Gajah rompong belalai, peribahasa yang membawa maksud kehilangan kuasa seseorang pemerintah; merupakan salah satu dari puluhan peribahasa yang menggunakan haiwan sebagai perlambangannya. Penggunaan nama haiwan ini menunjukkan kewujudannya yang sudah lama di rantau Nusantara, dan pengiktirafan kepentingannya di dalam ekosistem sosiobudaya orang Melayu.
Elephas maximus atau panggilan tempatannya “gajah Asia” adalah spesies haiwan yang turut direkodkan di Malaysia. Spesies ini boleh mencecah hampir 3 meter tinggi dan lebih 6 meter panjang. Habitat mamalia besar ini merangkumi pelbagai persekitaran seperti hutan hujan tropika, padang rumput dan juga paya. Gajah Asia juga merupakan satu-satunya spesies di bawah genus Elephas yang masih wujud di Asia Tenggara, barat India dan sebilangan kecil turut ditemui di utara Nepal, selatan Sumatera dan timur Borneo.
Walaupun haiwan ini terkenal dengan kemegahan kekuatan fizikal, namun populasinya tidak terlepas daripada diancam bahaya kepupusan. Malah, pihak International Union for Conservation of Nature (IUCN) telah menyenaraikan Elephas maximus sebagai salah satu spesies yang terancam dalam rekod IUCN Red List. Menurut pertubuhan World Wildlife Fund (WWF) pula, bilangan gajah Asia yang masih ada di seluruh dunia adalah lebih kurang 40,000 ekor sahaja. Hal ini kerana gajah banyak diburu untuk gading, kaki dan ekornya yang mempunyai permintaan yang sangat tinggi di luar negara.
Kerisauan penurunan bilangan individu gajah telah membawa kepada pelbagai perbincangan seperti mengapa ianya berlaku, pihak mana yang memainkan peranan dan yang paling penting, langkah apakah yang harus diambil untuk mengatasi masalah gajah memasuki kawasan awam?
Selain menjadi mangsa buruan untuk tujuan komersial, gajah juga diancam kepupusan disebabkan oleh kes kematian yang dilaporkan di tempat awam. Hal ini berpunca daripada konflik antara manusia dan gajah apabila haiwan memasuki kawasan aktiviti manusia.
Faktor utama gajah mencerobohi tempat awam adalah kerana habitat semula jadinya telah dimusnahkan akibat penebangan hutan dan pembukaan tanah secara berleluasa. Disebabkan diet gajah merangkumi tumbuh-tumbuhan, dan secara idealnya mereka memerlukan lebih kurang 150 kilogram makanan per individu setiap hari, jumlah tumbuhan yang makin banyak ditebang tidak dapat menampung keperluan pemakanan seharian mereka. Hal ini menyebabkan gajah berpindah ke kawasan lain untuk mencari makanan dan tempat tinggal baharu. Malangnya, kawasan baharu yang diterokai selalunya merupakan penempatan manusia, dan seterusnya mencetus konflik antara haiwan dan manusia.
Aktiviti pembangunan tanah untuk tujuan penanaman kelapa sawit dan getah serta tanaman perladangan juga menyumbang kepada kepupusan populasi gajah. Hal ini agak rumit untuk dibincangkan kerana industri perladangan seperti ini juga merupakan tunggak utama kepada pembangunan ekonomi negara kita. Kesannya, mamalia ini berdepan dengan kekurangan sumber makanan dan tempat tinggal yang selamat.
Salah satu kes terkini kematian gajah di tempat awam, adalah pada 19 Mac 2021 di Jalan Kota Tinggi-Mersing, Johor, di mana seekor gajah betina yang berumur dalam lingkungan 20 ke 30 tahun ditemui mati di tepi jalan. Sebab kematian dipercayai dirempuh kenderaan yang melalui jalan itu ketika cuba menyeberangi jalan.
Untuk rekod, kejadian gajah mati di tempat awam banyak tertumpu di Kota Tinggi, Johor, kerana di sana terletaknya Hutan Simpan Panti yang menjadi habitat bagi sekumpulan gajah-gajah Asia. Secara semula jadinya, gajah memang akan berkeliaran bagi mencari makanan dan menerokai hutan. Namun begitu, kewujudan jalan raya berdekatan dengan hutan simpan menyebabkan gajah-gajah diancam bahaya trafik.
Selain itu, di Kota Tinggi juga terdapat sebuah santuari yang menempatkan gajah-gajah liar. Santuari tersebut dibina oleh kerajaan negeri Johor pada awal tahun 2020 dengan tujuan untuk memelihara populasi gajah Asia yang semakin terancam. Atas usaha murni ini, gajah dapat hidup bebas di dalam kawasan tersebut dan pergerakan mereka juga dapat dikawal rapi daripada memasuki penempatan manusia. Namun begitu, masih banyak kes gajah keluar berkeliaran dari kawasan santuari dan memasuki kawasan ladang kelapa sawit, jalan raya, dan taman perumahan berdekatan.
Di Tawau, Sabah pula, terdapat satu kes di mana sekumpulan gajah mencerobohi kawasan tanaman dan ditembak mati bagi mengelakkan tanaman dirosakkan. Malah, di negeri tersebut sahaja, 40 ekor gajah telah terkorban dalam jangka masa tiga tahun kebelakangan akibat ditembak mati atau diracuni petani.
Peristiwa gajah mati dilanggar kenderaan atau pun ditembak mati bukanlah satu perkara yang asing lagi. Jika hal ini dibiarkan berterusan, populasi gajah akan terus berkurangan dan sudah pasti kita akan menghadapi satu lagi kepupusan haiwan yang sangat berharga.
Kesimpulannya, pencerobohan gajah ke kawasan awam adalah berbalik kepada tindakan manusia sendiri yang menjalankan aktiviti pembangunan tanpa perancangan rapi. Gajah hanya menjalani kehidupan di habitat semula jadi mereka yang merupakan anugerah Tuhan. Manakala manusia yang berpandukan keinginan untuk kemodenan hanya melihat hutan sebagai satu peluang yang boleh dieksploitasi.
Namun begitu, objektif penulisan artikel ini bukanlah untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya bersama-sama membantu pihak berkuasa menangani isu ini secara serius.
Sebagai rakyat, terdapat beberapa langkah yang boleh kita lakukan, seperti melaporkan sebarang tindakan yang mencurigakan di kawasan santuari kepada pihak berkuasa. Dengan ini, pihak kerajaan akan dapat meningkatkan penguatkuasaan undang-undang dan akta yang telah ditetapkan tentang isu haiwan liar.
Usaha ini juga dapat mengelakkan orang awam daripada mengambil tindakan sewenang-wenangnya apabila terserempak dengan gajah-gajah liar ini. Selain itu, pemanduan di sekitar kawasan yang mempunyai populasi gajah juga perlu mengikut had kelajuan yang telah ditetapkan, agar kes kemalangan haiwan liar di lebuhraya atau di jalan kampung dapat dielakkan.
Janganlah nanti generasi akan datang hanya mengetahui kewujudan mamalia unik hutan kita ini daripada carian internet mengenai peribahasa Melayu yang banyak berkisar mengenainya.
Penulisan ini adalah bersempena Hari Gajah Sedunia pada 12 Ogos 2021.