21 September 2024

Ada apa dengan hukuman mati, pengampunan dan diyat?

Featured

Reducing the impact of landslides

By Dr Mohd Talha Anees Almost half of Peninsular Malaysia...

Mengukur kemiskinan asnaf dengan tanda aras multidimensi

Oleh: Dr. Muhammad Nooraiman Zailani Isu kemiskinan amat sukar untuk...

Let’s go for smarter healthcare to stop heart attacks

By Assoc. Prof. Dr. Khor Sook Mei Heart attacks remain...

The treasure in non-coding RNAs

By Assoc. Prof. Dr. Lim Yat Yuen For decades, scientists...

He is the epitome of a leader

By Mohammad Tariqur Rahman The leadership qualities of Prophet Muhammad...

Share

Oleh: Prof. Madya Dr. Siti Zubaidah Ismail

Langkah kerajaan memansuhkan status mandatori bagi hukuman mati kesalahan-kesalahan tertentu menerima pelbagai reaksi. Pihak yang menyokong mengatakan bahawa ia tidak lagi mengikat hakim, sebaliknya memberi kebebasan untuk membuat pertimbangan menyeluruh berdasarkan kes yang dihakimi. Hakim wajar mempertimbangkan hukuman lain selain hukuman mati seperti penjara seumur hidup. Keluarga mangsa pula, ada yang tidak puas hati dengan keputusan kerajaan kerana merasakan keadilan tidak ditegakkan selagimana pembunuh tidak dikenakan hukuman mati, iaitu hukuman yang setimpal kerana nyawa patut dibalas dengan nyawa. Ada juga keluarga mangsa memaafkan pembunuh dan tidak mahu penderitaan mereka dialami oleh keluarga pembunuh, namun pesalah tetap perlu dikenakan hukuman.

Penyokong pemansuhan hukuman mati pula mengatakan hukuman itu gagal mengekang masyarakat dari melakukan jenayah, tidak memuaskan hati mangsa dan tidak membawa kebaikan kepada masyarakat. Ada yang mendakwa kesalahan membunuh tetap berlaku biarpun hukuman mati dilaksanakan. Malah ada yang berpendapat hukuman mati adalah satu bentuk penyiksaan. Menurut laporan, terdapat sejumlah 1342 orang banduan akhir yang sedang menunggu hukuman mati. 905 daripadanya adalah kes dadah, 403 adalah bagi kesalahan membunuh. Selebihnya adalah kes-kes lain. Walaupun dijatuhi hukuman mati, banduan tidak segera dijatuhi hukuman, sebaliknya perlu menunggu bertahun-bertahun termasuk menunggu rayuan dan pengampunan daripada Lembaga Pengampunan. Penantian ini memberi kesan kepada kesihatan mental, fizikal dan psikologi menyebabkan timbul perdebatan tentang ketidakadilan dan isu hak asasi banduan. Soal pasca-hukuman mati ini juga wajar dilihat dengan lebih serius dalam membincangkan keperluan hukuman alternatif.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) juga mengumumkan bahawa hukuman ganti termasuk diyat iaitu gantirugi kewangan menurut Islam juga akan dikaji dengan lebih lanjut jika ia sesuai dilaksanakan. Perlu difahami bahawa diyat hanya terpakai bagi kes melibatkan kematian sahaja. Diyat merupakan hukuman ganti bagi kes sengaja membunuh. Ia adalah hukuman asal bagi kes membunuh secara tidak sengaja dan separa-sengaja.

Hukuman mati harus dilihat dalam konteks mencari keadilan sejagat, bukan sekadar keadilan untuk mereka yang terlibat sahaja – Gambar hiasan dari Unsplash

Sebagai hukuman ganti, diyat berperanan apabila qisas tidak dapat dilaksanakan kerana tidak memenuhi syarat. Nilai diyat amat tinggi dan ia bukan harga nyawa. Ia adalah gantirugi yang dikenakan atas kesudian waris mangsa memaafkan atau berdamai dengan pembunuh. Diyat bukanlah wang mudah yang boleh membeli kebebasan pembunuh yang berharta. Kalau berharta sekalipun, tetapi kemaafan tidak diberikan, maka hukuman asal mesti dikenakan menurut undang-undang iaitu sama ada hukuman mati atau penjara. Semua itu bergantung kepada bagaimana kematian berlaku. Disini faktor kemaafan memainkan peranan. Waris berhak memaafkan pesalah dan menuntut diganti diyat. Justeru, peranan keluarga mangsa perlu dimasukkan dalam sistem perbicaraan di mahkamah.

Justeru, bagaimana kaedah diyat boleh diintegrasikan ke dalam undang-undang? Terlebih dahulu, sistem pengampunan perlu diwujudkan bagi membolehkan waris mangsa dilibatkan dalam pembuatan keputusan terhadap pembunuh. Kaedah mengenai pengampunan, jumlah diyat, mekanisme pembayaran, komposisi waris dan sebagainya perlu digubal.

Tiga pilihan hukuman diberikan setelah pesalah disabitkan iaitu:

  1. keluarga mangsa boleh memaafkan dan menuntut diyat dibayar oleh pesalah yang telah disabitkan, jika dia mampu membayarnya secara ansuran atau secara penuh.
  2. keluarga mangsa boleh memaafkan dan menyerahkan kepada hakim untuk menjatuhkan hukuman menurut undang-undang yang ada selain hukuman mati.
  3. Keluarga mangsa boleh jika mahu hukuman mati dikenakan menurut undang-undang. Mengenai nilai diyat pula, rujukan dibuat kepada surat Nabi Muhammad s.a.w kepada Gabenor Yaman, Muaz ibn Jabal. Baginda mengutuskan senarai dan kadar diyat bagi kehilangan nyawa dan kecederaana diri. Kadar diyat penuh bagi pembunuhan adalah sama ada 100 ekor unta, 1000 dinar emas atau 10,000 dirham perak. Jika mengambil kira nilai bagi 1000 dinar emas hari ini, standard yang dipakai ialah nilai emas 22 karat (emas 916). Berat satu dinar adalah 4.25 gram. Jika satu gram emas hari ini bernilai RM300.00, maka satu dinar emas seberat 4.25 gram adalah menyamai RM1275.00. Justeru kadar 1000 dinar boleh mencecah RM1,275,000. Walau bagaimanapun, cendikiawan pelbagai bidang di Malaysia boleh membuat ijtihad mengenai jumlah diyat ini dengan mengambil kira faktor ekonomi, kewangan dan sebagainya. Rujukan juga boleh dibuat kepada Compendium for Personal Injuries Awards 2014. Sebagai contoh, kadar diyat di Arab Saudi adalah 500,000 riyal, manakala di Oman adalah 150,000 riyal.

Walaupun diyat diperuntukkan sebagai ganti, tidak semua pesalah akan mampu membayarnya untuk mendapatkan pembebasan kerana nilainya yang amat tinggi. Jika waris mangsa mahu pembunuh dihukum dengan hukuman yang setimpal selain hukuman mati, maka boleh jadi kebanyakan pembunuh akan merengkok dalam penjara sepanjang hayat.

Prof Madya Dr Siti Zubaidah Ismail merupakan Profesor Madya di Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di szubaida@um.edu.my

Previous article
Next article