UM bantu tangani isu tanah lembut sawah padi Tanjong Karang
Oleh Rosazlin Abdullah
Tanah yang stabil merupakan asas utama kepada kelangsungan sektor pertanian padi dan keselamatan makanan negara. Dalam konteks sawah padi moden, keupayaan tanah untuk menampung beban jentera pertanian amat penting bagi memastikan operasi ladang dapat dijalankan dengan lancar dan ekonomik. Secara teknikal, sawah padi yang sesuai untuk penggunaan jentera perlu mempunyai keupayaan galas tanah melebihi 3.0 kg/cmยฒ, iaitu tahap kekuatan tanah yang mampu menyokong pergerakan jentera tanpa mengalami kegagalan ricih atau mendapan berlebihan.
Namun begitu, tanah lembut atau soft soil dalam bidang kejuruteraan pertanian lazimnya merujuk kepada tanah sawah yang tidak mempunyai lapisan keras untuk menampung berat jentera serta mempunyai bacaan indeks kon penembusan yang rendah, iaitu kurang daripada 0.3 MPa. Keadaan ini berkait rapat dengan dua faktor utama, iaitu kandungan air tanah yang tinggi dan ketumpatan pukal tanah yang rendah, yang menyebabkan tanah mudah tenggelam dan tidak stabil.




Sehubungan itu, Universiti Malaya (UM) melalui penganjuran UM Soil Doctor Programme 2.0 (SOILID โ Soil Improvement for Lasting Integrated Development) telah mengambil inisiatif membantu komuniti pesawah memahami isu tanah lembut secara lebih menyeluruh. Program berteraskan pendekatan Service Learning Malaysia โ University for Society (SULAM) ini berlangsung pada 2 dan 3 Januari lalu di Kampung Sawah Sempadan, Tanjong Karang, Kuala Selangor, dengan penglibatan pelajar Tahun Kedua Program Sains Pengurusan Alam Sekitar (SPAS), Fakulti Sains, Universiti Malaya.
Tanjong Karang yang merupakan antara jelapang padi utama negara tidak terkecuali daripada cabaran tanah lembut. Antara faktor utama yang sering dikaitkan dengan pembentukan tanah lembut termasuk perubahan cuaca yang sukar diramal, tempoh pengeringan tanah yang singkat, pengubahsuaian jentera yang tidak sesuai dengan keadaan tanah, serta amalan pengurusan penanaman yang tidak mematuhi jadual penanaman yang disarankan. Faktor-faktor ini memberi kesan langsung terhadap kestabilan tanah, produktiviti padi dan kecekapan penggunaan jentera.




Keunikan program ini terletak pada pendekatan pembelajaran dua hala yang menggabungkan ceramah kepakaran, sesi soal jawab, lawatan tapak sawah serta pameran pendidikan berkaitan pengurusan tanah yang mampan. Para peserta diberi pendedahan mengenai konsep tanah lembut, kesan negatifnya terhadap pertanian padi, serta cadangan kaedah mitigasi yang lebih lestari dan praktikal berdasarkan keadaan tempatan.
Selain itu, keunikan utama program ini juga terletak pada pendekatan perkongsian ilmu dua hala yang menggabungkan penerangan saintifik, pembangunan inovasi oleh pelajar Universiti Malaya serta aktiviti hands-on secara langsung bersama komuniti. Antara aktiviti lapangan yang dijalankan ialah penentuan tahap tanah lembut menggunakan peralatan saintifik, iaitu Penetrologger, bagi mengukur kekuatan tanah (soil strength) sehingga kedalaman 80 sentimeter.
Para pelajar turut memperkenalkan tiga konsep inovasi selari dengan tema program, iaitu โCabaran dan Penyelesaian Tanah Lembutโ. Konsep inovasi pertama menumpukan kepada pemahaman fundamental dan mekanisme tanah melalui penggunaan Modul UM Soil Doctor Programme yang dibangunkan oleh pelajar Universiti Malaya. Konsep inovasi kedua melibatkan cadangan inovasi dalam aspek pengurusan pengairan dan mekanisasi bagi pengurusan tanah lembut, manakala konsep inovasi ketiga memberi fokus kepada pengurusan tanah lembut menggunakan inovasi sisa pertanian seperti biochar bagi meningkatkan tekstur dan kestabilan tanah.
Program SOILID membuka ruang kepada pelajar dan komuniti untuk membincangkan isu ini secara langsung melalui sesi ceramah kepakaran, perbincangan terbuka, lawatan tapak sawah dan pameran pendidikan. Hasil bengkel dan perbincangan bersama komuniti mendapati bahawa kawasan Tanjong Karang tidak menghadapi masalah serius dari segi sistem saliran, memandangkan kawasan ini mempunyai sistem pengairan yang baik serta saiz petak sawah yang terancang. Walau bagaimanapun, aspek pengurusan penanaman yang lebih teratur serta penyesuaian terhadap perubahan cuaca dikenal pasti sebagai perkara yang perlu diberi penekanan bagi mengurangkan risiko tanah menjadi terlalu lembut.
Menurut Pegawai Penyelidik Kanan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Encik Mohamed Fauzi bin Md Isa, program ini memberi pendedahan yang baik kepada pesawah dan pelajar mengenai faktor tanah yang mempengaruhi produktiviti pertanian. Perkongsian dapatan penyelidikan serta pengalaman lapangan membantu komuniti memahami punca sebenar masalah tanah lembut dan langkah penambahbaikan yang boleh dipertimbangkan.
Sementara itu, Encik Ahmad Luthfi bin Ismail, Timbalan Pengarah IADA Barat Laut Selangor, menyatakan bahawa pendekatan berasaskan pemindahan ilmu seperti ini amat relevan dalam menyokong pembangunan pertanian padi yang mampan. Menurut beliau, peningkatan pengetahuan pesawah mengenai pengurusan tanah mampu menyumbang kepada peningkatan hasil dan kualiti padi dalam jangka panjang.
Encik Zulkarnain bin Haidzir, penduduk dan pesawah Kampung Blok AGH, menyifatkan program ini sebagai pengalaman yang amat berharga. Beliau dapat memahami isu tanah lembut secara saintifik serta menilai inovasi yang dibawa pelajar Universiti Malaya. Beliau menyifatkan pendekatan tiga hala yang melibatkan komuniti, pelajar, dan agensi kerajaan memberikan penjelasan yang lebih jelas dan menyeluruh tentang cabaran serta penyelesaian tanah lembut.
Ketua Kampung Blok AGH, Encik Zam Zaidi bin Masri, pula menyifatkan program ini sebagai platform yang bermanfaat dalam meningkatkan kesedaran komuniti terhadap produktiviti tanah setempat serta mengeratkan hubungan antara universiti dan masyarakat.
Penasihat Program SOILID, Prof. Madya Dr. Rosazlin Abdullah, menjelaskan bahawa penglibatan pelajar dalam program SULAM memberi pengalaman pembelajaran yang bermakna. Pelajar bukan sahaja mempelajari teori di bilik kuliah, malah berpeluang melihat sendiri bagaimana ilmu sains tanah diaplikasikan untuk menangani isu nasional, khususnya isu tanah lembut yang menjejaskan produktiviti padi dan kesuburan tanah.
Pengarah Program merangkap wakil pelajar, Liang Xinyu, berkata program SOILID membuka ruang kepada pelajar untuk berkongsi kefahaman serta cadangan awal berdasarkan pembelajaran akademik. Beliau menekankan bahawa melalui pelaksanaan program SULAM, para pelajar dapat memahami kepentingan tanah sebagai asas kepada kehidupan dan keselamatan makanan negara.
Secara keseluruhannya, penganjuran UM Soil Doctor Programme 2.0 โ SOILID mencerminkan komitmen Universiti Malaya dalam menghubungkan ilmu akademik dengan keperluan sebenar komuniti. Program ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran pesawah terhadap isu tanah lembut, malah memperkukuh kerjasama antara universiti, agensi penyelidikan dan komuniti setempat ke arah menjamin keselamatan makanan negara dan kelestarian sektor pertanian.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Prof. Madya Dr. Rosazlin Abdullah, Pensyarah di Program Sains Pengurusan Alam Sekitar, Fakulti Sains, Universiti Malaya di rosazlin@um.edu.my