4 December 2024

Ujian Allah menurut tahap keimananan

Featured

Beyond the blessing

By Dr Cherish How As the Year of the Dragon...

Elak terperangkap dengan cinta ekspres

Oleh: Dr. Norsafatul Aznin binti A. Razak Dalam era moden...

Memperkasa mereka

Kesihatan mental remaja adalah salah satu aspek yang penting...

Algorithms of abuse

By Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid Human trafficking is the...

Getting them on

By Ts Elman Mustafa El Bakri As 2024 draws to...

Share

Sekali pun kita di Malaysia masih dibelenggu dengan pandemik COVID-19 yang masih menggila, dengan jumlah kes positif harian yang kekal tinggi serta kes kematian yang melibatkan saudara dan rakan-rakan yang kita kenali, itu tidak sepatutnya menghalang untuk kita menzahirkan syukur ke atas nikmat iman, Islam dan kesihatan yang masih dicurahkan kepada kita semua. Yakinlah, bahawa Allah tidak menimpakan ujian kepada hambanya melainkan ia sesuai dengan darjat dan tahap keimananan hamba tersebut sejajar dengan firmanNya:

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. (Surah al-Baqarah:286).

Bulan Muharram adalah salah satu bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT dan juga bulan Haram di dalam Islam. Bulan ini juga pernah menyaksikan beberapa peristiwa agung di dalam sejarah kemanusiaan, bermula dari Nabi Adam AS dan seterusnnya. Setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW, umat Islam juga diberikan kemenangan di bulan ini di peperangan al-Qodisiyah pada tahun 14 Hijrah, dan Nahawand pada tahun 19 Hijrah. Selain khabar kemenangan, berlaku juga peristiwa sedih pada bulan ini, iaitu pembunuhan Saidina Husain bin Ali RA di sebuah tempat bernama Karbala (kini terletak di Iraq), bersama anak dan beberapa kaum kerabatnya yang lain.

Mengulas mengenai peristiwa ini, seringkali fikiran kita akan dibayangi dengan ritual Karbala yang dilakukan oleh penganut Syiah pada 10 Muharram setiap tahun, dengan meratapi dan menangisi malahan lebih dahsyat lagi apabila mereka mencederakan diri sendiri sebagai menzahirkan rasa kesedihan mereka. Ini amat bertentangan dengan prinsip wasatiyyah yang dianjurkan oleh Islam serta larangan untuk meratapi kematian seseorang. Sebagai umat Islam, kita bersedih dengan apa yang telah berlaku kepada cucunda yang amat disayangi oleh Nabi SAW, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Thobrani dari Abu Hurairah RA:

Saidina Husain RA pernah tinggal bersama Nabi Muhammad SAW dan baginda amat menyayanginya.

Apa yang berlaku kepada beliau bukanlah musibah pertama yang menimpa kepada orang solihin lagi dimuliakan oleh Allah SWT. Bukankah sebelum itu ayahnya, Saidina Ali RA juga turut dibunuh? Begitu juga dengan abang kandungnya, Saidina Hasan yang mati diracun, menurut sesetengah pendapat. Malah dua Khalifah ar-Rasyidin sebelum ayahnya, Saidina Umar Al-Khattab RA dan Saidina Uthman ibnu Affan RA juga turut dikhianati dan dibunuh.

Perkara ini memberikan satu isyarat kepada kita bahawa ujian hidup yang dialami oleh seseorang itu, hatta sehebat-hebatnya sehingga membawa kepada kematiannya sekali pun, merupakan proses peningkatan martabat iman, di samping membersihkan dosa-dosa. Segala ketentuan yang berlaku itu sentiasa bertepatan dengan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang terpilih, sebagaimana firmanNya:

Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “AhlulBait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji). (Surah al-Ahzab:ayat 33)

Malah tidak cukup dengan kemuliaan tersebut, mereka juga tergolong di dalam kelompok orang yang sabar sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (Surah al-Baqarah: ayat 155-156)

Bumi Karbala juga telah menjadi saksi kewafatan dua orang anak Saidina Husain, iaitu ‘Ali al-Akbar dan ‘Ali al-Soghir, serta puluhan ahli keluarganya yang turut menjadi mangsa. Ibnu Kathir ketika mengulas kisah ini di dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah, telah mengakhiri ulasannya dengan sebuah hadis yang diriwayatkan sendiri oleh Imam Ahmad dari Saidina Husain dari datuknya, Rasulullah SAW:

Tiada sebarang musibah yang menimpa seseorang itu, kemudian dia mengingatinya meskipun telah lama masanya berlalu, lalu dia mengucapkan istirja’ (Inna lillahi wa Inna ilaihi Roji’un), pasti Allah SWT akan mengurniakan pahala yang sama seperti pahala yang diterima pada hari musibah tersebut.

Diriwayatkan di dalam kitab al-Mihan karangan Muhammad bin Ahmad al-Tamimi (wafat pada 333 H): Setelah peristiwa pembunuhan Saidina Husain RA, ahli keluarganya yang masih hidup telah dibawa ke istana khalifah ketika itu, iaitu Yazid bin Muawiyah. Antara yang masih terselamat ialah Ali bin Husain RA, atau turut dikenali dengan nama Ali Zainal Abidin, iaitu anak lelaki tunggal Saidina Husain yang masih hidup. Apabila Yazid bertanya kepadanya mengenai peristiwa tersebut, jawapan yang keluar dari mulut seorang pemuda yang beriman dan berjiwa besar ini ialah bacaan ayat 22 dan 23 surah al-Hadid yang bermaksud:

Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. Supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu.

Beginilah contoh terbaik yang ditampilkan oleh ahli keluarga Rasulullah SAW ketika berhadapan dengan ujian yang amat pedih lagi menyedihkan. Tiada perkataan yang keluar dari mulutnya yang baru sahaja menyaksikan kematian ahli keluarganya, melainkan firman Allah SWT yang jelas mampu menenangkan jiwa-jiwa mereka yang beriman di samping yakin dengan janji-janji Allah kepada setiap hambanya yang bersabar apabila diruntun ujian.

Berkat kesabaran ahli keluarga Saidina Husain RA, mereka telah dipindahkan dengan selamat ke Mesir dan mendapat layanan yang sangat istimewa oleh penduduk dan pemerintah Mesir ketika itu, serta menetap di Mesir sehingga mereka wafat. Sehingga hari ini, tempat-tempat seperti Makam Sayyidah Zainab, Sayyidah Nafisah, Sayyidah Sukainah, dan Masjid Saidina Ali Zainal Abidin masih diziarahi dan dikunjungi sebagai tanda sanjungan dan penghormatan yang diberikan kepada ahli keluarga Rasulullah SAW.

Ujian hidup yang Allah SWT berikan kepada manusia adalah pelbagai dan berbeza bentuknya, keadaannya, dan akibatnya. Walau bagaimanapun, ujian tersebut tidak akan melebihi had yang mampu dihadapi dan diterima oleh seseorang itu, selagi mana imannya masih tersemat rapi di dalam jiwanya.

Apa yang penting, kita sebagai seorang Muslim hendaklah bersungguh-sungguh mempersiapkan ketaqwaan kita serta keluarga kita, sebagaimana pesanan khatib di mimbar Jumaat saban minggu, bagi menghadapi segala kemungkinan dalam hidup. Dengan berbekalkan taqwa sahajalah, segala musibah dan ujian akan mampu diatasi seperti firmanNya:

Sediakanlah bekalan, dan sebaik-baik bekalan adalah ketaqwaan kepada Allah SWT (Surah al-Baqarah: ayat 197).

Penulisan ini telah diterbitkan BebasNews (Ed.)