang terlibat cekap dan pandai menyimpan rahsia atau memaparkan sikap yang seolah-olah mengambarkan tiada apa yang berlaku.

Suami dikatakan curang apabila bercinta dengan perempuan lain tanpa mempunyai niat untuk mengahwininya sebagai isteri yang sah. Pada mulanya, mereka hanya sekadar suka-suka sahaja dan berakhir dengan melakukan perbuatan yang jelas haram seperti berzina. Lebih parah lagi, terdapat suami orang yang berkenalan dengan isteri orang lain untuk tujuan berfoya-foya, keluar berdua-duaan, berbalas mesej dan menghantar gambar-gambar lucah. Ia juga boleh berakhir dengan perzinaan.

Sekiranya tidak dicegah dari awal, perbuatan curang ini akan menjadi suatu tabiat yang sukar diubah sehingga tua. Bahkan mereka merasa seronok dengan perbuatan curang, menganggap biasa dan tidak merasa bersalah langsung dengan tabiat buruk itu. Manakala pihak isteri pula dikatakan curang apabila bercinta dengan lelaki lain sama ada lelaki itu bujang atau suami orang, dan dalam masa yang sama masih berstatus isteri orang yang sah. Jelas-jelas perbuatan tersebut adalah haram dan berdosa besar. Ia merupakan maksiat yang perlu dicegah dan dirawat segera.
Sebagaimana yang diketahui bahawa curang ini merupakan pilihan kerana sesungguhnya manusia diberi pilihan untuk berbuat baik atau buruk.

Antara beberapa tanda berlaku curang berdasarkan kajian daripada kes-kes mahkamah adalah menjaga tahap privasi telefon yang keterlaluan seperti menjawab panggilan telefon secara berahsia, tidak boleh berenggang dengan telefon, sentiasa bertukar password telefon. Juga tabiat diri yang berbeza daripada kebiasaan, sumber kewangan yang tidak mencukupi, terlalu banyak masa di luar rumah berbanding bersama keluarga, seperti pulang sehingga lewat malam, sering tugas luar, melakukan perjalanan secara diam-diam, sering memberi banyak alasan atau cerita yang tidak konsisten, perasaan tidak stabil dalam banyak hal, mudah sangat untuk bertengkar, keinginan seks atau kasih sayang yang semakin menurun dan berkurangan terhadap pasangan.

Perbuatan curang ini tidak boleh dipandang remeh kerana sekali diketahui curang, sukar untuk mendapatkan semula kepercayaan daripada pasangan. Islam sangat mementingkan kaedah menolak kerosakan adalah lebih utama berbanding mendatangkan kebaikan atau cegah dahulu sebelum rawat. Antara solusi yang boleh dilaksanakan oleh suami mahupun isteri untuk berjuang mengelakkan daripada curang ialah:

Jaga Batas Pergaulan Lelaki dan Perempuan

Perlu diingat hukum asal pergaulan antara perempuan dan lelaki ajnabi (yang boleh berkahwin dengannya) adalah haram kecuali dalam beberapa keadaan yang dibenarkan syarak. Maka ia menjadi harus. Rasulullah SAW melarang lelaki dan perempuan berdua-duaan terutamanya di tempat yang sunyi, “Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya” (Hadis Riwayat Muslim)

Selain itu, Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah bahawa tidaklah berdua-duaan seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan yang ketiganya adalah syaitan”
Berdua-duaan antara lelaki dan perempuan tanpa ikatan adalah perbuatan yang haram dan berdosa dalam Islam. Namun sekiranya ada keperluan penting untuk dilaksanakan maka perjumpaan tersebut boleh dilakukan dengan ditemani mahram yang dewasa atau berkumpul beramai-ramai atau berjumpa di tempat yang mempunyai ramai orang. Jangan berjumpa berdua-duaan, di tempat yang sunyi, tiada orang dan mengundang fitnah kepada kedua-duanya. Keadaan ini terpakai terutamanya suami mahupun isteri yang bekerja. Banyak skandal berlaku di tempat kerja disebabkan permulaan yang tidak menjaga batas pergaulan sesama berlainan jantina.

Allah SWT melarang lelaki mahupun perempuan untuk mendekati zina “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)” (Surah al-Isra’, 17:32)

Pencegahan awal dalam Islam adalah Allah SWT mengharamkan manusia untuk mendekati zina. Menghampiri pun sudah dilarang apatah lagi berzina. Menurut Ibnu Kathir, maksud “jangan mendekati” menunjukkan bahawa semua perkara sama ada percakapan dan perbuatan yang membawa kepada zina seperti pandangan mata, sentuhan dan berkhalwat adalah haram.

Jangan melayan dengan menjaga dan mengawal diri

Perbuatan curang boleh terjadi apabila kedua-dua pihak suka melayan dan dilayan. Ibaratnya bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Usah melayan perbualan atau perbuatan yang tidak penting. Suami mahupun isteri perlu pandai mengawal dan menjaga maruah diri serta perasaan pasangan.

Salah satu langkah awal untuk menjaga diri adalah perempuan menutup aurat sebagaimana dikehendaki syarak. Menutup aurat tetapi tidak menepati syarak adalah masih dikategorikan tidak menutup aurat secara sempurna. Menutup aurat itu tanda kemuliaan bagi seorang wanita. Lelaki juga akan menghormati, menundukkan pandangan kepada perempuan yang menutup aurat dengan sempurna.

“Wahai nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar). Cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan ingatlah Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (Surah al Ahzab 33:59)

Asasnya, menutup aurat secara sempurna bagi perempuan ialah berpakaian longgar atau tidak ketat agar tidak menampakkan bentuk badan, tidak jarang supaya tidak menampakkan warna kulit, tudung mesti menutupi paras dada, menggunakan sarung lengan atau hand sock, memakai sarung kaki atau stokin, berpakaian yang tidak menyerupai agama lain, berpakaian tidak menyerupai berlainan jantina dan warna pakaian tidak terlalu menyerlah sehingga menarik perhatian lelaki ajnabi untuk memandang, tertarik dan menganggu wanita-wanita sama ada dengan perkataan atau perbuatan. Juga tidak terlalu mempamerkan gambar peribadi dalam media sosial seperti Facebook, Whatsapp, tidak mendedahkan gambar yang tidak menutup aurat, tidak menunjukkan kemesraan suami isteri dalam media sosial.

Di samping itu, menjaga diri juga merangkumi menundukkan pandangan mata, tidak menggunakan suara yang manja untuk menarik perhatian lawan jantina, tidak bersuara menggoda, berperilaku sopan, tidak melakukan gaya-gaya yang boleh menarik perhatian, tidak berlebihan di dalam berhias ketika di luar rumah dan ketika bersama lelaki ajnabi. Golongan perempuan juga tidak memakai wangi-wangian yang kuat baunya sehingga boleh menarik perhatian lelaki.

Suami pula menjaga dan menundukkan pandangan mata. Sekiranya melihat wanita yang lebih cantik dan menarik di luar rumah, Rasulullah SAW memberikan solusi untuk kembali kepada isteri. Baginda menjelaskan:

Telah menceritakan kepadaku Salamah bin Syabib, telah menceritakan kepada kami al-Hasan bin A’yan, telah menceritakan kepada kami Ma’qil dari Abu Zubair, ia berkata, Jabir berkata, “Saya mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda, ‘Jika salah seorang dari kalian terpikat wanita lain dan menimbulkan gejolak dalam hatinya, segeralah ia menumpahkan hasratnya pada isterinya. Hal ini kerana yang demikian itu dapat menenteramkan gejolak hatinya.'” (Hadis Riwayat Muslim).

Cemburu Seorang Suami

Salah satu cara untuk mencegah isteri daripada curang ialah suami perlu mempunyai sifat cemburu atau al-Ghirah. Sifat cemburu suami dibenarkan dalam Islam asalkan cemburu yang timbul tidak memiliki sifat yang berlebihan hingga menyebabkan pertengkaran di antara keduanya. Suami boleh cemburu apabila isteri tidak menutup aurat dengan menasihatinya agar menutup aurat, cemburu melihat isteri bermesra-mesraan dengan lelaki lain, cemburu melihat isteri keluar dengan lelaki lain tanpa alasan yang penting. Cemburu seorang suami yang mengikuti lunas-lunas agama akan melindungi dan menyelamatkan isterinya daripada curang.

Diriwayatkan oleh Ahmad, Al-Bukhari dan Muslim daripada Al-Mughirah bin Syu’bah berkata: Sa’ad bin Ubadah berkata: Sekiranya aku melihat lelaki lain bersama isteriku, pasti aku akan menghunusnya dengan pedang tanpa ampun”. Lalu, hal tersebut sampai kepada Rasulullah SAW dan Baginda bersabda: Adakah kamu merasa kagum terhadap kecemburuan Saad? Demi Allah, aku lebih bersifat cemburu daripadanya, manakala Allah lebih bersifat cemburu daripadaku. Oleh kerana cemburunya Allah, Dia mengharamkan kekejian yang nampak dan yang tidak nampak.

Lelaki yang tidak mempunyai perasaan cemburu kepada isterinya dengan membiarkan dan tidak mempedulikan isteri secara terus menerus melakukan maksiat, kerana menganggap perlu sentiasa bersikap terbuka atau sporting kepada isterinya, sedangkan dia boleh membanterasnya maka dianggap sebagai seorang suami yang dayus. Rasulullah SAW bersabda di dalam hadis: Tiga golongan yang tidak akan dipandang oleh Allah SWT pada hari Kiamat ialah orang yang derhaka kepada ibu bapa, wanita yang menyerupai lelaki serta lelaki dayus. (HR al-Nasaie di dalam Sunan, Hasan Sahih- Al Albani)

Sifat Malu Isteri dan Suami

Lelaki atau perempuan perlu berpegang kepada satu sifat ini untuk menjalani hidup di akhir zaman iaitu sifat malu atau al-haya’. Sabda Rasulullah SAW: “Malu dan iman sentiasa bersama. Apabila salah satunya dicabut, maka hilanglah yang lainnya.” (Riwayat al-Hakim).

Perbuatan curang berlaku kerana ketiadaan sifat malu dalam diri isteri mahupun suami. Kehilangan sifat ini akan menyebabkan mereka berani untuk curang secara diam atau secara terang-terangan. Cara memupuk sifat malu adalah bersifat ihsan. Maksud ihsan telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW iaitu “Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW digambarkan sebagai seorang yang pemalu. Abu Said al-Khudri berkata, “Rasulullah SAW itu tinggi sifat malunya. Bahkan lebih malu berbanding anak dara yang baru dikahwinkan dengan suami yang tidak dikenalinya. Jika Rasulullah SAW melihat perkara yang tidak menyenangkan hatinya, kita dapat melihat perubahan riak wajahnya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sehubungan dengan itu, perasaan malu perlu dipupuk untuk tidak berbuat maksiat. Tiap pihak perlu belajar untuk mempunyai rasa malu kepada Allah SWT. Sifat malu ini akan mencegah isteri mahupun suami untuk berlaku curang.

Benteng Diri dengan Amalan Agama

Benteng diri daripada berbuat curang melalui amalan agama seperti sentiasa berzikir. Jangan biarkan diri kosong, tidak berbuat apa-apa. Amalan zikir adalah mudah tetapi berat untuk dilaksanakan. Lazimi juga setiap hari dengan membaca al-Qur’an, mendengar ceramah agama sebagai makanan jiwa. Ajak pasangan untuk solat berjemaah walaupun hanya satu waktu seperti solat Maghrib atau Isyak atau Subuh berjemaah.

Semoga Allah SWT merahmati seorang lelaki yang bangun di waktu malam lalu mengerjakan solat dan dia membangunkan isterinya lalu isterinya mengerjakan solat. Apabila isterinya enggan untuk bangun, dia mempercikkan air di wajah istrinya. Semoga Allah SWT merahmati seorang wanita yang bangun di waktu malam lalu mengerjakan solat dan dia membangunkan suami lalu si suami mengerjakan solat. Apabila suaminya enggan untuk bangun, ia mempercikkan air di wajah suaminya. (Imam Ahmad di dalam al-Musnad)

Bertakwa dalam urusan melibatkan pasangan

Bertakwa pada Allah SWT dalam urusan yang melibatkan rumah tangga. Sebabnya, hanya suami dan isteri sahaja yang mengetahui rahsia-rahsia rumah tangga. Takwa dalam erti kata takut kepada Allah SWT untuk berbuat aniaya kepada pasangan terutamanya kepada isteri.

Sabda Rasulullah SAW: “Bertakwalah kamu kepada Allah SWT dalam urusan isteri-isteri kamu. ٍSesungguhnya kamu mengambil mereka dengan keamanan dari Allah SWT dan kamu menghalalkan faraj mereka dengan kalimah Allah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Suatu kisah Rasulullah SAW tentang bagaimana baginda menangani konflik apabila isterinya Sayidatina ‘Aishah telah dituduh curang, bersekedudukan dengan seorang sahabat muda, Safwan bin Mu’attal dalam perjalanan pulang dari perang Bani Mustaliq. Peristiwa itu berlaku selama sebulan di mana wahyu tidak turun untuk menjelaskan kebenaran. Selama tempoh tersebut, baginda menanggung ujian emosi yang sangat dahsyat sehingga Nabi SAW sudah berkira-kira untuk menceraikan Sayidatina ‘Aishah kerana baginda sendiri tidak pasti sama ada isterinya curang atau tidak sehingga Allah SWT menurunkan ayat 11 hingga 20 surah an-Nur untuk menyatakan kebenaran.

Tindakan Rasulullah SAW sementara menunggu wahyu yang belum turun ialah memanggil Ali bin Abi Talib dan Usamah bin Zaid untuk berbincang tentang kemungkinan untuk menceraikan isterinya. Ini menunjukkan baginda tidak mudah mengambil keputusan untuk menceraikan isterinya. Ini dibuktikan apabila baginda sentiasa menunggu wahyu daripada Allah SWT sehingga sebulan lamanya. Baginda juga menunjukkan sikap tidak mudah mengorbankan perkahwinan hanya demi kepentingan peribadi. Setelah wahyu diturunkan, Rasulullah SAW kembali ceria setelah mengetahui berita curang itu tidak benar dan meminta Sayidatina ‘Aishah untuk memuji Allah SWT kerana telah membersihkan maruahnya. Ini juga menunjukkan sikap baginda yang tidak lagi menyimpan dendam dan mengungkit kesalahan isteri serta mengajak isteri untuk bersyukur kepada Allah SWT apabila masalah telah mampu diselesaikan.

Sayidatina ‘Aishah pula bersikap dengan sentiasa bersabar, terus bersangka baik dengan Allah SWT dan meletakkan sepenuh pergantungan hidupnya kepadaNya walaupun pada saat yang paling dirasakan tiada harapan langsung kerana suaminya Rasulullah SAW dan ahli keluarganya seolah-olah tidak mempercayainya lagi.

Kesimpulan

Justeru, jangan cuba-cuba untuk berlaku curang. Sakit dicurangi oleh pasangan boleh membawa kepada kemurungan, juga trauma sekiranya tidak dirawati dengan baik. Luka yang ditinggalkan sukar dilupakan dan masih terasa. Solusi yang diberikan oleh Islam untuk mencegah berlakunya curang adalah praktikal dan mudah namun berat untuk dilaksanakan apabila tidak disertai dengan keimanan. Maka nasihat yang terbaik adalah kembali semula kepada agama, fikirkan tentang dosa dan pahala. Tidak cukupkah peringatan yang Allah SWT berikan melalui virus Covid 19 untuk kita kembali semula kepadaNya, sentiasa bertaubat akan kesalahan-kesalahan kita dan membina rumah tangga yang diberkati Allah SWT. Rumah tangga yang dibina pastinya akan diminta dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Ingatlah setiap pengorbanan pasangan daripada awal perkahwinan, susah senang bersama sehingga saat sekarang. Pandang pasangan dengan penuh kasih sayang dan layaninya dengan baik sebagaimana yang ditunjukkan oleh nabi kesayangan kita.

Penulis merupakan calon ijazah kedoktoran di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di faezahmusthapar@gmail.com