8 May 2026

Tempatkan mereka

Featured

Aesthetics

Street art is rewriting Kuantan’s story By Associate Professor Dr...

Merenung

Realiti pahit pesara tanpa perancangan kewangan Oleh Dr. Nurulhuda Ahmad...

Adapting

Why science diplomacy must evolve or perish By Professor Dato...

Tenang

Beradab bila berbeza pandangan, usah berlagak pakar Oleh Dr. Nurul...

Evolving

How the NSRF is forcing ESG to grow up By...

Share

Oleh Fonny Dameaty Hutagalung

Kebelakangan ini masyarakat digemparkan dengan kejadian menyayat hati yang melibatkan kejadian bunuh pelajar di sebuah sekolah menengah di Malaysia. Kejadian buli di sekolah yang hampir saban hari muncul di media, bukan sahaja membuktikan wujudnya gejala keganasan dalam kalangan pelajar, tetapi juga mencerminkan isu yang lebih besar iaitu krisis kesihatan mental yang semakin meruncing dalam kalangan remaja, yang seringkali bermula daripada persekitaran keluarga yang bermasalah serta kurangnya sistem sokongan psikososial dalam masyarakat.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu daripada tujuh remaja berumur 10 hingga 19 tahun menghadapi masalah kesihatan mental, dengan gangguan seperti kemurungan, kebimbangan dan gangguan tingkah laku menjadi antara punca utama. Dalam konteks kejadian pelajar menikam rakan sekolahnya, kita tidak boleh menolak kemungkinan bahawa pelaku mengalami tekanan emosi yang tidak ditangani — sama ada akibat masalah keluarga, tekanan sosial atau juga dari persekitaran sekolah.

Kajian menunjukkan bahawa remaja yang menghadapi tekanan mental tetapi tidak mendapat intervensi awal berisiko untuk bertindak di luar jangkaan, termasuk perlakuan ganas terhadap diri sendiri atau orang lain. Tambahan pula, kurangnya empati, kegagalan mengurus emosi, dan kekurangan komunikasi sihat dalam keluarga menyumbang kepada perkembangan personaliti yang tidak stabil dalam kalangan remaja.

Keluarga merupakan institusi asas dalam membentuk kestabilan emosi anak-anak. Namun, konflik rumah tangga, keibubapaan yang lemah, dan kurangnya perhatian dan pemahaman terhadap perkembangan emosi anak boleh mencetuskan tekanan psikologi dalam diri remaja. Dalam banyak kes, pelajar yang menunjukkan tingkah laku agresif atau ganas mempunyai latar belakang keluarga yang bermasalah – sama ada dari segi komunikasi, kurang kasih sayang, atau kestabilan ekonomi.

Sebagai contoh, remaja yang membesar dalam suasana dingin atau penuh kawalan yang melampau cenderung untuk memberontak secara senyap, dan akhirnya meletus melalui perbuatan yang ekstrem seperti kejadian penikaman pelajar baru-baru ini. Kajian tempatan juga menunjukkan bahawa hampir 30\% remaja Malaysia menunjukkan simptom tekanan, tetapi tidak mendapat rawatan psikologi atau kaunseling yang sepatutnya.

Ibu bapa perlu dilengkapi dengan kemahiran keibubapaan yang positif serta pengetahuan asas tentang kesihatan mental anak-anak. Pendekatan disiplin yang terlalu keras atau terlalu longgar kedua-duanya boleh membawa kepada ketidakseimbangan emosi dalam diri remaja. Insiden tragis seperti ini seharusnya menjadi peringatan bahawa sistem sokongan kesihatan mental dalam institusi pendidikan perlu diperkukuh dan diperkasakan lagi.

Sekolah perlu memainkan peranan aktif dalam mengenal pasti pelajar yang menunjukkan tanda-tanda gangguan emosi dan menyediakan sokongan psikologi yang mencukupi. Kaunselor sekolah bukan hanya perlu menunggu pelajar datang mendapatkan bantuan, tetapi juga perlu proaktif mengesan dan menyantuni pelajar yang berisiko.

Sudah masanya di Malaysia mempunyai ahli psikologi yang ditempatkan di sekolah yang memainkan peranan penting dalam pengesanan awal, menilai dan memberi intervensi kepada pelajar yang berisiko atau yang menunjukkan tingkah laku agresif, trauma keluarga, atau tekanan emosi yang tinggi.

Bagi peranan ini, portal kerjaya negara menyenaraikan “Educational Psychologist” sebagai kerjaya yang menyediakan sokongan psikologi dan emosi kepada pelajar, melakukan penilaian psikologi, bekerjasama dengan guru, ibu bapa dan staf sekolah. Apabila seorang profesional psikologi ditempatkan di sekolah, mereka boleh:

  • Melakukan penilaian awal psikologi untuk menilai pelajar yang berisiko (contohnya tingkah laku agresif, trauma, kebimbangan, latar belakang keluarga bermasalah) dengan lebih sistematik sebagai langkah pencegahan awal.
  • Memberi intervensi awal (bimbingan, kaunseling, program sokongan) kepada pelajar serta bekerjasama dengan guru/ibu bapa.
  • Berfungsi sebagai penasihat di sekolah dalam membangunkan polisi atau amalan terbaik di sekolah yang menyokong kesejahteraan mental pelajar (contoh: pengurusan konflik, pembentukan empati, program mengoptimumkan emosi).
  • Membantu memperkuat hubungan antara ibu bapa, pelajar dan sekolah — mengadakan sesi bersama ibu bapa, memberi pendidikan tentang kesihatan mental anak dan cara menangani tekanan emosi.
  • Membantu membangunkan intervensi keluarga-berpusat (family-base intervention) atau program sokongan emosi di sekolah yang melibatkan ibu bapa dan pelajar.

Justeru itu, menempatkan lulusan sarjana psikologi di sekolah bukan sekadar “menambah staf” tetapi membawa dimensi sokongan secara menyeluruh (holistic) terhadap pelajar dan keluarganya — menjurus kepada pencegahan masalah lebih awal sebelum ia meletus menjadi keganasan, dan bukan seperti kata pepatah “sudah terantuk baru tengadah” – sudah berlaku baru mahu ambil tindakan.

Bagi tujuan ini, Universiti Malaya adalah antara universiti yang menghasilkan ramai graduan-graduan yang berkaliber dalam bidang psikologi pendidikan yang seharusnya diberikan tempat yang sewajarnya di sekolah-sekolah. Beberapa cadangan untuk memastikan penempatan lulusan sarjana psikologi di sekolah dapat memberikan impak yang maksimum:

  • Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia boleh mempertimbangkan mewujudkan jawatan “Ahli Psikologi Sekolah” atau Pendidikan” secara rasmi, bagi menempatkan ahli psikologi di sekolah dengan bilangan minimum per bilik darjah atau pelajar (contoh: 1 setiap 500-pelajar) seperti model bagi kaunselor.
  • Menawarkan insentif dan laluan kerjaya yang jelas untuk lulusan sarjana psikologi agar mereka memilih untuk bekerja di sekolah, bukannya hanya di sektor swasta atau sektor lain.
  • Membangunkan sistem pengesanan awal di sekolah untuk pelajar yang berisiko yang mana ahli psikologi pendidikan boleh menjadi “first responder” sebelum rujukan ke hospital atau pusat kesihatan mental.
  • Mengintegrasikan kerjasama lebih kukuh antara ibubapa dan keluarga serta komuniti seperti mengadakan bengkel bersama ibu bapa bagi membina rangkaian sokongan luar sekolah.

Dengan sistem yang kukuh, insiden yang ekstrem boleh dikurangkan melalui strategi pencegahan dan bukannya hanya pengurusan krisis. Oleh itu, penempatan lulusan sarjana psikologi di sekolah bukanlah pilihan “sampingan,” tetapi satu keperluan strategik untuk meningkatkan kesejahteraan pelajar dan memperkukuh institusi keluarga-sekolah dalam menghadapi cabaran kesihatan mental zaman kini.


Prof Madya Dr Fonny Dameaty Hutagalung ialah Pengarah, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di fonny@um.edu.my