Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli
Setiap 1 Mei telah diangkat sebagai hari pekerja. Setiap pekerja sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta meraikan sambutan hari pekerja dengan penuh harapan agar kelestarian mereka terus terjamin di masa akan datang. Pandemik COVID-19 telah meninggalkan parut hitam bagi ramai kalangan pekerja. Ini disebabkan ada di antara mereka yang kehilangan pekerjaan, bertukar pekerjaan dan hidup dalam kesukaran. Dengan itu, ramai yang mengharapkan peluang pekerjaan yang semakin banyak, stabil dan pengangguran dapat dikurangkan.
Berdasarkan tema hari pekerja bagi tahun 2023, “Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani”, ia menggambarkan sumbangan penting pekerja dalam mengukuhkan gagasan Malaysia Madani. Jelasnya, ia meletakkan tanggungjawab di bahu pekerja untuk bersama-sama membangunkan negara khususnya dalam pasca pemulihan ekonomi. Namun begitu, tanggungjawab ini perlu sama-sama dipikul oleh para majikan agar dapat merealisasikan Malaysia Madani. Tiada pekerja tanpa majikan dan tiada majikan tanpa pekerja. Oleh itu, hubungan simbiotik ini perlu diperkasakan bagi mewujudkan ekosistem kerja yang madani.
Pada dasarnya, Islam sangat menggalakkan umatnya untuk bekerja mencari rezki. Dalam masa yang sama, Islam melarang umatnya dari bersikap malas, mengemis dan meminta-minta. Nabi Muhammad SAW telah bersabda: Sungguh seandainya salah seorang di antara kalian mengambil beberapa utas tali, lalu pergi ke pergunungan, kemudian dia kembali dengan memikul seikat kayu bakar dan menjualnya, hingga dengan hasil itu Allah mencukupkan keperluan hidupnya. Itu lebih baik baginya daripada meminta-minta sesama manusia, baik mereka memberinya atau tidak (HR al-Bukhari). Dalam hadis yang lain, Nabi SAW menyatakan: Barangsiapa pada waktu petang merasa penat lantaran pekerjaan kedua tangannya (mencari rezki), maka pada saat itu, diampunkan dosanya (HR al-Tabrani).
Dalam ekosistem dunia pekerjaan, seringkali terdapat dua budaya yang melatarinya, sama ada budaya kerja yang baik dan budaya kerja yang toksik. Persekitaran budaya kerja yang baik dapat melahirkan pekerja yang berdedikasi, bermotivasi, berintegriti dan produktif. Berbanding budaya kerja yang toksik akan membentuk persekitaran yang negatif, tidak bermotivasi bahkan pekerja tidak merasa gembira bila bekerja. Situasi ini akan menyebabkan kadar produktiviti semakin menurun. Kadangkala terdapat pekerja yang mengalami depresi dan kemurungan akibat tekanan di tempat kerja.
Terdapat pelbagai amalan yang membentuk ekosistem kerja yang toksik. Pertama, wujudnya pendekatan pilih kasih dalam budaya kerja organisasi atau syarikat. Hanya pekerja tertentu yang menjadi pilihan berbanding baki pekerja yang lain. Malahan hak pekerja lain dinafikan untuk diberikan kepada pekerja pilihan. Situasi ini akan menyebabkan berlakunya polarisasi dalam organisasi atau syarikat. Kedua, adanya gejala pembulian yang menjadi budaya organisasi atau syarikat. Kebiasaannya golongan pekerja yang baharu atau lemah akan dikuasai oleh pekerja yang lama dan dominan. Pembulian ini berakar umbi dalam organisasi dan syarikat yang menyebabkan terdapat pekerja yang ditindas dan dizalimi. Ketiga, terdapat unsur tekanan yang dikenakan kepada pekerja dengan memberikan bebanan kerja yang banyak dan tempoh masa siap yang singkat. Kadangkala pekerja masih diberikan tugasan walaupun di luar waktu kerja. Keempat, budaya membodek yang subur dalam organisasi dan syarikat. Budaya ini dimanfaatkan oleh pekerja yang licik khususnya bagi mendapatkan keistimewaan tertentu, umpamanya keringanan kerja, kenaikan pangkat dan insentif berkaitan. Jadi pekerja yang benar-benar ikhlas melakukan kerja tidak dihargai dan diketepikan.
Budaya kerja yang negatif ini akan membentuk ekosistem kerja yang tidak madani. Ia mendorong kepada rosaknya sesebuah organisasi dan syarikat kerana pekerja tidak lagi bersemangat dan berdedikasi dalam melaksanakan amanah kerja.
Sehubungan dengan itu, perlunya membentuk ekosistem kerja yang baik agar selari dengan tuntutan Islam, di samping dapat mengubah dengan menjadikan kerja sebagai satu ibadah. Jelasnya, satu rutin harian yang dilakukan oleh pekerja mampu berbuahkan pahala dan berkat. Dengan kata lain, ekosistem kerja yang merangkumi majikan dan pekerja berorientasikan madani dapat direalisasikan. Pertama, niat merupakan asas yang penting untuk menjadikan sesuatu amalan sebagai ibadah atau sekadar kebiasaan. Niat kerja kerana Allah adalah penting kerana ia boleh mencetuskan rasa ikhlas dalam diri. Dengan itu, ia dapat memotivasikan pekerja untuk mencari rezki dengan penuh integriti, dedikasi dan amanah. Ini kerana tuntutan mencari rezki adalah arahan langsung daripada Allah SWT. Dalam surah al-Jumaat, ayat 10, Allah telah berfirman: Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).
Kedua, kerja yang dilakukan selari dengan tuntutan Syarak. Dengan kata lain, dalam melakukan kerja, para pekerja tidak boleh terlibat dengan kerja yang dilarang dan diharamkan Islam seperti urusan transaksi riba, pelacuran, judi dan arak. Umpamanya, dalam kerja yang berkaitan arak, Rasulullah SAW telah bersabda: Arak itu dilaknat pada sepuluh perkara; (1) pada zatnya, (2) pemerahnya, (3) orang yang memerahnya untuk diminum sendiri, (4) penjualnya, (5) pembelinya, (6) pembawanya, (7) orang yang meminta orang lain untuk membawanya, (8) orang yang memakan hasil penjualannya termasuklah majikan, (9) peminumnya, dan (10) orang yang menuangkannya”. (HR Ibn Majah, Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasa’i)
Berdasarkan hadis ini, terdapat sembilan golongan mereka yang terlibat dalam budaya kerja yang diharamkan. Pertama, pemerah anggur, iaitu para pekerja yang melakukan pemprosesan arak. Kedua, orang yang memerah anggur untuk meminum arak sendiri. Ketiga, penjual arak. Keempat, pembeli arak. Kelima, mereka yang pembawa, menghantar atau pengangkutannya. Keenam, pelayan kedai arak. Ketujuh, orang yang menjual arak atau majikan. Kelapan, peminum arak dan kesembilan adalah orang yang menuangkan arak kepada orang lain. Kesembilan golongan ini terlibat dalam kerja yang diharamkan Syarak. Ia boleh juga diqiyaskan kepada baki kerja haram yang lain.
Selain itu, jika kerja yang dilakukan oleh pekerja adalah sesuatu yang harus dan halal, namun pekerja tidak boleh mencampuraduknya dengan perkara yang diharamkan Syarak seperti mencuri tulang, culas, pecah amanah dan rasuah. Ia akan memberi kesan terhadap keberkatan rezki yang diperolehi.
Jelasnya, pekerja yang niat kerja ikhlas kerana Allah dan kerja yang dilakukan bebas dari unsur haram adalah berpotensi meraih status ibadah dan berpahala. Sehubungan dengan itu, setiap pihak yang berada dalam ekosistem pekerjaan perlu memainkan peranan agar budaya kerja yang dapat membangunkan Malaysia Madani dapat direalisasikan. Bukan sahaja para pekerja, bahkan majikan turut bertanggungjawab bagi mewujudkan budaya kerja yang baik dan menghindari budaya toksik.
Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di mohdanuar@um.edu.my