Realiti pahit pesara tanpa perancangan kewangan
Oleh Dr. Nurulhuda Ahmad Zaki
Fenomena pesara yang suatu ketika dahulu memiliki simpanan besar tetapi akhirnya hidup dalam kesempitan bukan lagi kisah terpencil. Dalam realiti masyarakat hari ini, semakin ramai pesara yang terpaksa berhadapan dengan tekanan kewangan selepas bersara, walaupun pernah menerima jumlah wang yang besar hasil pengeluaran simpanan persaraan. Persoalannya, ke manakah hilangnya wang tersebut?
Kisah ini sering bermula dengan jumlah simpanan yang kelihatan mencukupi. Ada yang menerima ratusan ribu ringgit, malah ada juga yang mencecah jutaan ringgit. Namun, tanpa perancangan kewangan yang teliti, wang tersebut boleh habis dalam tempoh yang singkat. Perbelanjaan yang tidak terkawal, pelaburan tanpa ilmu, serta sikap terlalu pemurah menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada keadaan ini.
Salah satu punca utama ialah kegagalan mengurus kewangan dengan bijak. Ramai pesara melihat wang persaraan sebagai โganjaranโ selepas bertahun-tahun bekerja, lalu menggunakannya untuk memenuhi keinginan yang tertangguh. Pembelian barangan mewah, pengubahsuaian rumah secara besar-besaran, serta gaya hidup yang meningkat secara mendadak menyebabkan wang cepat susut. Tanpa bajet dan perancangan jangka panjang, simpanan yang sepatutnya bertahan puluhan tahun boleh habis dalam beberapa tahun sahaja.
Lebih membimbangkan, pesara juga merupakan antara sasaran utama scammer. Golongan ini sering dianggap memiliki simpanan yang besar serta kurang pendedahan terhadap teknologi dan taktik penipuan terkini. Scammer mengambil peluang dengan menawarkan pelaburan palsu yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat. Ada yang menyamar sebagai pegawai bank atau pihak berkuasa, mencipta situasi panik, dan memaksa mangsa membuat keputusan segera. Tanpa semakan lanjut, pesara mudah terpedaya dan akhirnya kehilangan wang dalam jumlah yang besar dalam sekelip mata.
Kes terbaru yang melibatkan seorang guru tuisyen yang kerugian hampir RM1 juta wajar dijadikan pengajaran besar kepada masyarakat. Dalam kejadian tersebut, mangsa dilaporkan menerima mesej yang mendakwa terdapat transaksi mencurigakan melibatkan akaun banknya. Mangsa kemudian dihubungi oleh individu yang menyamar sebagai pegawai bank dan seterusnya disambungkan kepada โpegawai penyiasatโ. Melalui perbualan berterusan, mangsa dipaksa untuk memberikan maklumat perbankan termasuk kod pengesahan (OTP) serta melakukan beberapa transaksi pemindahan wang. Keseluruhannya, hampir RM920,000 lesap melalui puluhan transaksi dalam tempoh singkat.
Apa yang lebih membimbangkan, mangsa merupakan individu berpendidikan, sekali gus membuktikan bahawa scammer tidak menyasarkan kelemahan intelektual, tetapi kelemahan emosi. Teknik yang digunakan melibatkan tekanan psikologi seperti ugutan pembekuan akaun, ancaman tindakan undang-undang, serta arahan segera tanpa ruang untuk berfikir. Dalam keadaan panik, mangsa bertindak tanpa semakan lanjut, menyebabkan kerugian yang amat besar.
Tidak kurang juga, faktor emosi memainkan peranan besar dalam kemerosotan kewangan pesara. Ramai yang terlalu memanjakan anak-anak sehingga sanggup mengorbankan simpanan sendiri. Ada yang memberikan wang dalam jumlah besar untuk membantu anak membeli rumah, memulakan perniagaan, atau menyelesaikan hutang. Selain itu, kos penganjuran majlis perkahwinan anak yang besar turut menjadi penyumbang kepada penyusutan simpanan. Walaupun niatnya baik, tindakan ini sering dilakukan tanpa mengambil kira keperluan diri sendiri pada masa hadapan.
Sikap memberi pinjam tanpa kawalan juga menjadi antara punca. Tidak sedikit pesara yang memberi pinjaman kepada ahli keluarga atau kenalan tanpa sebarang perjanjian jelas. Malangnya, ada yang tidak mampu membayar semula, menyebabkan pesara kehilangan sebahagian besar simpanan mereka. Dalam jangka panjang, keadaan ini menjejaskan kestabilan kewangan dan emosi pesara itu sendiri.
Selain itu, terdapat juga pesara yang terlibat dalam pelaburan atau perniagaan tanpa ilmu yang mencukupi. Terpengaruh dengan rakan atau kenalan, mereka melaburkan wang dalam projek yang tidak difahami sepenuhnya. Ketiadaan analisis risiko dan pengetahuan asas menyebabkan mereka terdedah kepada kerugian besar. Apabila perniagaan gagal, pesara bukan sahaja kehilangan modal, malah tiada lagi sumber pendapatan tetap untuk meneruskan kehidupan harian. Situasi ini menunjukkan bahawa pendidikan kewangan adalah elemen yang sangat penting, terutamanya dalam fasa persaraan. Malangnya, ramai yang menganggap bahawa perancangan kewangan hanya relevan semasa masih bekerja. Sedangkan hakikatnya, pengurusan kewangan selepas bersara adalah lebih kritikal kerana tiada lagi aliran pendapatan tetap. Oleh itu, pesara perlu mempunyai pelan kewangan yang jelas, termasuk bajet bulanan, strategi pelaburan yang selamat, serta simpanan kecemasan.
Sebagai langkah pencegahan, beberapa prinsip asas perlu diamalkan. Pertama, pesara perlu mengawal perbelanjaan dan membezakan antara keperluan dan kehendak. Kedua, elakkan daripada membuat pelaburan yang tidak difahami atau menjanjikan pulangan terlalu tinggi. Ketiga, berhati-hati dengan sebarang tawaran yang mencurigakan dan sentiasa mengamalkan sikap โsemak dan sahkanโ. Keempat, hadkan bantuan kewangan kepada anak-anak mengikut kemampuan sebenar agar tidak menjejaskan kelangsungan hidup sendiri.
Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu mengubah persepsi terhadap pesara. Mereka tidak seharusnya dilihat sebagai sumber kewangan keluarga semata-mata. Sebaliknya, pesara berhak menikmati kehidupan yang selesa hasil usaha mereka sepanjang hayat. Sokongan moral dan kesedaran dalam kalangan ahli keluarga amat penting bagi memastikan pesara tidak terbeban dengan tanggungjawab kewangan yang berlebihan.
Kesimpulannya, kisah pesara jutawan yang akhirnya menjadi miskin harus dijadikan pengajaran kepada semua. Kekayaan tanpa ilmu pengurusan kewangan ibarat air yang mengalir tanpa arahโakhirnya akan habis begitu sahaja. Dalam dunia yang semakin mencabar dan berisiko tinggi terhadap penipuan, kebijaksanaan mengurus kewangan serta kepekaan terhadap ancaman scam adalah kunci utama untuk memastikan kehidupan selepas bersara kekal stabil, selesa dan bermaruah hingga ke akhir hayat.
Dr. Nurulhuda Ahmad Zaki merupakan Pensyarah Kanan di Program Astronomi Islam, Jabatan Fiqh-Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi melalui zafran@um.edu.my