15 May 2025

Halimah Hj. Siran

Featured

Mereka ada

Oleh Yohan Kurniawan Pendidikan inklusif merupakan satu pendekatan yang memberi...

Thank you, cikgu

By Nahrizul Adib Kadri I was eleven, sitting straight in...

Meningkat kesedaran pulihara ekosistem marin di Pulau Perhentian

Oleh Khor Kai Xuan, Tengku Zawati Afini ASTREC (ASTAR Recreational...

Budayakan

Oleh Siti Nazziera Mokhtar Malaysia telah mengorak langkah bagi menangani...

A rethink

By Professor Dato Dr Ahmad Ibrahim The world is now...

Share

“Saya sebenarnya segan ditemuramah begini. Saya bukan siapa-siapa di UM,” jawab Puan Halimah Hj. Siran ketika mula-mula dihubungi untuk dipaparkan sebagai salah seorang People@UM.

Setelah dimaklumkan yang ruangan ini sememangnya dikhususkan untuk mereka yang berada di belakang tabir, bertungkus lumus memastikan proses kerja universiti tertua negara ini berjalan lancar sepanjang masa, barulah sosok yang berasal dari Pontian, Johor ini bersetuju.

“Pastikan datang bila saya berbaju bunga warna merah hati ya?” selorohnya sambil meninggalkan tarikh dan masa untuk temujanji kami.

“Mungkin juga kerana selalu disuruh ayah mengira hasil jualan sate sewaktu kecil dahulu, menjadikan saya meminati matematik. Dan saya bersyukur dapat bertugas membantu hal kewangan di UM, antara universiti terbaik dunia,” katanya yang kini bertugas sebagai Penolong Akauntan W32 di Institut Asia Eropah (IAE), Universiti Malaya, ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Puan Halimah lagi, dia sama sekali tidak menyedari yang dirinya sudah lebih 20 tahun berkhidmat di UM. “Nak kata seronok sangat tu tidaklah sepanjang masa. Ada masa kita ‘enjoy’, ada masa kita ‘struggle’ buat kerja. Yang penting, ada semangat kerja berpasukan yang membantu kita menyiapkan setiap tugasan yang diberi,” tambahnya yang berulang-alik dari Rawang, Selangor setiap hari.

Individu seperti Puan Halimah mungkin tidak dikenali di dalam organisasi yang sebesar UM, mempunyai lebih 6,000 kakitangan di pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTj). Namun peranan dan tugasnyalah yang sebenarnya menggerakkan sendi dan injap organisasi universiti terbaik negara ini. Tanpa individu sepertinya, tak mungkin usaha pengemudian UM ke arah kecemerlangan yang diketuai oleh Dato’ Naib Canselor akan berhasil.

Apabila ditanya rahsia kelihatan awet muda walaupun usianya bakal menginjak ke angka 50 tidak lama lagi, Puan Halimah pantas berkongsi pesanan ini: “Bersangka baiklah dengan orang lain, dan ikhlas melaksanakan tugas. Semua orang ada kebaikannya, jangan hanya nampak yang buruk sahaja.

Dan paling penting, setiap daripada kita mempunyai peluang untuk menjadi inspirasi kepada orang lain dalam usaha kita menjadi insan yang lebih baik. Sentiasa berusaha memerdekakan diri dari penjajahan minda yang negatif dan merosakkan.”

Sedang dirinya mula menaiki tangga ke arah pejabatnya di aras dua IAE setamatnya sesi penggambaran, beliau sempat menoleh ke arah kami seolah-olah teringatkan sesuatu.

“Saya rasa lebih baik tanya boss kamu mengenai rahsia awet muda. Dulu dia selalu beli sate ayah saya waktu Maghrib semasa kami membesar di Kampung Dalam, Pontian.

Mungkin itu rahsianya,” kata Puan Halimah sambil tersenyum.

📸 Profile photos by Mohd. Fadhli Yong for CCO. Satay photo by Fitria Yusrifa on Unsplash