21 September 2024

Mendidik sifat jujur dan amanah di pertengahan Ramadan

Featured

Reducing the impact of landslides

By Dr Mohd Talha Anees Almost half of Peninsular Malaysia...

Mengukur kemiskinan asnaf dengan tanda aras multidimensi

Oleh: Dr. Muhammad Nooraiman Zailani Isu kemiskinan amat sukar untuk...

Let’s go for smarter healthcare to stop heart attacks

By Assoc. Prof. Dr. Khor Sook Mei Heart attacks remain...

The treasure in non-coding RNAs

By Assoc. Prof. Dr. Lim Yat Yuen For decades, scientists...

He is the epitome of a leader

By Mohammad Tariqur Rahman The leadership qualities of Prophet Muhammad...

Share

Oleh: Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh

Memasuki fasa pertengahan Ramadan, sewajarnya umat Islam semakin terbiasa dengan budaya berpuasa selain dari berlapar dan dahaga iaitu menahan kemarahan dan keinginan yang salah. Kepenatan yang dialami ketika awal Ramadan dahulu telah pun menjadi kebiasaan. Sekiranya kita berbuka dan sahur dengan makanan yang pelbagai ketika mula-mula berpuasa dahulu sudah pasti di kala ini kuantiti makanan kita semakin berkurangan kerana sudah terbiasa dengan budaya berpuasa. Begitulah bagaimana Allah SWT mendidik jiwa hambanya yang secara berperingkat sehingga ketakwaan itu dapat direalisasikan di jiwa hambanya yang beriman.

Kemuliaan peniaga yang jujur

Bulan yang mulia ini juga menyaksikan para peniaga mula menawarkan kepelbagaian produk bermula dari produk makanan di bazar Ramadan sehinggalah pakaian dan alatan rumah secara dalam talian. Menjadi adat penduduk beragama Islam di Malaysia membeli-belah di bulan ini bagi menyambut hari raya Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.

Kesempatan seperti ini pasti akan diambil oleh para peniaga bagi menawarkan kepelbagaian produk dengan harga-harga yang menarik dan menggiurkan. Hal ini ada kalanya menjadikan segelintir para peniaga mengambil kesempatan dan ruang untuk memanipulasi harga bagi memperolehi keuntungan yang berganda. Tidak kurang juga yang mengadakan iklan dan promosi yang mengelirukan seperti jualan murah yang sebenarnya hanya terhad kepada beberapa produk hanya semata-mata untuk menarik perhatian pengunjung untuk datang ke premisnya.

Amaran mengenai taktik penipuan dalam perniagaan telah pun difirmankan oleh Allah SWT dalam beberapa ayat seperti:

Dan kepada penduduk “Madyan” Kami utuskan saudara mereka: Nabi Syuaib. Ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! (Sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan. Sesungguhnya aku melihat kamu berada dalam kemewahan; dan sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang meliputi (orang-orang yang bersalah). (Surah Hud, ayat 84)

Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. (Surah al-Muthoffifin ayat 1-3)

Nabi Muhammad SAW juga pernah menegur tindakan sahabat yang menyembunyikan kerosakan sesuatu barangan yang dijual supaya tidak melakukan perbuatan pemalsuan atau tadlis yang boleh mengelirukan pelanggan. Tindakan pemalsuan ini boleh berlaku dalam pelbagai peringkat seperti pendedahan maklumat produk, harga produk, pemasaran produk dan lainnya.

Selain itu juga Nabi Muhammad SAW bersabda ketika memuji para peniaga yang jujur dan amanah dalam urusan perniagaan:

Peniaga yang jujur lagi amanah adalah sama kedudukannya dengan para nabi, golongan siddiqin dan para syuhada(Hadis Riwayat Imam al-Tarmizi).

Kelebihan yang disebutkan oleh baginda Nabi ini merupakan satu dorongan kepada para peniaga untuk mempromosikan adab dan integriti yang tinggi dalam perniagaan yang mereka lakukan. Jika dilihat dari ayat Surah al-Muthoffifin di atas, ia jelas menunjukkan kejujuran itu bukan sahaja pada perkara yang boleh dilihat oleh orang ramai namun tetap juga ia dititikberatkan pada perkara yang mikro atau tersembunyi seperti menentukan sukatan atau timbangan yang hanya boleh diketahui oleh peniaga.

Pembeli yang beradab

Mewujudkan suasana pasaran yang sihat bukan sahaja memerlukan elemen positif yang perlu disumbangkan oleh para peniaga, juga para pembeli atau pelanggan yang menjadi ‘pemain industri’ yang penting dalam merancakkan aktiviti di pasara tempatan.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

Allah SWT merahmati lelaki yang begitu bertoleransi ketika berjual., membeli serta ketika menuntut haknya.

Memandangkan ragam yang begitu banyak dalam aktiviti pasaran pada hari ini yang masing-masing berkepentingan dalam tindak tanduk masing-masing, melahirkan insan yang penuh beradab dan integriti menerusi didikan di pasaran kita adalah sukar. Hal ini disebabkan budaya positif yang tidak banyak diperkenalkan sebaliknya para pengguna lebih dimotivasi dan didorong oleh faktor harga dan kualiti barang dalam berinteraksi dengan pemain dalam industri runcit mahupun syarikat.

Senario di atas menimbulkan kerunsingan pihak tertentu adakah mungkin suasan pasaran di negara ini boleh melahirkan insan yang jujur atau lebih menggalakkan wujudnya pelanggan yang lebih mementingkan keuntungan diri sendiri.

Dalam masa yang sama, Nabi Muhammad SAW menekankan penghayatan sifat-sifat ahli syurga seperti hadis:

Nabi bersabda: Hendakkah aku khabarkan kepada kalian mengenai orang yang dijauhi dari api neraka? Mereka ialah orang yang penuh dengan ketenangan, mudah berurusan, tidak berkira dan bersopan santun.

Sifat-sifat di atas adalah sifat yang mesti diusahakan oleh setiap Muslim dan ditampilkan dalam setiap tindak tanduk dan perbuatan mereka. Ia termasuk akhlak dan adab mereka ketika bertransaksi dalam urusan ekonomi dan perkara yang berkaitan dengannya.

Jangan dicemar kesucian Ramadan

Matlamat puasa begitu jelas disebut oleh Allah SWT iaitu untuk merealisasikan ketakwaan dalam diri seorang Muslim. Antara ciri-ciri ketakwaan adalah bersifat jujur, amanah, tidak mengambil kesempatan, beretika ketika bertransaksi dan tidak menipu dalam urusan muamalat. Di kala Ramadan ini kita sering mendengar berlaku manipulasi jualan dan pemasaran sama ada di bazar Ramadan atau di premis yang menjual baju raya dan sebagainya. Kes-kes seperti ini menggambarkan betapa manusia lebih mementingkan keuntungan duniawi yang boleh dikira dan tidak kekal berbanding tawaran yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka yang beriman.

Penulis merupakan Ketua, Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di shahid82@um.edu.my