21 September 2024

Penghapus belang Pak Belang

Featured

Reducing the impact of landslides

By Dr Mohd Talha Anees Almost half of Peninsular Malaysia...

Mengukur kemiskinan asnaf dengan tanda aras multidimensi

Oleh: Dr. Muhammad Nooraiman Zailani Isu kemiskinan amat sukar untuk...

Let’s go for smarter healthcare to stop heart attacks

By Assoc. Prof. Dr. Khor Sook Mei Heart attacks remain...

The treasure in non-coding RNAs

By Assoc. Prof. Dr. Lim Yat Yuen For decades, scientists...

He is the epitome of a leader

By Mohammad Tariqur Rahman The leadership qualities of Prophet Muhammad...

Share

Harimau Malaya, atau nama saintifiknya Panthera Tigris Jacksoni, merupakan subspesies harimau belang yang terdapat di hutan Semenanjung Malaysia terutama di Pahang, Perak, Terengganu dan Kelantan. Harimau Malaya atau lebih mesra dipanggil Pak Belang begitu sinonim dengan masyarakat Malaysia tanpa mengira usia yang menganggapnya sebagai haiwan yang gagah dan berani. Jika tersilap langkah, pemangsa liar ini akan mengancam nyawa manusia. Disebabkan harimau ini begitu ikonik sejak zaman dahulu dan dihikayatkan dalam cerita-cerita rakyat, tidak hairanlah Harimau Malaya diangkat darjatnya menjadi simbol yang signifikan buat negara sehingga tersemat di jata sebagai lambang keberanian.

Ironinya kini, Harimau Malaya menjadi haiwan yang lemah, takut dan diancam kehidupannya. Di seluruh dunia, terdapat 3 subspesies harimau belang telah pupus manakala 9 subspesies lagi dalam keadaan sangat terancam. Sekitar tahun 2018, hasil Tinjauan Harimau Kebangsaan di plot kajian habitat harimau menunjukkan bilangan yang direkodkan adalah kurang dari 200 ekor berbanding kajian ilmiah pada tahun 1950-an yang menyatakan jumlahnya mencecah 3000 ekor. Data ini amat membimbangkan dan jika tiada inisiatif drastik dalam mengawal penurunan populasi ini, jangkaan dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun Malaysia akan kehilangan spesies ini buat selama-lamanya.

Terdapat sekurang-kurangnya tujuh punca Harimau Malaya menjadi semakin terancam.

  1. Kehilangan Habitat Hutan

Kehilangan hutan menjadi faktor utama yang mengancam populasi harimau. Hutan berperanan sebagai “koridor, dapur dan bilik tidur”. Degradasi hutan menyebabkan dapurnya kekurangan makanan. Fragementasi hutan pula menyebabkan bilik tidur dan koridornya musnah dan digantikan lebuhraya sehingga sukar berjumpa jodoh serta melahirkan penyambung zuriatnya.

  1. Pemburuan Haram

Walaupun Harimau Malaya merupakan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), namun pemburu haram tempatan dan luar negara tetap dengan perbuatan haramnya. Menyeludup masuk hutan secara haram, memasang perangkap secara haram seterusnya menjual kuku, taring, kulit dan dagingnya secara haram demi mendapat keuntungan yang haram.

  1. Kekurangan Sumber Makanan

Kehilangan hutan dan pemburuan haram turut menjejaskan sumber makanan. Harimau semakin sukar memburu terpaksa berjalan lebih jauh. Keadaan ini membuatkannya terdedah dan mudah dijumpai pemburu haram ketika dalam keadaan lapar dan lemah. Malah, pemburu haram dan harimau saling bersaing memburu makanan kegemaran masing-masing seperti babi hutan, kijang, rusa dan pelanduk.

  1. Perdagangan Hidupan Liar

Manusia tidak lagi takut dimakan harimau di hutan, tetapi harimau ketakutan dijadikan makanan eksotik manusia. Sebenarnya pemburuan haram ini terus berlaku walau pelbagai sekatan telah dilakukan adalah kerana permintaan dan harganya amat lumayan. Maka, pemburu sanggup lakukan apa sahaja demi keuntungan. Tulang, darah dan organ seksnya menjadi bahan dagangan di pasar eksotik, dibuat tangkal serta ubat kuat.

  1. Konflik Harimau-Manusia

Apabila bertembung keutamaan antara nyawa manusia dan nyawa haiwan yang sedang bergelut, tidak dapat tidak, nyawa manusia perlu diutamakan untuk diselamatkan sekalipun puncanya adalah salah manusia. Manusia memusnahkan rumahnya. Apabila harimau mencari-cari rumahnya, sehingga tiba di rumah manusia, maka, yang bersalah dan dihukum mati tetap Harimau Malaya. Tapi, jika berkata begini, akan dituduh tak menghargai nyawa manusia dan melebihkan haiwan pula.

  1. Perubahan Iklim

Perubahan iklim menjadikan kediaman harimau menjadi lebih panas dan kering. Keadaan ini menyebabkan harimau terpaksa berpindah-randah mencari tempat yang lebih selesa. Namun, ia berdepan dengan risiko di tempat baru seperti kekurangan makanan dan meningkatkan lagi konflik manusia-harimau.

  1. Kurang kesedaran

Perlindungan hidupan liar agak sukar untuk mendapatkan kesedaran dan penyertaan orang awam berbanding haiwan peliharaan. Hal ini kerana meraka tidak merasakan hubungan langsung dengan isu kepupusan haiwan liar. Namun, kesedaran dan ilmu berkaitan ekologi dan tingkahlaku harimau sangat perlu difahami agar dapat mengurangkan konflik manusia-harimau.

Antara punca lain termasuklah kelemahan penguatkuasaan dan keberkesanan kempen. Namun, sebenarnya pihak berwajib sudah tidak menang tangan menjalankan pelbagai usaha. Sudah beratus ribu operasi dan usaha konservasi dilakukan secara bersepadu dan berkala, sudah berpuluh ribu program kesedaran awam dijalankan, sudah beribu-ribu jerat telah dimusnahkan dan beratas-ratus pemburu haram ditangkap atas kesalahan jenayah.

Walaubagaimanapun, Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (2008-2020) yang menyasarkan 1,000 harimau menjelang 2020 nampaknya telah tersasar. Pelan tindakan baharu wajar dilaksanakan dengan lebih teliti. Barangkali iltizam politik perlu disuntik. Tetapi, siapakah yang sudi menjadi juara? Jika konservasi harimau dimasukkan di dalam manifesto, siapa pula yang akan mengundi? Ternyata usaha ini amat sukar. Bersempena dengan Hari Harimau Antarabangsa, muhasabah terbaik adalah, apakah peranan dan sumbangan kita setakat ini?

Jangan nanti generasi akan datang tidak memahami peribahasa “harimau mati meninggalkan belang” kerana ternyata harimau kini telah kehilangan belangnya. Realitinya, harimau adalah hidupan liar yang lemah dan kelaparan, hidup dalam ketakutan diburu pemburu, atau sekadar haiwan yang pasif di zoo.

Jangan pula akhirnya nanti hanya ingat Harimau Malaya sebagai pasukan bola sepak negara semata-mata, tanpa mengetahui siapa pemilik sebenar dan asal nama.

Penulisan ini telah dihantar ke Berita Harian untuk diterbitkan sempena Hari Harimau Sedunia pada 29 Julai (Ed.)