4 December 2024

Ikhtiar yang bukannya asing

Featured

Beyond the blessing

By Dr Cherish How As the Year of the Dragon...

Elak terperangkap dengan cinta ekspres

Oleh: Dr. Norsafatul Aznin binti A. Razak Dalam era moden...

Memperkasa mereka

Kesihatan mental remaja adalah salah satu aspek yang penting...

Algorithms of abuse

By Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid Human trafficking is the...

Bahasa jiwa bangsa

Oleh: Prof. Madya Dr. Salinah Jaafar Bahasa Melayu atau bahasa...

Share

Oleh: Dr. Abdul Halim Ibrahim

Buat masa ini, kita dimaklumkan oleh pelbagai badan berautoriti yang jalan keluar terbaik daripada belenggu pandemik COVID-19 ini adalah menerusi vaksinasi. Vaksin boleh diibaratkan sebagai bahan latihan untuk sistem pertahanan tubuh mengenali, seterusnya membina sistem pertahanan yang diperlukan bagi memerangi bakal musuhnya itu. Namun, ramai juga yang beranggapan vaksin ini akan menjadikan penerimanya seolah-olah kebal dari dijangkiti virus SARS-CoV-2. Suntikan vaksin tidak pernah menjanjikan seseorang itu kebal sepenuhnya daripada dijangkiti.

Pakar-pakar kesihatan berkali-kali menyatakan tujuan utama vaksin diberikan adalah untuk mengurangkan risiko jangkitan virus kepada orang lain, mengurangkan keterukan (severity) sekiranya dijangkiti sekaligus menurunkan kadar kematian, dan yang paling utama adalah sebagai senjata ampuh dalam usaha kita mengawal penularan jangkitan. Sebagaimana yang kita maklumi, kegagalan mengawal kebolehsebaran virus ini akan memberi kesan yang buruk kepada pelbagai aspek kehidupan manusia, baik dari aspek ekonomi, sosial, dan keselamatan.

Impak program imunisasi COVID-19 ini telah pun dibuktikan di Amerika Syarikat dan United Kingdom dengan penurunan ketara kadar kes kematian harian. Di Malaysia, Program Imunisasi Vaksin COVID-19 (PICK) juga telah berjaya menurunkan kadar harian kes baharu dan kematian akibat virus ini.

Hakikatnya, Allah SWT sahajalah yang Maha Berkuasa menyembuhkan setiap penyakit yang ada. Namun, manusia diseru untuk berubat dan berikhtiar mencari jalan untuk mencegah dan merawat segala jenis penyakit. Vaksin dilihat sebagai salah satu ikhtiar manusia dalam mencegah diri daripada dijangkiti COVID-19. Islam sendiri amat menganjurkan umatnya untuk mengambil langkah pencegahan sebelum dijangkiti. Nabi SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam al-Bukhari bersabda yang bermaksud: “Sekiranya kamu mendengar tentang taun yang menimpa sesuatu kawasan, maka janganlah kamu masuk ke tempat tersebut. Sekiranya ia berlaku di sesuatu kawasan dan kamu berada di dalamnya, maka janganlah kamu keluar daripadanya untuk melarikan diri darinya.”

Baginda juga bersabda sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud: “Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.”

blue and white plastic bottle

Badan berautoriti dan sarjana Islam seluruh dunia telah pun mengharuskan penggunaan vaksin dalam usaha mencegah penularan dan keterukan jangkitan COVID-19. Keharusan ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW yang juga menjadi asas kepada kaedah fiqh yang bermaksud: “Tidak ada sebarang mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan.”

Selain itu, keharusan ini juga selari dengan kaedah fiqh ‘kemudaratan yang lebih kecil ditanggung bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar.’ Dalam konteks vaksin-vaksin COVID-19, sama ada dos 1 dan 2 atau dos penggalak, terdapat kesan sampingan yang mungkin dialami oleh sesetengah penerima vaksin bergantung kepada ketahanan tubuh dan faktor-faktor lain. Namun, kesan sampingan yang dialami tersebut jauh lebih kecil mudaratnya berbanding jangkitan virus itu sendiri yang mengakibatkan kemudaratan yang lebih besar.

Realitinya, vaksin bukanlah sesuatu yang asing bagi umat Islam. Pada era khilafah Turki Uthmaniyyah, vaksinasi atau dikenali sebagai variolasi telah diamalkan secara meluas dalam masyarakat berikutan siri epidemik cacar yang menular di pelbagai bahagian empayar ketika itu. Rekod sejarah menunjukkan Istanbul mengalami tujuh epidemik cacar dalam tempoh 1701-1878. Variolasi bertujuan mengelakkan kematian dan kecacatan akibat jangkitan cacar dengan mengambil cebisan kulit daripada individu dijangkiti sebelum memindahkannya kepada individu yang diinokulasi. Amalan ini telah diperhatikan oleh Lady Mary Montagu (1689-1762)—isteri duta British ke Turki Uthmaniyyah—yang kagum dengan keberkesanannya sebelum memperkenalkannya dalam kalangan pengamal-pengamal perubatan di United Kingdom sekitar tahun 1721-1723. Pada tahun 1789, Edward Jenner (1749–1823) telah membangunkan kaedah yang lebih selamat yang dikenali sebagai vaksin cacar lembu pada tahun 1789 selepas siri eksperimen dilakukan berdasarkan teknik variolasi ala pakar perubatan Turki.

red and white stop sign

Kesimpulannya, vaksin yang dikenali ketika ini bukanlah sesuatu yang asing bagi umat Islam. Vaksin yang diberikan oleh pihak kerajaan telah melalui siri ujian klinikal yang sangat ketat sebelum diluluskan oleh badan-badan pengawal selia yang berkredibiliti. Vaksinasi merupakan ikhtiar manusia dalam mencegah penularan COVID-19 dan kesan teruk sekiranya dijangkiti. Hakikatnya, hanya Allah SWT sahaja yang berkuasa memberikan dan menyembuhkan penyakit.


Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Program Sains Gunaan Dengan Pengajian Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di ahalim_ibrahim@um.edu.my