21 September 2024

Ekoterapi si istimewa di Rimba Ilmu

Featured

Reducing the impact of landslides

By Dr Mohd Talha Anees Almost half of Peninsular Malaysia...

Mengukur kemiskinan asnaf dengan tanda aras multidimensi

Oleh: Dr. Muhammad Nooraiman Zailani Isu kemiskinan amat sukar untuk...

Let’s go for smarter healthcare to stop heart attacks

By Assoc. Prof. Dr. Khor Sook Mei Heart attacks remain...

The treasure in non-coding RNAs

By Assoc. Prof. Dr. Lim Yat Yuen For decades, scientists...

He is the epitome of a leader

By Mohammad Tariqur Rahman The leadership qualities of Prophet Muhammad...

Share

Ekoterapi adalah istilah umum yang meliputi apa jua teknik rawatan atau pemulihan yang melibatkan persekitaran alam semulajadi. Walaupun tidak digunakan sebagai kaedah rawatan utama, namun ekoterapi sudah mula disarankan oleh pengamal perubatan sebagai antara kaedah rawatan iringan yang bermanfaat.

Sehubungan dengan itu, sebuah bengkel ekoterapi melibatkan murid-murid sekolah berkeperluan khas dari beberapa sekolah di sekitar Lembah Kelang telah diadakan baru-baru ini di Rimba Ilmu, Institut Sains Biologi (ISB), Universiti Malaya (UM). Program anjuran Pusat Komuniti dan Kelestarian UM (UMCares) ini turut melibatkan sejumlah 73 orang ibu bapa murid-murid berkenaan.

“Bengkel yang dinamai ‘One with Nature’ ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak berkeperluan khas mengenai pelbagai teknik dan aktiviti ekoterapi, dan bagaimana mereka boleh memainkan peranan untuk membantu perkembangan anak-anak mereka dalam aspek emosi, tingkah laku, keyakinan, kemahiran psikomotor dan sosial,” kata Dr. Donnie Adams, pensyarah kanan di Institut Kepimpinan Pendidikan, Fakulti Pendidikan UM, yang juga merupakan penyelaras program.

Murid-murid yang terlibat adalah mereka yang mengikuti kelas keperluan khas di empat buah sekolah dari Selangor, iaitu SK Sultan Alam Shah (2), SJK (C) Chung Hwa Damansara, SK Taman Medan, dan SK Damansara Jaya (1).

“Menurut kajian dan pengamatan kami, ramai ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas kurang pendedahan mengenai kemahiran asas dalam teknik rawatan pemulihan yang boleh dilakukan bersama anak-anak mereka di rumah. Bengkel ini diharapkan dapat memindahkan kemahiran tersebut kepada mereka melalui kaedah amali yang praktikal, dan sesuai diadakan secara berkala dan konsisten,” kata Prof. Madya Dr. Aznan Che Ahmad, pensyarah kanan di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM), yang merupakan penyelidik bersama program ini.

Beberapa aktiviti yang merangkumi pergerakan fizikal yang khusus telah disediakan, termasuklah mengimbangi beg kekacang dan bola sepak, dan penghasilan seni kolaj menggunakan daun yang gugur di perkarangan Rimba Ilmu. “Kesemua aktiviti ini direka khusus untuk membantu membina kemahiran motor kasar dan halus murid-murid ini. Yang lebih utama, kesemua pergerakan dan aktiviti ini tidak sukar untuk dipelajari dan diamalkan di rumah, mahu pun di taman-taman rekreasi sedia ada,” kata Dr. Donnie Adams lagi.

Sebuah buku yang menyenarai dan menerangkan kesemua aktiviti yang dilaksanakan, bertajuk ‘Ecotherapy for Your Child with Special Needs’, turut diberikan kepada ibu bapa yang hadir. Buku susunan oleh Dr. Donnie Adams dan Prof. Madya Dr. Aznan Che Ahmad ini diterbitkan oleh Penerbit Universiti Malaya.

“Saya amat hargai apa yang dilakukan oleh UM dalam mendekati komuniti murid berkeperluan khas ini. Saya percaya kini saya mampu membantu anak saya menjalani rawatan pemulihan di dalam suasana yang menarik, dan berlatar belakangkan alam sekitar yang nyaman,” kata Adrian Yap, salah seorang bapa yang hadir menemani anaknya ke program ini. Seorang ibu, Chong Sin Min pula menyarankan agar program sebegini dilakukan dengan lebih kerap pada masa akan datang. “Selain berkongsi kemahiran, program sebegini juga mampu memupuk kesejahteraan fizikal dan mental keluarga yang hadir kerana adanya sokongan dari komuniti yang memahami dan ingin membantu satu sama lain,” katanya lagi.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Dr. Donnie Adams di donnieadams@um.edu.my