Sebelum kita diperkenalkan dengan istilah pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada bulan Mac 2020, banyak negara di Asia Tenggara, benua Amerika, dan kepulauan Pasifik Barat telah pun diisytihar sebagai kawasan endemik untuk virus denggi. Malah sumber WHO mengatakan terdapat lebih 100 negara di seluruh dunia yang diancam virus bawaan nyamuk ini.
Nyamuk ialah sejenis serangga atropod yang terkenal sebagai penghisap darah dan penyebar kuman penyakit kepada manusia dan haiwan. Walaupun tabiat nyamuk betina yang menghisap darah manusia dan haiwan adalah sebenarnya bagi tujuan mematangkan telur mereka, namun secara tidak langsung turut memindahkan apa juga kuman dan patogen dari darah perumah (manusia/haiwan) yang telah dijangkiti kepada perumah baharu yang masih belum dijangkiti.
Modus operandi nyamuk betina ini telah berjaya meletakkan kuman-kuman penyakit ini kekal berada dalam masyarakat, sehingga ke hari ini. Spesies nyamuk Aedes, Culex and Anopheles yang terdapat di kebanyakan negara-negara beriklim tropika, merupakan kumpulan utama nyamuk penyebar, atau vektor, kepada virus dan parasit penyebab penyakit berjangkit yang membawa kemudaratan di kalangan manusia.
Selain denggi, nyamuk Aedes juga terkenal kerana membawa virus zika dan chikugunya di kebanyakan negara-negara Asia. Manakala di negara-negara sub-Sahara Afrika dan Amerika Selatan, Aedes membawa virus untuk penyakit-penyakit Rift Valley fever, West Nile fever dan yellow fever. Nyamuk Culex pula merupakan vektor yang membawa virus penyebab penyakit Japanese Encephalitis (JE) dan West Nile fever. Bagi nyamuk dari kumpulan Anopheles, mereka terkenal sebagai pembawa kuman parasit penyebab demam malaria. Menariknya, ketiga-ketiga kumpulan nyamuk ini juga berupaya membawa satu lagi kuman parasit penyebab lympathic filariasis, atau lebih dikenali sebagai kaki gajah di kalangan masyarakat tempatan.
Walaupun virus denggi telah dijumpai sejak tahun 1943 di Jepun, dan menjangkiti jutaan manusia, namun demam denggi dan demam denggi berdarah masih menjadi antara masalah kesihatan utama di negara kita. Persoalannya mengapakah penyakit bawaan nyamuk Aedes ini kelihatan begitu sukar untuk dihapuskan?
Jawapan ringkasnya adalah kita sebenarnya masih gagal untuk menghapuskan tempat pembiakan vektornya. Dalam konteks kitaran hidup biologi nyamuk, dengan hanya melakukan sekali sahaja persenyawaan, nyamuk betina mampu bertelur sehingga maksimum 10 kali sepanjang hayatnya, dengan sebanyak 500 telur dihasilkan dalam setiap proses bertelur.
Syarat utama bagi tempat pembiakannya adalah hanya dengan kehadiran air yang bertakung; dari hanya setitis air sehinggalah ke sebesar-besar bekas takungan. Keupayaan dan kepintaran nyamuk Aedes beradaptasi dengan persekitaran buatan manusia ini telah memberinya kelebihan, dan pada masa yang sama menjadikannya ancaman yang sangat besar kepada populasi manusia di kebanyakan negara beriklim tropika, termasuklah Malaysia.
Sehingga ke hari ini, rantaian virus denggi bawaan nyamuk Aedes masih tidak dapat diputuskan di dalam komuniti kita, terutamanya bagi populasi berkepadatan tinggi seperti di negeri Selangor dan Kuala Lumpur. Kedua-dua lokasi ini sentiasa mencatatkan angka jangkitan tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia saban tahun.
Data yang diperoleh daripada Bilik Gerakan (CPRC) Denggi Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertarikh 10 Ogos 2021, menunjukkan sebanyak 16,732 kes denggi telah dicatatkan dari 29 Disember 2020 sehingga 10 Ogos 2021 dengan lebih separuh daripadanya (58%) adalah di negeri Selangor. Manakala data harian pada 10 Ogos 2021 menunjukkan 66 kes dilaporkan, dengan 35 daripadanya adalah di negeri Selangor. Sebanyak 10 kematian akibat demam denggi telah direkodkan semenjak Januari sehingga 8 Ogos 2021 di seluruh negara.
Hasil pemerhatian saintifik terhadap jumlah kes denggi pada setiap tahun menunjukkan terdapat pola penurunan kes pada tahun 2020, iaitu ketika negara berada dalam fasa perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik COVID-19. Keadaan ini boleh dikaitkan dengan kurangnya aktiviti yang dilakukan oleh manusia di luar rumah, seterusnya merendahkan risiko mendapat gigitan nyamuk Aedes.
Kesempatan berada di rumah juga mungkin telah digunakan sebaiknya dengan melakukan spot-check harian untuk penghapusan tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam dan persekitaran rumah. Amalan sebegini seharusnya diteruskan walaupun selepas negara bebas daripada pandemik COVID-19 kelak, dan tamatnya tempoh PKP dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Kesedaran yang tinggi mengenai bahaya penyakit bawaan vektor ini perlu terus diterapkan kepada semua golongan masyarakat, terutamanya generasi muda. Tidak dinafikan perhatian seluruh negara, malah dunia juga, sekarang adalah tertumpu kepada menghentikan rantaian jangkitan virus Sars-Cov-2 dalam komuniti. Namun kita tidak mampu untuk leka dengan denggi, kerana virus bawaan nyamuk ini telah pun berada dalam komuniti kita sejak puluhan tahun, menjangkiti jutaan individu, dan meragut banyak nyawa.
Keupayaan nyamuk yang unik, seperti mampu beradaptasi dengan persekitaran yang baharu dan bukan semulajadi, selain rintang kepada pelbagai jenis racun serangga, secara tidak langsung menjadikan ancaman virus yang dibawanya kekal sehingga ke masa hadapan. Keupayaannya sebagai vektor pembawa virus dan parasit yang setia, apabila digabungkan dengan permasalahan pengurusan biodiversiti yang tiada hujungnya, hampir pasti menjadikan nyamuk sebagai antara ancaman utama kepada tamadun manusia kelak. Kerakusan manusia mengubah lanskap semulajadi menjadi kawasan pertanian dan penternakan komersial besar-besaran, dan kebebasan pergerakan manusia merentas dunia tanpa sempadan, bukan sahaja akan memburukkan keadaan, malah dikhuatiri akan menjadi penyebab kemunculan dan transmisi patogen dan kuman penyakit baharu yang lebih berbahaya.
Benar, pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak berwajib dalam usaha menghentikan penularan wabak denggi, antaranya adalah dengan memperkukuh progam kawalan vektor melalui penghapusan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes. Walau bagaimanapun, keberkesanan usaha ini memerlukan kerjasama dari pelbagai pihak, terutamanya ahli masyarakat.
Komuniti yang bertanggungjawab akan menjaga kebersihan persekitarannya dan memastikan penghapusan tempat pembiakan nyamuk Aedes. Manakala agensi lain seperti pihak pemaju perumahan juga perlu memainkan peranan yang sama. Ciri-ciri binaan rumah yang menghasilkan tempat air bertakung perlu dinilai semula dan dimasukkan ke dalam pertimbangan sebelum sesuatu pelan rumah, bangunan, atau kejiranan diluluskan. Pemantauan yang kerap, serta penguatkuasaan undang-undang yang ketat oleh pihak berwajib, akan membantu proses kawalan vektor yang berkesan di setiap sudut kehidupan bermasyarakat.
Sempena Hari Nyamuk Sedunia yang disambut setiap tahun pada 20 Ogos, mari kita luangkan sedikit masa untuk turut memberi perhatian kepada beban kesihatan wabak endemik denggi ini, yang masih tidak mempunyai penawar antiviral, mahu pun vaksin yang sesuai sehingga kini.
Penulisan ini telah diterbitkan Kosmo (Ed.)