4 October 2024

Asmawati Muhamad

Featured

Antara tuntutan kekeluargaan dan ketetapan fiqah

Oleh: Dr. Mahyudin Daud Kehidupan berkeluarga menurut ajaran Islam adalah...

Seimbangkan keduanya, mahasiswaku

Oleh: Dr. Samsul Farid Samsuddin Masyarakat kini sering dihadapkan dengan...

Influencer, I am

By Halima Saadiah Education has long been the foundation for...

ASEAN, Taiwan dan Korea Selatan

Oleh Dr Nurliana Kamaruddin Tidak dapat dinafikan bahawa dalam dekad...

Can we afford climate action?

By Athirah Azlan, Dr. Suzana Ariff Azizan Climate change is...

Share

“Apa yang selalunya kita terfikir bila bercakap mengenai masjid, terutamanya di bulan Ramadan begini?” tanya Dr. Asmawati Muhamad kepada kami, setelah hampir 10 minit kami berbual santai.

“Oh tentulah sebagai tempat ibadat, solat jemaah, solat tarawih, bayar zakat…,” saya mula menjawab.

“Dan makan free!” sampuk jurugambar kami, seraya disambut dengan deraian ketawa.

Sambil tersenyum, Dr. Asmawati berkata, “Semuanya betul, tiada yang salah. Cumanya saya nak terangkan sedikit mengenai penyelidikan saya yang juga berkait dengan fungsi masjid dan surau.”

“Pada zaman Rasulullah SAW, masjid bukan hanya dikhususkan sebagai tempat ibadat, malah lebih daripada itu. Masjidlah tempat belajar, masjidlah tempat Sahabat mengadu masalah kepada Rasulullah, dan masjid jugalah tempat perbincangan atau perbahasan masyarakat setempat mengenai isu semasa. Pendek kata, fungsi masjid adalah sebagai pusat dan nadi masyarakat ketika itu.

“Jadi, menjadi tanggungjawab kita sebenarnya untuk meneruskan legasi fungsi masjid sebagai nadi masyarakat ini; terutamanya dalam memberi kesedaran dan menjadi penyelesaian kepada isu semasa.

“Contohnya, isu perubahan iklim dan kelestarian alam sekitar yang meruncing sejak beberapa dekad ini. Mungkin ramai di kalangan kita mengetahui isu ini apabila membacanya di media massa, atau cakna mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Namun tahukah kita bahawa Rasulullah SAW sendiri sudah pun bercakap mengenai perkara ini sewaktu zaman Baginda? Misalnya, berkait dengan SDG ke-6, Air Bersih dan Sanitasi, ada sepotong hadis yang menceritakan bagaimana Baginda menegur seorang sahabat supaya tidak membazirkan air ketika berwuduk [1].

“Dalam menjaga maslahah keperluan asas sesama ahli komuniti juga, Rasulullah SAW sangat menggalakkan umat Islam bersedekah. Salah satu bentuk sedekah atau sumbangan yang Rasulullah SAW sebutkan melalui sepotong hadis, adalah tentang kelebihan seseorang yang menyedekahkan pakaiannya kepada orang lain [2].

“Maksudnya, Rasulullah SAW sudah pun mengajak kita untuk menguruskan alam sekitar dan sumber semulajadi dengan baik sejak lebih 1,400 tahun dahulu!” terang anak jati Pasir Mas, Kelantan ini panjang lebar.

Sambil tersenyum, beliau mengakui yang inilah antara motivasinya dalam penyelidikannya sekarang. “Selain menjadikan masjid dan surau sebagai pusat mendidik masyarakat untuk melestari alam sekitar, saya mengambil peluang ini untuk mengajak masyarakat untuk beramal dengan hadis Rasulullah SAW yang sememangnya penuh dengan hikmah dan pengajaran yang boleh kita manfaatkan sehingga hari ini.

“Dan alhamdulillah, garis panduan masjid dan surau ‘hijau’ yang saya dan pasukan penyelidik Universiti Malaya bangunkan bakal diangkat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk digunapakai di semua masjid dan surau Wilayah Persekutuan,” jelasnya lagi.

Keikhlasan beliau dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pensyarah yang melakukan penyelidikan berkaitan masyarakat memang terserlah; membuktikan kewujudan nilai teras universiti di dalam dirinya. Biar pun seseorang yang berlatar belakang Pengajian Islam sepertinya selalunya hanya dikaitkan dengan pengajian agama secara tekstual, namun penyelidikannya cuba membawa masyarakat sama-sama melestari alam sekitar melalui pengetahuan dan pemahaman yang Islamik.

Sebelum kami berpisah, sempat Dr. Asmawati mempromosi programnya yang bakal berlangsung semasa Ramadan, iaitu ‘Ramadan Syawal Go Green’, yang akan dilancarkan oleh pihak JAWI di Masjid Zaid Bin Haritsah, Kuala Lumpur pada hari Sabtu, 1 April 2023. Program ini turut mendapat kerjasama daripada pihak UM SDC, PDPUM, dan SWCorp. Gerak kerja kempen kelestarian ini turut dijayakan oleh mahasiswa Akademi Pengajian Islam UM daripada Kelab Imarah Eco-Friends.

“Di antara fokus program kali ini adalah mendidik masyarakat tentang pengurusan sisa yang sistematik dan amalan 3R. Kami mensasarkan pengumpulan sumbangan pakaian terpakai yang elok dengan tema ‘ Hari Raya’ dan kami akan menyalurkannya kepada beberapa masjid terpilih di Wilayah Persekutuan. Semua yang berminat boleh menyerahkan pakaian masing-masing di Lestari Shop di APIUM, ya?” katanya mesra.

……
📸 Gambar oleh Mohd. Yani Alias untuk BPP (2023).

[1] Daripada Abu Abd al-Rahman al-Hubuliy RA, sesungguhnya Rasulullah SAW melalui satu kawasan dan melihat Sa’ad sedang berwuduk. Baginda SAW bersabda: “Pembaziran apakah ini?” Sa’ad bertanya: “Adakah terdapat pembaziran dalam berwuduk?” Baginda SAW bersabda: “Ya, walaupun kamu berada di sungai yang mengalir.”
(Hadis Riwayat Ibnu Majah: 424)

[2] Daripada Abu Umamah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memakai pakaian yang baharu hendaklah dia mengucapkan: ‘Segala puji bagi Allah yang telah memakaikan aku sesuatu yang aku dapat menutup auratku dengannya dan aku memperindahkan diri dengannya di dalam kehidupanku.’ Kemudian dia pergi kepada pakaian yang telah ditanggalkannya itu (pakaian lama) lalu dia menyedekahkannya, maka dia berada di bawah lindungan Allah, pemeliharaan-Nya, dan ditutup (keaibannya) semasa hidup dan selepas meninggal dunia.”
(Hadis Riwayat Ibnu Majah: 3557)