Oleh: Prof. Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri
Kementerian Pendidikan memaklumkan yang keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan esok. Agak signifikan kerana calon SPM kali ini adalah dari kohort yang menempuhi kurikulum baharu bermula pada tahun 2017, dan di’tambah’ pula dengan cabaran sesi persekolahan dan menduduki peperiksaan semasa beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sempena pandemik COVID-19.
Analisis pencapaian anak-anak ini tentunya menjadi kayu ukur kepada pihak kementerian, dan lain-lain pihak yang berkepentingan, untuk menilai sejauh mana keberhasilan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah, terutamanya impak yang diberikan oleh penambahbaikan kurikulum tersebut.
Selalunya, isu klise membabitkan calon SPM adalah mengenai pilihan jurusan bagi menyambung pengajian yang lebih tinggi. Topik sebegini adalah lebih rapat dengan khalayak kerana melibatkan kemampuan pendidikan tinggi dalam mengubah tahap dan status sosioekonomi seseorang. Jika seseorang calon dilihat cenderung kepada aliran sains, maka laluan ke peringkat yang lebih tinggi selalunya digalakkan untuk diteruskan dalam aliran yang sama. Begitu juga dengan kecenderungan dan aliran lain di sekolah, hatta bidang vokasional sekali pun.
Namun demikian, ada satu lagi aspek signifikasi keputusan SPM ini yang jarang disentuh. Penulis lebih meminati untuk melihat keputusan SPM sebagai analogi kepada garis masa kehidupan yang lebih luas. Sebagaimana yang dimaklumi oleh ramai orang dewasa, kehidupan kita ini boleh diibarat sebagai sebuah perjalanan. Dan ‘acara’ seperti keputusan UPSR (sudah tiada!), PT3 (juga sudah tiada!), SPM, graduasi (baik di peringkat sarjana muda atau yang lebih tinggi), bekerja, kenaikan pangkat, hidup berkeluarga, dan sebagainya hanyalah sebuah ‘persinggahan’.
Benar, kita boleh bergembira atas asbab menamatkan persekolahan (untuk calon SPM); namun perjalanan sebenar perlu diteruskan. Benar, keputusan SPM kita seolah-olah menjadi penentu mutlak langkah seterusnya di dalam proses pembelajaran secara formal; namun kualiti kehidupan kita bukan ditentukan oleh sekeping sijil akademik yang diterima kelak.
Apa yang lebih penting adalah sejauh mana kita membina dan memperoleh sebentuk kemahiran yang ketinggian nilainya turut diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui UNESCO, sebagai antara elemen penentu dalam pembangunan sesebuah masyarakat. Kemahiran yang dimaksudkan di sini ialah kemahiran pembelajaran sepanjang hayat.
Bentuk pendidikan formal, sama ada di sekolah, kolej, universiti, dan lain-lain bentuk institusi pengajian, adalah terhad kepada objektif penubuhan dan misi pelaksanaan kurikulum yang digunapakai. Seseorang yang mempunyai kemahiran pembelajaran sepanjang hayat bukan hanya akan membantu membina masyarakatnya melalui pengetahuan dan kemahiran khusus yang diterimanya semasa merentasi pendidikan formal, malah mampu menyumbang lebih lagi. Dengan adanya kemahiran ini, sifat-sifat positif seperti kepimpinan, integriti, proaktif, penyelesai masalah, dan kemampuan bekerja dalam pasukan, akan terserlah. Keserlahan ini bukan sahaja memberi kesan jangka pendek kepada individu yang terlibat, malah mampu mencambah sifat yang serupa kepada ahli masyarakat lain di dalam komuniti yang sama.
Jika dilihat senario kenaikan harga barangan makanan baru-baru ini, yang dikatakan disebabkan oleh pelbagai faktor luar kawal, ramai pemegang taruh cuba mengambil bahagian dengan mencadangkan solusi masing-masing. Namun ada antara solusi yang dicadangkan telah disambut dengan nada sinis dan negatif, termasuklah cadangan untuk menanam sendiri makanan di halaman rumah, demi mengurangkan kos makanan harian.
Pada hemat penulis, jika kemahiran pembelajaran hayat ini tersemat di sanubari setiap ahli komuniti, cadangan-cadangan sebegini tidak mungkin akan terus dibakul-sampahkan semudah itu. Benar, bukan semua orang mampu menanam sayur di halaman rumah disebabkan pelbagai kekangan; dari ketiadaan kemahiran sehinggalah kepada ketiadaan halaman! Itu tidak lagi termasuk isu logistik dan kawalan kualiti. Benar, bukan semua cadangan perlu diterima bulat-bulat, terutamanya jika datangnya dari pihak yang dilihat mempunyai kepentingan.
Namun suka juga penulis kongsikan yang proses menanam sayur dan makanan di sekeliling rumah ini sebenarnya boleh dilakukan sesiapa sahaja, dan bukanlah sebuah idea yang bukan-bukan. Namun, ia memerlukan beberapa syarat khusus: keperluan kepada ilmu yang betul, dan semangat yang betul.
Dr. Rosazlin Abdullah, dari Institut Sains Biologi, Universiti Malaya (UM), yang juga merupakan Presiden, Persatuan Sains Tanah Malaysia, sangat aktif dalam mempromosi teknik dan konsep kebun bandar di komuniti di seluruh negara. Beliau dan pasukannya malah pernah mengadakan demonstrasi penghasilan baja organik dari sisa makanan dan pertanian kepada pelatih AADK, bagi membantu mereka memulakan hidup baru dengan kemahiran bercucuk tanam secara moden. Dengan ilmu yang betul, idea menanam sendiri sayur ini tidak lagi sesuatu yang mustahil.
Prof. Sumiani Yusoff, Pengarah, Institut Sains Bumi dan Samudera UM juga aktif dalam pasukan yang sama, menggalakkan penanaman kebun bandar, dan menggunakan sisa makanan sebagai baja organik. Secara tidak langsung, penanaman sayur ini bukan lagi bersifat survival secara individualistik, namun turut mencakupi konsep kelestarian alam. Penggunaan sisa makanan (di Malaysia, 45% sampah kita adalah sisa makanan!) turut mengetengahkan konsep ekonomi kitaran (circular economy) kepada komuniti. Dengan sokongan Ahli Parlimen Lembah Pantai, banyak program kebun bandar telah dilaksanakan di kejiranan sekitar UM, terutamanya di PPR sekitar Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Dengan semangat yang betul, menanam sendiri makanan bagi mengurangkan kos barang dapur tidaklah lagi semustahil mana.
Kedua-dua elemen ini merupakan antara intipati kepada kemahiran pembelajaran sepanjang hayat; iaitu sifat ingin meneroka ilmu baharu, dan semangat untuk menjadi penyelesai kepada masalah yang dihadapi. Dan kemahiran ini boleh diperoleh oleh setiap daripada kita, jika hanya kemahuan untuk meneruskan pengajian itu terus mekar di dalam diri, biar pun proses pembelajaran secara formal itu dilihat seolah-olah sudah ‘selesai’.
Oleh itu, walau apa pun keputusan yang diterima kelak, sama-samalah kita mendoakan agar langkah setiap daripada calon SPM 2021 tidak terhenti di sini sahaja. Teruskan melangkah menimba ilmu walau di mana sahaja, demi mencapai kemahiran pembelajaran sepanjang hayat yang telah dikenal pasti mampu menjamin kelangsungan masyarakat yang berilmu, berdaya saing dan berdikari.

Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, dan Pengarah, Pejabat Komunikasi Korporat, Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di nahrizuladib@um.edu.my