4 October 2024

Abdull Zainol

Featured

Antara tuntutan kekeluargaan dan ketetapan fiqah

Oleh: Dr. Mahyudin Daud Kehidupan berkeluarga menurut ajaran Islam adalah...

Seimbangkan keduanya, mahasiswaku

Oleh: Dr. Samsul Farid Samsuddin Masyarakat kini sering dihadapkan dengan...

ASEAN, Taiwan dan Korea Selatan

Oleh Dr Nurliana Kamaruddin Tidak dapat dinafikan bahawa dalam dekad...

Influencer, I am

By Halima Saadiah Education has long been the foundation for...

Hanya al-Quran penyelamatmu

Oleh: Dr. Selamat Amir Isu penyelewengan dan kesesatan dalam ajaran...

Share

Setelah memperkenalkan diri dan menyatakan tujuan kami menemuinya, Abdull Zainol, 57, yang pada mulanya kelihatan agak resah dengan kehadiran kami, menjadi semakin tenang.

Banyak yang kami bualkan petang itu; dari cita-cita semasa kecil, makanan kegemaran, sehinggalah kepada perkara-perkara yang lebih serius seperti motivasi dalam bekerja, dan pentingnya sifat ikhlas dalam melaksanakan tugas.

Tiba-tiba, beliau mengajukan pertanyaan: “Tahu tak, ayam telur boleh bertelur tanpa ayam jantan?”

Kami yang kaget dengan topik pertanyaannya pantas menggelengkan kepala.

“Bermula umurnya sekitar enam bulan, ayam telur sudah boleh menghasilkan telur. Dia akan bertelur dalam anggaran sebiji sehari. Dan telur-telur ini tidak akan menghasilkan anak ayam, kerana persenyawaan tidak berlaku.

“Anak ayam akan menetas dari telur yang dieram oleh ibunya selama 21 hari, hanya jika di ladang atau reban itu mempunyai ayam jantan. Jika tiada, maka telurnya tidak akan menjadi anak ayam,” kata ayah kepada tiga orang anak ini kepada kami yang melopong dari tadi mendengarkan penjelasannya.

“Mana abang tahu pasal ayam ni? Abang ada bela ayam kat rumah ke?” tanya jurugambar kami.

“Eh, taklah. Saya tahu lepas tengok dokumentari di Netflix. Saya memang suka memerhatikan alam; sebab ia bukan sahaja menjadikan kita lebih berilmu, tapi juga menjadikan kita lebih bersyukur,” tambah anak jati Sik, Kedah ini lagi.

Sebelum kami sempat bertanya mengenai resipi telur kegemarannya, dia menyambung: “Sebenarnya ada sebab kenapa saya tanya pasal ayam tadi. Saya nak cakap yang antara kepentingan adanya seorang pemimpin yang baik ialah apabila dia memainkan peranan yang sepatutnya di dalam masyarakat.

Bukan hanya setakat pandai bercakap, berjanji yang macam-macam; tapi pemimpin yang hebat sepatutnya mampu memainkan peranan dalam komuniti dan bawa perubahan yang baik untuk generasi akan datang,” katanya yang memulakan tugas di UM pada 1993, penuh semangat.

Melihatnya berkongsi pandangan dengan begitu bersemangat, maka tidak hairanlah jika ‘orang lama’ UM ini sangat dikenali dengan sifat ringan tulangnya. Selain tugas hakiki, beliau juga banyak terlibat dengan pelbagai aktiviti dan program, di dalam dan luar kampus. Antaranya menjadi sukarelawan menyantuni gelandangan di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur dan orang asli di Kampung Sungai Koyan, Pahang; sukarelawan tragedi banjir di Hulu Langat dan Klang tahun 2021; ahli jawatankuasa program kesedaran kanser mulut; dan juga Taskforce COVID-19 semasa pandemik melanda negara.

Dan pada Februari tahun ini, Pembantu Tadbir N22 Fakulti Pergigian ini dinobatkan sebagai penerima Anugerah Cemerlang Universiti Malaya (ACUM) 2022 bagi Anugerah Khas Khidmat Bakti untuk staf bukan akademik.

“Untuk semua staf UM, pesanan saya cuma satu: jadilah seorang pemimpin yang baik di mana saja kita berada. Hormat-menghormati satu sama lain, sentiasa berusaha sungguh-sungguh dalam tugasan yang diamanahkan tanpa berkira dengan habuan yang diberi, insya-Allah kita semua akan berjaya mengangkat UM ke peringkat yang lebih baik,” katanya mengakhiri perbualan.

……
📸 Gambar profil oleh Mohd. Fazli Zainordin @fazlizainor untuk ACUM 2022. Gambar selebihnya adalah dari koleksi peribadi Abdull Zainol.