18 March 2025

Kesedihan melampau akibat kehilangan orang yang tersayang

Featured

Tundukkan

Oleh Mohd Anuar Ramli, Muhamad Nabil Saiful Anuar Mata merupakan...

Hidupkan kebersamaan

Oleh Nur Faezah Musthapar Bulan Ramadan sentiasa dinanti-nantikan oleh setiap...

Untuk semua

Oleh Muzalwana Abdul Talib Permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi...

Of transparency and compliance

By Suria Zainuddin As of 1st March 2025, all individuals...

Our stories

By Zuraini Md Ali and Nurul Alia Ahamad Since its...

Share

Oleh: Dr. Azmawaty Mohamad Nor

Percutian dan perayaan disambut dengan berbeza apabila orang yang disayangi tiada bersama dan telahpun meninggal dunia. Ianya tidak akan sama lagi seperti dahulu, tiada lagi gelak tawa, gurau senda, usik-mengusik dan gaduh manja. Tiada lagi berpegangan tangan berjalan di persisiran pantai dan tiada lagi bersama-sama menunggu waktu matahari terbenam untuk menyaksikan keesaan pencipta. Dunia seakan terhenti seketika, beberapa ketika dan mungkin mengambil masa yang lama untuk keluar dari kesedihan yang melampau. Ini ditambah lagi dalam menjalankan kehidupan harian, kehilangan amat terasa apabila rumah yang dahulunya meriah dengan gelak tawa serta merta menjadi sepi.

Tambahan lagi apabila melihat kerusi di meja makan yang dahulunya berpenghuni kini sudah kosong, bantal yang dulunya berteman kini tidak berkongsi lagi dan banyak lagi perkara lain yang boleh menyebabkan perasaan sebak yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata kembali menerjah. Ini adalah satu keadaan yang amat sukar dihadapi dan sekiranya anda sedang mengalami fasa ini, dinasihatkan agar tidak sesekali mencuba untuk mengelak atau menyembunyikan perasaan tersebut.

man in white shirt sitting on rock looking at mountains during daytime
Setiap individu perlu melalui proses penyembuhan yang melalui beberapa fasa. Gambar hiasan dari Unsplash.

Kesedihan atau grief adalah perasaan yang dihasilkan oleh pengalaman seseorang yang pernah kehilangan orang yang tersayang. Ianya adalah satu perasaan universal dan merupakan satu pengalaman yang menyakitkan. Seseorang yang tidak melalui fasa tersebut tidak akan boleh berupaya untuk merasakan kepedihan itu. Pelbagai emosi yang dialami dan ini termasuk panik, kebimbangan, kesedihan dan kerinduan yang teramat sangat. Juga, wujudnya kesukaran untuk menumpukan perhatian pada sesuatu dan kekeliruan tentang apa yang akan berlaku seterusnya.

Apabila seseorang itu diserang oleh gelombang kesedihan ini, persoalan yang sering bermain di minda adalah, “Bilakah ini akan berakhir?” Dari perspektif penyelidikan, terdapat sebilangan kecil individu yang mungkin mengalami gangguan kesedihan yang berpanjangan. Ianya berterusan sehingga selepas enam bulan atau setahun dari tempoh selepas kematian atau kehilangan. Dalam hal ini, seringkali dilihat kefungsian seseorang itu semakin menurun dari hari ke hari. Pengasingan diri mula berlaku di mana individu tidak lagi bersosial dan berinteraksi dengan ahli keluarga atau orang di sekeliling malah perkara ini boleh membawa kepada kemurungan sekiranya berterusan tanpa dikawal. Oleh itu, campur tangan keluarga sangat diperlukan untuk memastikan individu ini dirawat dan memfokuskan diri kepada trajektori penyembuhan. Trajektori penyembuhan membantu individu-individu ini untuk tidak menidakkan perasaan sedih yang kekal wujud dalam diri tetapi pada masa yang sama dapat menyesuaikan diri untuk memastikan kehidupan dapat diteruskan seperti sedia kala.

Setiap individu yang melalui proses penyembuhan akan melalui lima peringkat kesedihan. Lima fasa tersebut adalah peringkat penafian, marah, tawar-menawar, murung dan akhir sekali penerimaan. Peringkat penafian, adalah yang pertama daripada lima peringkat kesedihan. Di peringkat ini, segala isi dunia menjadi tidak bermakna, tidak lagi menggembirakan, hidup ini malah dianggap tidak beerti, dan individu yang melalui peringkat ini juga akan berada dalam keadaan terkejut dan berada dalam keadaan tidak percaya yang mereka telahpun kehilangan orang tersayang. Walau bagaimanapun, penafian dan kejutan membantu individu untuk berfikir tentang kehidupan yang perlu diteruskan. Secara tidak langsung, ia membantu meredakan perasaan sedih yang dialami dan ini merupakan proses awal penyembuhan.

Peringkat kedua adalah perasaan marah. Kemarahan adalah peringkat yang diperlukan dalam proses penyembuhan dan individu perlu bersedia untuk melalui proses kemarahan walaupun ianya dilihat sebagai sukar untuk diatasi. Peringkat kemarahan ini perlu dirasai supaya semakin dirasai semakin ia menghilang dan semakin dekat dengan proses penyembuhan. Terdapat banyak emosi lain di dalam peringkat ini dan kemarahan adalah yang paling biasa dialami oleh individu yang mengalami kesedihan akibat kehilangan. Amarah ini tiada hadnya dan seringkali boleh terbawa-bawa bukan sahaja dalam kalangan ahli keluarga tetapi juga rakan, diri sendiri, orang tersayang yang telahpun meninggal dunia dan mungkin juga Tuhan. Persoalan yang sering ditanya adalah, “mengapa ini terjadi pada diriku?” atau “Di manakah Tuhan dalam hal ini?” Kemarahan itu adalah kesakitan yang dialami oleh individu yang mengalami kesedihan. Ia juga adalah satu penunjuk terhadap dalamnya cinta kepada orang yang telah pergi ke negari abadi.

Peringkat ketiga adalah tawar-menawar dimana peringkat ini datang daripada perasaan tidak berdaya dan individu terkesan akan mula berdoa sesungguh hati dan memohon kepada Tuhan. Berharap bahawa permintaan tersebut dipenuhi. Ketika inilah proses tawar-menawar mula berlaku dan macam-macam yang kita cuba tawarkan dan janjikan. Semasa tawar-menawar ini, individu cenderung untuk menumpukan pada kesalahan atau penyesalan peribadi. Individu yang dalam kesedihan mungkin akan teringat kembali kepada peristiwa dengan insan yang telah meninggal dunia dan mula menyoal “Jika sahaja…” atau “Bagaimana jika…” Diantara dialog yang sering diungkapkan adalah “bagaimana jika ini hanyalah sebuah mimpi buruk”.

silhouette of a woman with pink and purple sky
Masalah kemurungan perlukan bantuan dan sokongan yang khusus. Gambar hiasan dari Unsplash.

Peringkat keempat adalah peringkat kemurungan di mana perasaan kosong mula membuatkan kesedihan yang dirasakan masuk terlalu dalam hidup. Emosi yang berkecamuk mula reda namun rasa kehilangan itu lebih dirasai dan tidak dapat dielakkan. Individu akan mula mengasingkan diri apabila kesedihan semakin terasa. Walaupun ini adalah fasa semulajadi dalam proses kesedihan, individu akan terasa sangat kehilangan dan keseorangan. Namun begitu, kemurungan ini bukanlah dikategorikan sebagai masalah mental sebaliknya ia merupakan respon yang wajar dilalui untuk penyembuhan hati.

Peringkat penerimaan adalah peringkat terakhir dan individu yang bersedih mula menerima hakikat bahawa orang tersayang telah pergi meninggalkan mereka menuju negeri abadi. Namun jangan disalahertikan, bukan bermakna tiada lagi kesedihan atau perasaan perit kehilangan tetapi individu sebaliknya mula untuk redha terhadap apa yang telah terjadi. Walaupun begitu, kesedihan dan penyesalan masih boleh hadir dalam peringkat ini.

Perlu diingatkan bahawa setiap individu yang melalui fasa kesedihan adalah berbeza kerana ianya melibatkan perasaan dan emosi. Setiap peringkat ini walaupun telah mencapai peringkat terakhir iaitu penerimaan, ianya masih boleh kembali semula kepada peringkat yang pertama. Sistem sokongan daripada ahli keluarga serta rakan taulan amatlah penting bagi individu yang melalui proses kesedihan.

Penulis merupakan Ketua, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di azy_mn@um.edu.my