Bermula bulan Februari 2022, sekumpulan sukarelawan Universiti Malaya (UM) dari jurusan Pendidikan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) telah menjalankan program bahasa Inggeris secara kreatif bersama anak-anak yatim dan asnaf di Masjid Jumhuriah, Petaling Jaya.
Program mingguan yang diadakan pada setiap hari Sabtu ini dinamakan PEARL4PJ, dan merupakan kesinambungan siri program PEARL yang diasaskan oleh Prof. Madya Dr. Adelina Asmawi, Ketua Jabatan Pendidikan Bahasa dan Literasi, Fakulti Pendidikan UM sejak tahun 2018.
Program PEARL memfokuskan kepada aktiviti bahasa Inggeris yang santai dan menyeronokkan, direkabentuk khusus untuk murid-murid sekolah dari golongan miskin bandar. Modul pengajaran dan aktiviti yang melibatkan aktiviti berkumpulan, termasuklah lakonan teater dan persembahan pentas, adalah hasil penyelidikan teknik pengajaran oleh Dr. Adelina sendiri.

Program PEARL yang pertama telah diadakan di Masjid Mutiara Damansara, manakala program kedua di dewan terbuka SK Lembah Subang. Pandemik COVID-19 yang berlaku ketika pelaksanaan program PEARL kedua telah memaksa penukaran lokasi program ke dalam talian. “Perubahan lokasi ini juga telah memberi peluang kepada kami untuk menambahbaik kandungan modul dan kaedah pelaksanaan aktiviti. Pelbagai input dari sukarelawan dan peserta sendiri telah diambil kira, dan hasilnya kini digunakan untuk pelaksanaan PEARL4PJ, siri program PEARL yang ketiga,” kata Dr. Adelina.
Seramai 20 orang anak-anak yatim dan asnaf dari SK Taman Dato Harun 1, Petaling Jaya telah dipilih untuk menjadi peserta PEARL4PJ, yang juga menerima kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Dengan bantuan sukarelawan dalam kalangan mahasiswa jurusan TESL, aktiviti program kali ini berfokus kepada penggunaan aplikasi telefon pintar, ipad, dan modul pengajaran bahasa Inggeris PEARL. “Selain daripada permainan bahasa, penggunaan boneka (puppetry), lagu dan persembahan sketsa di pentas, kami juga mendedahkan peserta kepada aplikasi seperti Canva untuk penghasilan kandungan media sosial yang kreatif dan informatif, Pinterest untuk penerokaan penggunaan imej dan fotografi sebagai medium perkongsian minat, dan aplikasi penyuntingan video seperti InShot dan CapCut untuk penghasilan video pendek yang menarik,” kata Hafizah Nazirah, mahasiswa UM yang berperanan sebagai ketua sukarelawan PEARL4PJ.

Paling menarik, menurut Hafizah, ialah apabila mereka berjaya menggunakan aplikasi video pendek popular, TikTok sebagai platform untuk menggalakkan minat para peserta membaca bahan bacaan dalam bahasa Inggeris. “Menerusi penggunaan tanda pagar ‘BookTok’, para peserta telah didedahkan dengan kandungan-kandungan video pendek yang bermanfaat di TikTok. Selain daripada perkongsian reviu buku, #BookTok ini juga digunakan oleh pengguna TikTok untuk berkongsi perasaan yang dialami apabila membaca sesebuah buku di dalam genre pilihan mereka. Ini sebenarnya amat mempengaruhi penonton, terutamanya remaja, untuk turut sama membaca buku yang dikongsikan,”kata Naqib al Hussaini, seorang lagi sukarelawan projek ini.
Pembaharuan yang paling ketara dalam penggunaan aplikasi telefon pintar ini adalah peluang para peserta untuk meneroka pengalaman asing yang berada di luar kemampuan mereka. Menurut Dr. Adelina, dengan menggunakan aplikasi NatGeo360, para peserta telah ‘mengembara’ dari dasar laut sehinggalah ke benua Antartika, secara maya. “Proses memerhati dugong memakan rumput laut di dasar lautan, sehinggalah meninjau kehidupan keluarga penguin di Antartika, secara tidak langsung telah menerapkan keyakinan kepada peserta untuk menggunakan bahasa Inggeris di dalam aktiviti yang diaturkan,” katanya.
Keyakinan untuk membaca dan seterusnya menulis, mendengar dan kemudiannya bertutur, dalam bahasa Inggeris inilah yang menjadi tonggak siri program PEARL yang akan diteruskan dari semasa ke semasa. “Pihak kami sentiasa mengaku-alukan peluang untuk bekerjasama dengan mana-mana komuniti dan agensi untuk manfaat golongan miskin bandar dan asnaf yang sering kali terpinggir dalam mendapatkan peluang meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris,” kata Dr. Adelina mengakhiri temubual.



Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Prof. Madya Dr. Adelina Asmawi di adelina@um.edu.my