Oleh Muhammad Ridha Ali Huddin
Umum mengetahui, al-Quran merupakan kitab suci agama Islam yang tak lapuk zaman. Jauh di lubuk hati sesiapa sahaja, alangkah gembira dan syukurnya hati apabila dapat melihat anak-anak kecil yang mampu menyebut, membaca dan memahami ayat-ayat suci al-Quran.
Selain daripada nilai kerohanian dan emosi, pelbagai persoalan yang terbuku di minda kita tentang apakah kepentingan untuk mempelajari dan mengajar al-Quran di peringkat akar umbi lagi? Ibu bapa hari ini sering bimbang anak-anak tidak mampu menguasai 3M atau 4M, sebaliknya sejauh mana mereka risau tentang literasi al-Quran dalam kalangan anak-anak mereka?
Pembentukan karakter dan nilai moral sejak kecil
Fenomena kebejatan akhlak dalam kalangan kanak-kanak generasi hari ini (generasi alpha) sangat membimbangkan. Meskipun perbualan sesama rakan, boleh dikatakan hampir setiap bait tutur kata mereka pasti terkandung perkataan kesat, bahkan terkadangnya perkataan lucah yang ‘pedih’ untuk didengari oleh warga ibu bapa.
Percayalah bahawa al-Quran yang dipelajari bukan sahaja lancar di bibir, bahkan boleh menjadi benteng ampuh dalam diri generasi hari ini. Anak-anak diibaratkan sekeping ‘span’ iaitu sangat mudah menyerap segala yang dipelajari mereka baik di sekolah mahupun di rumah. Lidah yang melazimi bacaan al-Quran akan sentiasa dapat dijaga tutur katanya. Melalui pendedahan al-Quran sejak kecil, maka nilai-nilai murni seperti kasih sayang, tolong-menolong, kesabaran dan kejujuran dapat dipupuk secara semulajadi dengan mudah.
Pembentukan karakter dan nilai murni sejak kecil bukan sahaja memberi kebaikan kepada mereka, malah turut memberikan keharmonian dan disenangai oleh masyarakat setempat kelak. Anak kecil yang tinggi adabnya, sopan tutur katanya, secara automatik mencerminkan generasi akhlak al-Quran.
Perkembangan bahasa arab yang lebih intuitif
Dalam keadaan tidak sedar, melazimi bacaan al-Quran hakikatnya membantu secara tidak langsung dalam menguasai bahasa Arab baik dari aspek struktur ayat (nahu), morfologi (pembentukan ayat) mahu pun sebutan (fonetik). Susunan ayat al-Quran yang sangat cantik, gaya bahasa yang sangat indah dan tinggi akan memberikan kesan positif kepada kemahiran kesusasteraan kepada anak-anak.
Kanak-kanak yang didedahkan dengan al-Quran sejak awal lebih berpotensi menunjukkan kemahiran literasi yang lebih tinggi berbanding sebaliknya. Hal ini disebabkan pembelajaran mereka mengandungi gabungan antara visual (tulisan hijaiyyah), auditori (bunyi sebutan) dan kinestetik (gerakan lidah dan mulut semasa membaca).
Elemen-elemen ini secara langsung membantu proses pemetaan bahasa yang lebih tekal berbanding individu yang diperkenalkan dengan bahasa Arab pada usia yang lebih lanjut.
Membina hubungan spiritual dengan al-Quran serta manfaat sosial
Kita mungkin pernah menyaksikan bagaimana anak kecil akan berhenti menangis apabila diperdengarkan ayat-ayat suci al-Quran atau zikir. Hal ini bukan semata-mata kebetulan, sebaliknya menggambarkan ikatan emosional yang mula terbina di tahap tanpa sedar.
Proses ini dikenali sebagai internalisasi iaitu ketika pengalaman al-Quran tertanam dalam memori awal anak, ia menjadi sumber ketenangan dan kedamaian emosi sepanjang hayat. Pembacaan al-Quran yang dijadikan amalan harian mampu membuatkan jiwa dan emosi pembaca lebih tenang dan lebih dekat dengan Allah SWT.
Kebaikan ini secara langsung menjadikan anak-anak yang mempunyai jiwa yang tenang lebih mudah untuk mendengar nasihat dan teguran ibu bapa. Mereka juga tidak mudah bertelagah sesama adik-beradik malah lebih bersikap saling memuliakan (ikram muslimin) antara satu sama lain.
Latihan membaca al-Quran secara konsisten juga memberi kesedaran bahawa kitab suci itu bukan sekadar teks di masjid atau buku di rak, tetapi teman yang boleh diadu, menjadi penghibur ketika rasa gelisah dan pemberi kekuatan ketika berdepan cabaran.
Selain itu, amalan membaca al-Quran yang konsisten setiap hari dapat menjadikan rutin harian yang sangat bermanfaat dari aspek latihan jati diri dan disiplin. Anak-anak yang telah sebati dengan jadual membaca al-Quran sebagai rutin harian, mereka akan lebih berdisiplin bahkan akan mendapat kesan psikologi jangka panjang. Mereka belajar memberikan tumpuan sepenuh hati serta menanam rasa tanggungjawab dalam diri.
Ibu bapa yang mengajar al-Quran di rumah juga menyumbang kesan domino positif dalam sesebuah keluarga. Apabila anak-anak memperdengarkan bacaan al-Quran kepada ibu bapa, ia memberi inspirasi kepada anggota keluarga lain untuk turut serta. Dalam konteks sosial, kanak-kanak yang sudah biasa dengan bacaan solat dan al-Quran, mereka lebih cenderung untuk tampil ke hadapan bagi mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran di surau atau masjid terutamanya dalam aktiviti keagamaan tahunan yang dianjurkan seperti Majlis Khatam al-Quran, Majlis Sambutan Nuzul Quran dan lain-lain.
Kesan kognitif dan fosilisasi
Walaupun kajian di Malaysia terhadap aspek ini masih terhad, kajian antarabangsa mendapati bahawa kanak-kanak yang konsisten membaca, menghafal dan mendengar al-Quran menunjukkan perkembangan kognitif yang lebih baik khususnya dari aspek tumpuan (attention), keupayaan memori dan pengurusan tekanan.
Muzik dan bacaan berirama al-Quran didapati mampu mendatangkan kesan “syafasi” (menyembuhkan) kepada otak, merangsang pembentukan sel neural yang berkesan lantas membantu pembelajaran bahasa, matematik dan sains di peringkat sekolah rendah. Selain daripada kelebihan-kelebihan yang telah disebutkan, salah satu kebaikan mempelajari al-Quran di awal usia dapat mencegah fenomena ‘lidah keras’.
Istilah ini merujuk kepada situasi di mana seseorang penutur tidak berupaya menyebut sesuatu fonem bahasa asing dengan tepat. Selari dengan peribahasa Bahasa Melayu iaitu ‘melentur buluh biar dari rebungnya’ adalah relevan untuk digambarkan sekiranya sesuatu ilmu itu tidak diajar sejak akar umbi.
Apabila usia semakin meningkat, terutamanya selepas fasa usia kritikal (critical period) iaitu sekitar 13-16 tahun, lidah seseorang penutur itu akan menjadi sangat sukar untuk ‘dilenturkan’.
Cabaran dan realiti persekitaran
Walaubagaimanapun, kita tidak boleh menafikan hakikat iaitu tidak semua keluarga mampu menyediakan persekitaran kondusif untuk kanak-kanak belajar al-Quran sejak kecil di rumah. Ada sesetengah ibu bapa yang sangat sibuk dengan kerjaya masing-masing dan hanya serahkan anak bulat-bulat kepada pihak sekolah.
Ada juga ibu bapa yang tidak mahir membaca al-Quran, malah lebih parah lagi tidak tahu membaca al-Quran. Hal ini juga lazimnya rentetan kesan domino negatif yang turut dialami sewaktu mereka masih kecil. Lebih membimbangkan, ibu bapa sudahlah tidak tahu membaca al-Quran, malah mereka turut tidak menghantar anak-anak mereka mempelajari al-Quran di sekolah mahupun guru-guru persendirian. Situasi seperti ini sangat bahaya kepada nasib anak-anak mereka sekiranya tidak dipantau dengan serius, dikhuatiri rantaian kesan domino negatif tidak dapat diputuskan.
Intihanya, mempelajari al-Quran sejak awal usia bukanlah soal hanya bacaan bahkan soal menyemai dan memupuk nilai diri, meningkatkan kecerdasan otak, serta membentuk identiti rohani dan sosial yang cemerlang. Jika kita berfikir bahawa anak-anak adalah harapan masa depan, maka dengan memperkenalkan dan mengajar al-Quran secara konsisten sejak kecil adalah warisan dan saham akhirat yang sangat menguntungkan.
Di samping membentuk insan matang yang utuh ilmu, akhlak dan rohaninya, kita juga bakal mendapat syafaat al-Quran di akhirat kelak.
Dr. Muhammad Ridha Ali Huddin ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Arab dan Bahasa-bahasa Timur Tengah, Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di mardha67@um.edu.my