4 December 2024

Cerita rakyat Sabah cambah minat membaca

Featured

Beyond the blessing

By Dr Cherish How As the Year of the Dragon...

Elak terperangkap dengan cinta ekspres

Oleh: Dr. Norsafatul Aznin binti A. Razak Dalam era moden...

Memperkasa mereka

Kesihatan mental remaja adalah salah satu aspek yang penting...

Algorithms of abuse

By Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid Human trafficking is the...

Getting them on

By Ts Elman Mustafa El Bakri As 2024 draws to...

Share

Cerita rakyat berasaskan orang asal Sabah bantu murid pedalaman membaca dan menemui suri teladan

Cerita-cerita rakyat dalam sistem pendidikan Bahasa Melayu seperti Si Tanggang; Bawang Putih, Bawang Merah; Sang Kancil dan sebagainya banyak diajar kepada murid-murid sekolah rendah dalam membantu mereka untuk belajar mengenal huruf, membaca dan seterusnya membentuk sahsiah murid-murid untuk menjadi insan berjaya dengan jati diri Malaysia.

Namun begitu, kebanyakan daripada murid-murid yang tidak dibiasakan dengan identiti budaya masyarakat Melayu kemungkinan akan menghadapi kesukaran untuk mengaitkan cerita-cerita rakyat ini bagi dijadikan pedoman dan suri teladan kepada mereka. Hal ini banyak berlaku terutamanya dalam kalangan masyarakat Orang Asal di Malaysia. Selain itu, masalah celik huruf dalam kalangan Orang Asal juga amat tinggi. Kajian-kajian yang dijalankan berkaitan Pendidikan Kanak-kanak Orang Asal mendapati salah satu faktor penyumbang kepada permasalahan ini adalah kerana kanak-kanak Orang Asal kurang minat ke sekolah serta tidak dapat mengaitkan kehidupan seharian mereka dengan apa yang mereka pelajari di sekolah.

Cerita-cerita rakyat dari Barat, mahu pun dari Malaysia yang berasaskan identiti Melayu sekali pun, sukar difahami oleh anak-anak Orang Asal Sabah – Gambar hiasan.

Sebagai contoh, kanak-kanak Orang Asal diajar membaca perkataan-perkataan seperti bas, kapal terbang, komuter, dan keretapi sering digunakan dalam konteks kenderaan sehari-hari masyarakat umum. Namun bagi kanak-kanak Orang Asal, yang datang dari latar kehidupan yang berbeza, nama-nama jenis pengangkutan tersebut adalah terlalu asing buat mereka. Para guru harus bijak menggunakan jenis pengangkutan lain seperti perahu, rakit, bot, dan sebagainya yang lebih hampir dengan kehidupan mereka seharian.

Sehubungan itu, penyelidik dari Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Dr. Mohd Nazri Abdul Rahman telah membangunkan siri modul cerita rakyat yang berasaskan cerita rakyat masyarakat Orang Asal di Malaysia untuk membantu menangani permasalahan ini, dengan fokus pertamanya kepada masyarakat Orang Asal di pedalaman Sabah.

Dengan menggunakan geran penyelidikan dari Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UMCares), dan kerjasama daripada Institut Pendidikan Guru (IPG), Kampus Kent, Tuaran, sebuah modul pembelajaran asas literasi berdasarkan cerita-cerita rakyat masyarakat Orang Asal ini telah dilaksanakan di beberapa lokasi di pedalaman Sabah. Tabika Perpaduan Kampung Lohan, Ranau, dan Prasekolah IPG Kampus Kent, Tuaran telah dipilih sebagai sekolah sulung projek pelaksanaan modul ini.

Nazri (kiri) memberi penerangan kepada guru berkenaan modul membaca

Dalam masa yang singkat, pelaksanaan projek ini telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan, dengan peningkatan di dalam kebolehan asas membaca di kalangan kanak-kanak Orang Asal. Melalui modul ini, guru dapat mempelbagaikan pendekatan pengajaran dan pembelajaran dengan mengaitkan pengalaman kehidupan seharian mereka. “Saya menggunakan cerita rakyat ini dengan menjalankan aktiviti wayang kulit bersama pelajar. Saya dapati proses pengajaran dan pembelajaran saya menjadi lebih menarik, dan murid-murid pun turut terlibat secara aktif dan berminat untuk membaca buku-buku cerita rakyat tersebut,” kata Noor Baidareh Julubin, Guru Tabika Perpaduan Kampung Lohan, Ranau. Bagi Muhammad Eddy Piut, Guru Prasekolah IPG Kampus Kent pula, “Jika dahulu saya banyak menggunakan buku cerita tersohor seperti ‘Snow White’, ‘Cinderella’, dan Pak Pandir sebagai bahan bacaan kanak-kanak, namun kini saya berbangga kerana dapat menggunakan buku cerita rakyat masyarakat saya sendiri untuk diceritakan kepada anak murid saya”. Penggunaan Penggunaan buku-buku cerita ini juga menjadi daya tarikan kepada kanak-kanak untuk ke sekolah setiap hari kerana ingin membaca dan mendengar cerita-cerita masyarakat yang hampir dengan mereka.

Golongan ibu bapa turut memberi respon positif terhadap pelaksanaan modul ini. Penglibatan ibu bapa dalam beberapa aktiviti berkaitan yang dianjurkan, seperti Pertandingan Bercerita ‘Cerita Rakyat Orang Asal Sabah’, Pementasan Teater Kanak-kanak Cerita Asal Usul Padi, dan Pertandingan Pintar Kreatif, amat menggalakkan. “Anak saya menampakkan perubahan yang ketara sejak membaca cerita-cerita ini. Dia sudah mula pandai mengurus diri, membantu saya di rumah, dan berkelakuan baik secara amnya. Dia menjadikan Hominodun, salah seorang watak di dalam bukunya, sebagai suri teladan,” kata Sabariah Khairuddin, ibu kepada salah seorang kanak-kanak yang mengambil bahagian di dalam projek ini.

Kanak-kanak Orang Asal bersama guru mereka di dalam sesi membaca.

Bagi pensyarah IPG Kampus Kent pula, pelaksanaan modul ini secara tidak langsung melestarikan kesamarataan dalam peluang pendidikan. “Projek ini telah menyumbang kepada koleksi cerita rakyat masyarakat Kadazan-Dusun yang boleh dibaca oleh kanak-kanak prasekolah. Bila pula nak buat buku cerita kanak-kanak masyarakat Bajau?” En. Arun Daud, Pensyarah Cemerlang, IPG Kampus Kent, Tuaran, Sabah. Penggunaan modul ini juga sesuai untuk digunakan kepada kanak-kanak bermasalah pembelajaran. Mengikut Cik Lajiwin Govinia Kudun, Pensyarah Cemerlang Pendidikan Khas dan Pemulihan, IPG Kampus Kent, “cerita yang pernah diceritakan oleh ibu bapa dirumah, telah dibukukan sebagai bahan bacaan ini mampu untuk menarik minat kanak-kanak bermasalah pembelajaran untuk mengenal huruf, mengeja dan memberi fokus untuk membaca dengan bantuan ilustrasi gambar yang menarik’.

Pelaksanaan program ini secara tidak langsung berjaya mengekang masalah utama mengenai rekod kehadiran murid ke sekolah disebabkan strategi pengajaran dan pembelajaran, bahan sumber pembelajaran serta pedagogi yang digunakan tidak memenuhi keperluan pembelajaran kanak-kanak Orang Asal. Masalah ketidakhadiran yang tinggi dalam kalangan murid-murid Orang Asal memberi kesan besar terhadap kebolehan membaca murid Orang Asal. Pendekatan modul ini selain menggabungjalinkan cerita tradisi rakyat dalam proses pembelajaran literasi asas, ia juga menanam nilai serta tradisi serta kepercayaan masyarakat. Usaha ini secara tidak langsung telah melestarikan jati diri kaum pribumi.

Dr. Mohd. Nazri Abdul Rahman

Maklumat lanjut mengenai penyelidikan bagi pembangunan cerita-cerita rakyat Orang Asal Sabah ini boleh didapati melalui Dr. Mohd. Nazri Abdul Rahman di mohdnazri_ar@um.edu.my