2 February 2023

Masa depan Pak Belang di tangan kita

Featured

Kisah minggu ketigabelas

Sehari sebelum warga kampus mula bercuti untuk perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini, pasukan kami sempat menjengah Fakulti Kejuruteraan untuk merakamkan suasana kampus.

Memperkasakan ta’aruf, tafahum dan tasamuh dalam Masyarakat MADANI di Malaysia

Masyarakat majmuk terbentuk di Malaysia melalui sejarah yang panjang. Ia merupakan ciri keunikan tempatan kerana kejayaan menghasilkan miniatur Asia yang mempunyai komposisi pelbagai bangsa utama Asia seperti Melayu, Cina dan India. Takdir sejarah ini perlu diterima dan diperkasakan dari semasa ke semasa.

Let’s craft an ideal 21st century city out of KL

Kuala Lumpur, the capital of Malaysia, has a rich history dating back to the late 1800s. It began as a small tin-mining settlement in the 1850s and was granted city status in 1972. During the late 19th and early 20th centuries, Kuala Lumpur developed rapidly as a centre of tin mining and trade, leading to increased immigration and economic growth.

Normalisasi sembang lucah: Mengemis perhatian murahan

Walau bagaimanapun, banyak unsur gurauan atau lawak jenaka dewasa ini yang berbaur lucah atau mempunyai maksud tersirat dilihat semakin berleluasa dan parah.

Ibu bapa pendamping tumbesaran anak-anak zaman digital

Teknologi telah banyak memberi manfaat kepada masyarakat di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan, terdapat juga kesan negatif ke atas perkembangan kanak-kanak dan remaja.

Share

Pada 27 Mei 2019 negara kita digemparkan dengan kematian Tam, badak Sumatera jantan terakhir di Malaysia. Namun, berita sedih ini tidak terhenti di situ sahaja. Iman, badak Sumatera betina terakhir di Malaysia pula menghembuskan nafasnya pada 23 November 2019. Dalam satu kenyataan media, menurut Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew berkata, “Iman telah lama menderita akibat ketumbuhan dalam rahim”. Hal ini amat mendukacitakan ramai rakyat Malaysia kerana kita masih kekurangan pakar dalam membantu pemuliharaan hidupan liar secara ex-situ. Lantas perkara ini menyebabkan badak sumbu Sumatera terus lenyap di bumi Malaysia.

Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera tigris jacksoni merupakan spesies yang hanya wujud di hutan Semenanjung Malaysia. Selain itu, harimau lain yang terdapat di dunia termasuk harimau Siberia, harimau Indochina, harimau Benggala dan harimau Sumatera. Harimau Malaya mempunyai berat purata 120 kilogram, dan panjangnya pula boleh mencecah sehingga 2.4 meter. Haiwan yang juga digelar sebagai “Pak Belang” ini tergolong dalam kumpulan karnivor iaitu haiwan pemakan daging yang dietnya bergantung kepada sumber yang wujud di hutan seperti babi hutan, rusa sambar, kancil, kijang dan seladang. Buruan pada mangsa berlaku pada waktu malam dimana haiwan ini adalah nokturnal iaitu aktif bergerak di waktu malam. Pada siang hari pula, haiwan ini banyak menghabiskan masa dengan tidur. Tempoh tidurnya lama sehingga boleh mencecah 15 jam.

Harimau adalah haiwan unik kerana belang mereka berfungsi seperti cap jari manusia dan corak belang pada setiap spesies harimau adalah berbeza-beza. Harimau Malaya mampu hidup di kebanyakan hutan di Malaysia tetapi berdasarkan kajian-kajian yang telah dilakukan, terdapat 3 habitat utama iaitu di Taman Negara Endau-Rompin (Johor Pahang), Taman Negara (Pahang) dan Taman Negeri Royal Belum (Perak).

Pada tahun 1950, kira-kira lebih 3000 ekor jumlah harimau wujud di negara kita. Namun, pada tahun 2014 bilangannya dianggarkan sebanyak 250 hingga 340 ekor sahaja dan data terkini menunjukkan bahawa hanya tinggal kurang 200 ekor harimau liar di hutan Malaysia. Kini, harimau Malaya diklasifikasikan di bawah kategori ‘Critically Endangered’ dalam rekod IUCN Red List (The International Union for Conservation of Nature Red List of Threatened Species). Manakala, di dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), harimau Malaya dikategorikan di bawah haiwan “Dilindungi Sepenuhnya (Jadual 2)”. Pasti tertanya-tanya, bagaimana bilangan harimau Malaya di Malaysia berkurangan dengan cepat sejak kebelakangan ini?

Secara umum, harimau adalah haiwan liar yang mempunyai permintaan yang sangat tinggi di pasaran gelap. Hal ini menyebabkan mereka giat diburu secara haram. Ini kerana, anggota badan harimau adalah sangat berharga. Sesetengah masyarakat berpendapat daging, darah dan organ harimau baik untuk kesihatan walaupun tiada fakta yang mengesahkan kebenarannya. Manakala terdapat pula kumpulan peminat pada makanan eksotik. Tulang harimau digunakan dalam pembuatan arak yang dikatakan mampu untuk menyembuhkan pelbagai penyakit seperti memberi kekuatan tenaga dalaman dan memanjangkan usia. Ada pula golongan yang mempercayai kuku dan giginya pembawa tuah dan dijadikan tangkal. Selain itu, kepala harimau dan kulitnya diperdagangkan untuk tujuan trofi dan barangan hiasan untuk jualan kepada golongan kaya.

Penebangan hutan secara besar-besaran untuk pembukaan bandar dan penempatan juga merupakan faktor utama populasi harimau Malaya semakin berkurangan. Kesan lain juga berlaku disebabkan oleh pembalakan haram. Bukan sahaja harimau, malah hidupan liar lain juga terkesan akibat daripada aktiviti-aktiviti seperti ini. Haiwan di hutan terpaksa berpindah ke kawasan yang baru untuk mendapatkan sumber makanan dan perlindungan. Apabila haiwan-haiwan mangsa ini berpindah, sumber makanan harimau juga turut berkurangan. Disebabkan itu, harimau mencari kawasan baru yang memudahkannya untuk mendapatkan makanan. Di sinilah timbulnya beberapa kes yang dilaporkan berlaku kejadian harimau mencerobohi kawasan kampung dan mengganggu penduduk. Akibat lapar, harimau menyerang haiwan ternakan penduduk kampung. Bukan itu sahaja, kejadian serangan hendap harimau kepada manusia di kawasan ladang dan dusun sehingga membawa kepada kematian juga pernah dilaporkan di dalam berita dan keratan akhbar.

Masyarakat di Malaysia mempunyai pandangan yang berbelah bahagi terhadap harimau. Mereka akan lebih mengutamakan keselamatan diri sekiranya haiwan ini mencerobohi kawasan kediaman dan ladang ternakan. Dengan ciri haiwan ini yang bersifat ganas dan berbahaya kepada penduduk setempat, mereka khuatir ahli keluarga akan menjadi mangsa habuan makanan dan juga bimbang akan kerugian pada haiwan ternakan. Dengan tindakan membunuh harimau, inilah yang difikirkan paling berkesan tanpa melihat kesan lain iaitu kepupusan. Hal ini amat mengecewakan bagi sesetengah golongan masyarakat yang tahu akan kepentingan Pak Belang di negara ini.

Harimau diangkat dengan pelbagai kemegahan dan kebanggaan rakyat Malaysia melalui sifat yang ditonjolkan oleh perwatakannya. Harimau Malaya merupakan haiwan kebangsaan Malaysia. Ia melambangkan kekuatan, keberanian dan kekuasaan dan disebabkan itu harimau Malaya dipilih sebagai pelbagai logo pada badan-badan terkemuka seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia, Maybank, Proton dan Polis Diraja Malaysia. Harimau Malaya juga turut disertakan dalam lambang rasmi kerajaan iaitu dalam Jata Negara Malaysia. Sejak dari zaman nenek moyang lagi, kisah cerita teladan dan dongeng juga banyak diumpamakan dan dikaitkan dengan harimau. Malah peribahasa Melayu juga sering menggunakan perumpamaan ini “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama” yang membawa maksud memperingati pada sumbangan seseorang yang banyak berbuat jasa walaupun telah meninggal dunia.

Sebagai masyarakat Malaysia yang prihatin, kita perlu membantu kerajaan dan badan-badan NGO yang sedang berusaha untuk meningkatkan populasi harimau Malaya yang kini semakin diancam kepupusan. Pelbagai info mengenai pemuliharaan dan perlindungan harimau Malaya boleh dikongsikan kepada masyarakat melalui media masa serta mewujudkan pelbagai program pendidikan dan kesedaran masyarakat dari golongan kanak-kanak sehingga dewasa bagi memupuk rasa cinta dan belas kasihan terhadap haiwan liar ini. Antara langkah, elakkan membeli barangan yang berasaskan anggota badan dari hidupan liar untuk tujuan pakaian, makanan dan perhiasan sebagai tidak menyokong kepada punca pemburuan haram. Antara lain, kita perlu sokong akan tindakan yang lebih proaktif seperti yang dianjurkan oleh badan-badan perlindungan hidupan liar World-Wide Fund for Nature (WWF), Malaysian Conservation Alliance for Tigers (MYCAT) dan lain-lain melalui sokongan petisyen bagi menghentikan segera pemburuan haram demi menyelamatkan populasi harimau Malaya.

Pusat konservasi dan zoo juga merupakan langkah yang diambil oleh Jabatan Hidupan Liar Malaysia untuk projek ex-situ bagi program pemantauan pembiakan spesies terancam. Dahulunya program seperti ini berjaya dijalankan di Muzium Melaka bagi membiak harimau akibat dari aktiviti pemburuan haram. Program seperti ini perlu wujud kerjasama dari pelbagai pihak iaitu pakar penyelidik/akademik, veterinar dan pegawai hidupan liar itu sendiri bagi memastikan usahasama ini berjalan dengan lancar sebelum harimau dilepaskan semula ke hutan. Oleh itu, amatlah digalakkan kepada orang ramai untuk menyalurkan sumbangan kewangan, makanan haiwan dan sukarelawan kepada pusat konservasi hidupan liar dan zoo bagi membantu meringankan beban pusat jagaan hidupan liar ditambah pula dimusim penularan wabak COVID-19 banyak memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

Akhir sekali, kita digalakkan untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan sempena sambutan Hari Harimau Sedunia iaitu pada 29 Julai pada setiap tahun. Aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan di musim pandemik adalah dengan menjalankan pertandingan secara virtual bertemakan harimau seperti poster infografik, lukisan kreatif, bercerita, penulisan santai, rekacipta, rakaman video pendek dan mewarna. Manakala bagi peringkat dewasa pula, wujudkan perbincangan melalui webinar, forum, dan penelitian pada penyelidikan harimau serta langkah kerjasama yang perlu diambil antara kumpulan penyelidik, kerajaan, bukan kerajaan dan masyarakat awam.

Kesimpulannya, Harimau Malaya merupakan ikon dan khazanah kebanggaan negara dan tugas untuk menyelamatkan mereka adalah tanggungjawab bersama. Kita tidak mahu perkara sama berulang sepertimana yang berlaku pada badak sumbu Sumatera. Oleh itu, rakyat Malaysia haruslah berganding bahu dan tidak hanya bergantung kepada pihak berkuasa untuk memelihara khazanah negara ini kerana, sekiranya Harimau Malaya pupus, tiada apa lagi yang boleh kita lakukan selain menyesal bak kata pepatah “sudah terhantuk, baru terngadah”.

Penulisan ini telah dihantar ke Utusan Malaysia untuk pertimbangan diterbitkan sempena Hari Harimau Sedunia pada 29 Julai (Ed.)