Oleh: Dr. Mohd. Zaidi Md. Zabri
Umum mengetahui bahawa salah satu sektor yang paling terkesan dek pandemik COVID-19 ialah sektor ekonomi.
Meskipun begitu, di sebalik kejayaan negara kita yang berjaya beralih ke fasa endemik, salah satu akibat tidak disengajakan (unintended effect) yang sedang dirasakan oleh rakyat terbanyak ialah kenaikan harga barang atau lebih dikenali sebagai inflasi.
Untuk rekod, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar inflasi negara pada April 2022 telah meningkat 2.3 peratus berbanding April 2021.
Kenaikan yang telah didorong sebahagian besarnya oleh kenaikan dalam kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol (4.1%) ini juga telah melepasi purata inflasi negara bagi tempoh 2011 hingga April 2022 (1.9%).

Selain itu, pada Mac lalu, dunia juga terpaksa berhadapan krisis makanan yang meruncing sejak berdekad lamanya berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Untuk konteks, Rusia merupakan pengeluar utama baja yang diperlukan untuk menanam bijirin. Rentetan pencerobohan ini juga, Ukraine tidak lagi dapat mengeksport jagung dan bijirin yang merupakan komponen utama makanan ayam.
Alhasil, rakyat Malaysia telah menyaksikan harga ayam melonjak setinggi RM15 sekilogram belakangan ini meskipun pihak kerajaan melalui KPDNHEP telah menetapkan harga siling jualan sebanyak RM8.90.
Kenaikan berterusan dalam inflasi harga makanan ini juga telah menjejaskan kuasa beli dan pendapatan M40 dan B40 yang masih bergelut dengan kesan pandemik COVID-19.
Justeru, sebagai langkah jangka masa pendek, mulai 1 Jun, negara kita telah mengurangkan eksport ayam yang mencecah 3.6 juta ayam setiap bulan demi menstabilkan pengeluaran dan harga domestik.
Sungguhpun begitu, sekiranya permasalahan kekurangan bekalan ayam ini disingkap secara holistik, kita bakal menyaksikan permasalahan yang lebih membarah iaitu masalah struktur industri pertanian Malaysia yang bergantung tinggi kepada makanan import.
Untuk makluman, tahap keselamatan makanan sesebuah negara diukur menggunakan nisbah mampu diri atau “self-sufficiency ratio” (SSR).
Menurut Organisasi Makanan dan Pertanian bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), SSR menerangkan sejauh mana bekalan atau pengeluaran komoditi pertanian dapat memenuhi permintaan domestik. SSR sebanyak 100 peratus atau lebih menunjukkan bekalan atau pengeluaran komoditi pertanian mencukupi untuk memenuhi permintaan negara dan begitu juga sebaliknya.
Meskipun negara bertuah ini begitu kaya dengan sumber asli, termasuk tanah yang subur untuk pertanian, menurut DOSM, hanya 19 barang makanan yang berjaya merekodkan SSR melebihi 100% pada 2020 berbanding 25 pada 2019.
Antara bahan makanan yang mencatatkan SSR kurang daripada 100% ialah daging kambing (9.6%), halia (18.9%), mangga (20.2%), daging lembu (22.2%), cili (30.9%), kubis bulat (37.5%), susu segar (65.0%), beras (63.0%), kelapa (66.6%), keledek (75.6%) dan sardin (80.7%).

Malah, sekiranya kita mengambil kira jumlah besar import makanan kita, pada 2020 sahaja, Malaysia telah mengimport produk makanan sebanyak RM55.5 bilion, berbanding eksport bernilai RM33.8 bilion (defisit sebanyak RM21.7 bilion).
Sebagai perbandingan, jumlah defisit ini hampir menyamai peruntukan perbelanjaan mengurus bagi keseluruhan Kementerian Kesihatan Malaysia pada 2022 iaitu sebanyak RM28 bilion.
Bahkan, yang lebih membimbangkan, sejak sedekad lalu, jumlah terkumpul import makanan negara ialah sebanyak RM482.8 bilion berbanding eksport (RM296 bilion).
Permasalahan ini juga semakin meruncing dengan kejatuhan nilai Ringgit Malaysia. Untuk konteks, pada 1 Januari 2022, AS$1 bersamaan RM4.18. Dan belakangan ini, Ringgit telah melemah kepada hampir RM4.40.
Sebagai contoh, seminggu sebelum Rusia menceroboh Ukraine, harga gandum dunia ialah sekitar AS$760.14 (RM3,200.19) per busyel. Dan kini, harga gandum sedang berlegar di sekitar AS$1,000 (RM4,391.50).
Disebabkan kejatuhan nilai Ringgit, para penternak ayam perlu menyerap kenaikan kos hampir setengah kali ganda untuk mengimport bahan mentah mereka. Natijahnya, semakin banyak import kita, lebih banyaklah Ringgit yang mengalir keluar daripada negara ini. Semakin ‘deras’ pengaliran keluar mata wang kita, kedudukan Ringgit akhirnya bakal melemah.
Di samping itu, Indeks Keselamatan Makanan Global 2021 oleh The Economist Group (penerbit surat khabar ekonomi terkemuka UK iaitu The Economist) meletakkan Malaysia di kedudukan ke-39, jauh di belakang Ireland (pertama), UK (ketiga), Finland (keempat), dan Belanda (keenam).
Kita juga jauh ditinggalkan oleh negara jiran seberang tambak iaitu Singapura (ke-15). Bukan itu sahaja, kita juga tewas dengan negara-negara beriklim kersang seperti Qatar (ke-24) dan Kuwait (ke-30).
Sebagai penyelesaian jangka masa sederhana dan panjang, kita harus mengusahakan seluas mungkin daripada ‘bank’ tanah terbiar di negara ini.
Menurut Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), keluasan tanah terbiar di negara ini ialah 103,563 hektar atau 1,035.63 km persegi iaitu sebesar negeri Pulau Pinang yang berkeluasan 1,031 km persegi.
Justeru, kita memerlukan penggemblengan tenaga dan kerjasama strategik di antara kerajaan persekutuan dan negeri demi memanfaatkan khazanah alam sebesar Pulau Pinang ini.
Selain itu, kita boleh memanfaatkan bangunan terbiar bagi menanam pelbagai jenis tanaman makanan terutamanya sayur-sayuran.

Sudah tiba masanya kita mengoptimumkan penggunaan teknologi pertanian seperti pertanian pintar (smart farming), pertanian jitu (precision farming) dan pertanian menegak (vertical farming) yang dipacu oleh Internet of things (IoT), data raya (big data) dan kecerdasan buatan (artificial intelligence).
Selain itu, kita juga perlu mengatasi antara permasalahan terbesar dalam industri pertanian negara iaitu kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan kadar penglibatan golongan belia yang rendah (hanya 15% daripada 1.4 juta belia di negara ini).
Oleh demikian, kita memerlukan sebuah pelan (dan yang terpenting, pelaksanaan) komprehensif bagi melaksanakan kerjasama sinergistik di antara Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, dan Kementerian Belia dan Sukan dalam merangka program latihan dan membangunkan insentif kewangan bersasar demi membantu dalam menarik (dan mengekalkan) minat usahawan tani muda untuk melibatkan diri dalam sektor pertanian.
Melalui daya usaha di atas, kita bakal merancakkan pengeluaran makanan tempatan, menjamin keselamatan makanan, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan sekali gus memperlahan kesan pemanasan global.

Dr. Mohd. Zaidi Md. Zabri ialah pensyarah kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di zaidizabri@um.edu.my